9 Prosedur Untuk Anda Berkahwin

9 Prosedur Untuk Anda Berkahwin

"Sebelum berkahwin, mengikuti kursus perkahwinan adalah syarat wajib yang perlu anda patuhi..."

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan
cari jodoh, baitulmuslim, kahwin

Kahwin merupakan salah satu fasa yang akan ditempuhi oleh kebanyakan orang. Melalui ikatan perkahwinan, ia lebih menjamin pasangan yang berkahwin ke arah hidup yang lebih bermatlamat dan bahagia. Perkahwinan adalah salah satu cara untuk kita dan keluarga kita bersama-sama menuju redha dan syurga Allah S.W.T. Melalui perkahwinan juga, Rasulullah S.A.W. akan berbangga dengan umatnya yang ramai kelak.

Sabda Rasulullah S.A.W. dalam suatu hadis yang bermaksud:

“...Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”

(Riwayat Abu Daud 1050)

Namun begitu, untuk berkahwin ia memerlukan prosedur dan langkah-langkah yang perlu kita tahu. Benar, perkahwinan itu mesti dipermudahkan. Namun ia juga mestilah melalui prosedur undang-undang demi menjamin hak kedua-dua belah pihak yang berkahwin. Berikut adalah antara prosedur-prosedur perkahwinan yang perlu anda tahu. 

9 Prosedur Perkahwinan

1. Daftar Dan Hadiri Kursus Kahwin

Sebelum berkahwin, mengikuti kursus perkahwinan adalah syarat wajib yang perlu anda patuhi. Anda boleh terus mendaftarkan diri untuk menghadiri kursus perkahwinan melalui pejabat agama Islam daerah masing-masing. Selain mendaftar kursus perkahwinan dengan pejabat agama Islam daerah, anda juga ada pilihan untuk mendaftar kursus kahwin dengan badan-badan swasta yang sah bagi menguruskan kursus kahwin. 

Boleh buat carian di google berkenaan kursus kahwin ini. Pastikan anda ikut yang sah dan berdaftar sahaja. Melalui kursus kahwin ini, anda akan belajar banyak perkara mengenai perkahwinan dan alam rumah tangga yang bakal anda tempuhi nanti. Jangan sekadar datang sahaja. Berikan tumpuan semasa di dalam kelas. Jika ada sebarang persoalan berkaitan, tanya terus kepada ustaz atau penceramah tersebut. 

2. Buat HIV Test 

Pasangan pengantin yang mahu berkahwin perlu membuat ujian saringan HIV di klinik atau hospital kerajaan. Ujian saringan tersebut mestilah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan sahaja untuk mengelakkan sebarang bentuk penipuan. Sekiranya ujian saringan HIV tersebut adalah negetif, maka pasangan boleh meneruskan niat untuk berkahwin dengan mengemukakan permohonan.

Namun jika terjadi sebaliknya, pihak JAKIM akan menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin untuk mengikuti beberapa langkah penting. Antaranya ialah pasangan dikehendaki untuk mengikuti sesi khidmat nasihat di jabatan agama bagi memberi pendedahan tentang implikasi HIV dan kesannya terhadap keluarga dan pasangan dalam perkahwinan kelak. Jika keputusan untuk berkahwin telah dibuat, pasangan perlulah menjalani rawatan dan membuat rujukan pakar di Pakar Perubatan Keluarga dan Klinik Penyakit Berjangkit.

3. Daftar Kursus Perkahwinan

Langkah seterusnya yang perlu anda buat ialah dengan mendaftarkan diri untuk berkahwin. Pendaftaran boleh dibuat secara online di www.sppim.gov.my. Daftar dan isi borang kebenaran untuk berkahwin melalui laman web tersebut. 

Permohonan kebenaran berkahwin online pada masa ini hanya meliputi permohonan yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan sahaja. Namun begitu, jangan risau. Anda sebenarnya masih boleh mendaftar secara manual. Caranya ialah dengan pergi ke pejabat agama Islam daerah di kawasan masing-masing. Rujuk dan tanya dengan lebih lanjut berkenaan proses-proses kahwin ketika mengisi borang kebenaran kahwin kerana setiap negeri mungkin ada proses yang sedikit berbeza. 

4. Pastikan Mukim Pasangan

Langkah yang seterusnya ini sangat penting bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran. Kebanyakan bakal pengantin keliru dan sering cuai di dalam aspek ini kerana setiap pasangan berbeza kes dan kondisinya.

Secara amnya melalui prosedur ini, pasangan lelaki dan perempuan yang sama daerah perlulah menghantar borang nikah online yang lengkap bersama lampiran yang dikehendaki kepada pejabat agama 30 hari sebelum tarikh nikah. Manakala, 90 hari sebelum tarikh nikah adalah tempoh diperlukan bagi pasangan yang berlainan daerah atau negeri.

5. Lengkapkan Borang Nikah (Lelaki)

Pihak lelaki perlulah terlebih dahulu mengisi dan melengkapkan borang dengan segala maklumat yang dikehendaki sebelum pihak perempuan memulakan prosedur. Di bawah ini merupakan senarai dokumen sokongan yang diperlukan sebelum mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah Kariah;

a) Salinan IC/ Passport (jika bukan warganegara)

b) Salinan IC 2 orang saksi/ Passport (jika bukan warganegara)

c) Salinan sijil kursus kahwin

d) Keputusan ujian saringan HIV

e) Salinan permohonan borang 2a (jika pemohon luar daerah/negeri atau negara)

f) Surat pengesahan mastautin (jika pemohon berbeza alamat tempat tinggal dalam IC)

g) Surat perakuan cerai/ kematian dan salinan (jika pemohon duda) 

h) Surat perakuan Islam dan salinan (jika pemohon saudara baru)

i) Surat kelulusan Kagat/Pdrm (jika pemohon anggota tentera/ polis)

j) Surat kebenaran kahwin daripada kedutaan/ imigresen (jika bukan warganegara)

 



Pegawai di pejabat agama Islam daerah boleh juga mengesahkan borang permohonan sekiranya penolong pendaftar nikah kariah sedang bercuti. Seterusnya, pihak lelaki perlulah mendapatkan kebenaran berkahwin daripada pejabat agama Islam daerah. Permohonan kahwin yang telah diluluskan hanya sah dalam tempoh 3 bulan sahaja. Bayaran sebanyak RM15 akan dikenakan bagi setiap borang dan RM30 jika sekiranya pasangan berasal dari daerah yang sama.

6. Borang Kebenaran Nikah (Perempuan)

Setelah selesai urusan permohonan bagi pihak lelaki, pihak perempuan bolehlah memulakan prosedur yang sama iaitu dengan melengkapkan borang 2C dan 2D dan seterusnya melampirkan dokumen sokongan seperti yang berikut;

a) Salinan IC/ Passport (jika bukan warganegara)

b) Salinan IC 2 orang saksi/ Passport (jika bukan warganegara)

c) Salinan sijil kursus kahwin

d) Keputusan ujian saringan HIV

e) Salinan permohonan borang 2c (jika pemohon luar daerah/negeri atau negara)

f) Surat pengesahan mastautin (jika pemohon berbeza alamat tempat tinggal dalam IC)

g) Borang kelulusan kahwin/ surat kebenaran berkahwin bagi lelaki

h) Surat perakuan/ pengesahan/ akaun sumpah nikah ibu bapa (jika perempuan anak sulung atau wali adalah abang sulung)

i) Surat wakalah (jika wali tidak dapat hadir ketika akad nikah)

j) Surat perakuan/ akaun sumpah kematian wali (bapa)

k) Surat perakuan Islam dan salinan (jika pemohon saudari baru)

l) Surat kelulusan Kagat/Pdrm (jika pemohon anggota tentera/ polis)

m) Surat perakuan cerai/ kematian dan salinan (jika pemohon janda) 

n) Surat kebenaran kahwin daripada kedutaan/ imigresen (jika bukan warganegara)

 



Setelah borang dan dokumen sokongan lengkap disediakan, bakal pengantin perempuan kemudian perlulah mendapatkan pengesahan berkahwin daripada penolong pendaftar nikah bersama wali dan 2 orang saksi.

Seterusnya selepas urusan bersama penolong pendaftar nikah selesai, pengantin perempuan harus mengemukakan permohonan kebenaran berkahwin di pejabat agama Islam di daerahnya. Bagi pasangan yang berlainan daerah, ianya sah dalam tempoh 3 bulan sekiranya diluluskan. Namun, jika pasangan tersebut berasal dari daerah yang sama, borang kebenaran berkahwin boleh terus dihantar pada imam masjid kariah bagi pengesahan akad nikah.

7. Akad Nikah

Setelah segala permohonan kebenaran kahwin diluluskan bersama borang dan dokumen sokong yang lengkap diisi, pejabat agama akan memulangkan semula borang kebenaran nikah tersebut kepada bakal pengantin perempuan untuk diserahkan kepada imam masjid kariah bagi acara akad nikah.

Pada hari akad nikah berlangsung, kadi akan memberikan surat nikah sementara yang lengkap dengan maklumat pasangan pengantin. Pengantin dinasihatkan supaya menyemak semula segala maklumat diri yang penting dengan betul. Perlu diingatkan juga di sini bahawa upah bagi tok kadi atau juru nikah perlu disediakan oleh pihak pengantin lelaki sejurus selepas majlis akad nikah dilangsungkan. Kadar upah adalah berbeza mengikut negeri pernikahan tersebut dijalankan.

8. Sijil Nikah

Prosedur seterusnya ini bolehlah dilakukan dengan menyerahkan sijil nikah sementara kepada pejabat agama Islam daerah pihak isteri. Dokumen sokongan lain yang diperlukan ialah seperti:

a) Kad pengenalan suami dan isteri

b) Kad pengenalan wali

 

Bayaran RM20 diperlukan bagi yuran memproses sijil dan sijil akan siap dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan. Pasangan pengantin dinasihatkan untuk membuat salinan sijil nikah ini bagi kegunaan masa hadapan dan sebagai rujukan kelak.

9. Kad Perakuan Nikah

Pasangan berkahwin boleh mengemukakan permohonan di pejabat agama Islam daerah pihak isteri, sama seperti urusan pengambilan sijil nikah. Dokumen yang diperlukan adalah seperti:

a) Satu salinan Sijil Perakuan Nikah

b) 1 keping/ 2 keping (bergantung kepada negeri) gambar bersaiz pasport suami dan isteri

c) Resit bayaran

d) Permohonan akan dikenakan caj sebanyak RM 40 bagi dua keping kad. Kad kahwin pada kebiasannya akan siap dalam tempoh 5 hingga 7 hari bekerja

 

Inilah beberapa prosedur yang perlu anda patuhi untuk memohon kebenaran untuk berkahwin. Ianya mungkin sedikit rumit kerana terdapat banyak prosedur. Namun setiap prosedur ada kepentingan yang tersendiri demi melindungi hak pasangan yang berkahwin. Perlu diingat, ia mungkin berbeza antara setiap negeri. Untuk mendapatkan lebih maklumat, anda boleh menyemak dengan pejabat agama Islam daerah masing-masing.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar