WAHAI CALON SUAMIKU, JEMPUT AKU MENJADI ISTERIMU..

WAHAI CALON SUAMIKU, JEMPUT AKU MENJADI ISTERIMU..

"tiada yang lebih penting dapat membahagiakanku, tapi didikanmu ke jalan Allah"

Dikarang oleh Inaaina | Motivasi
Wahai, Calon, Suamiku, Jemput, Aku, Menjadi, Isterimu

Kalau nak diikutkan, umur saya sudah mencecah 28 tahun. Tapi saya sudah dikelilingi dengan kawan-kawan yang sudah berumah tangga. Kalau ikut kata hati, memang diri ini teringin untuk menjadi seorang suri di hati seorang suami, tapi, masih belum nampak bayangnya. Nak kata tak mencari, memang saya berikhtiar juga dalam mencari calon suami, tapi masih kabur bayangannya. Apabila di tempat kerja pun, saya dikelilingi dengan rakan-rakan pejabat yang sudah berumah tangga. Perasaan ingin berumah tangga ini menjadi semakin membuak-buak.

Saya pernah bercinta, tetapi saya tidak nampak akan kesungguhan lelaki itu dalam menjadikan saya yang halal buatnya, apabila diajukan tentang soal perkahwinan, si dia pasti akan cuba mengelak dari menjawab pertanyaan saya ini, lalu saya mengambil keputusan untuk memutuskan sahaja hubungan kami.

Berdasarkan pengalaman adik beradik saya sendiri, masing-masing mendirikan rumah tangga ketika mereka berusia awal 20an. Bertambah pula tekanan buat saya yang masih belum ada calonnya ketika sudah berusia 28 tahun.

Dalam hati, tiada siapa yang tahu apa yang saya lalui dan alami. Saya cuba dalam mencari, tak pernah pun berputus asa, sentiasa berikhtiar, mungkin belum sampai jodoh saya lagi. Kalau kita berusaha macam mana pun, kalau Allah masih belum kata Ya, jawapannya, Ya lah kan? Siapa saya untuk menyalahkan takdir Allah.

Untukmu calon imamku, walaupun aku tidak mengenali siapa dirimu, engkau masih menjadi rahsia buatku, Penciptamu masih lagi mahu merahsiakan engkau daripadaku, yang masih aku harapkan pada setiap sujudku. Hanya takdir yang mampu temukan kita sahaja.

Ketahuilah wahai bakal suamiku, mengetahui namamu tidak menjadi idamanku, tetapi untuk mengenalimu tahap imanmu adalah idamanku yang sentiasa aku selitkan pada setiap doaku. Bertahun lama aku nantikan bukan dirimu, malah lafaz yang engkau akan lafazkan ketika akad nanti yang akan membimbingku ke Jannah Allah adalah yang sering aku nantikan.  

Tiada yang lebih penting dapat membahagiakanku, tapi didikanmu ke jalan Allah yang mampu membahagiakanku kelak. Jadilah suami yang mampu membawaku bersama-sama ke jalan Allah. Itu sahaja yang aku dambakan selama penantian ini.

Wahai calon suamiku,

Dari awal lagi sudah aku tahu, bahawa dirimu bukan milikku sepenuhnya, tapi milik Allah, engkau hanya dijadikan medan yang dicipta oleh Allah untuk menyambung generasi jihad dari rahim ini. Buktikanlah padaku engkau mampu lakukannya. Aku sentiasa berdoa agar dikurniakan seperti yang didambakan supaya aku tidak leka akan duniawi.

Wahai calon suamiku,

Aku sentiasa berdoa pada yang Esa, temukan aku dengan insan yang boleh membawaku ke syurga-Nya. Aku harap engkau turut mempunyai niat yang sama. Bawalah aku ke syurga, pimpin lah aku supaya aku sentiasa berada di jalan yang benar, agar tidak terpesong akidahku. InshaAllah. Wahai calon suamiku, sesungguhnya, aku setia menantimu sehingga ke saat ini.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar