9 Tip Menyimpan Duit Kahwin

9 Tip Menyimpan Duit Kahwin

Jika anda bijak untuk memilih perbelanjaan perkahwinan yang sederhana, duit kahwin yang anda kumpul nanti bolehlah digunakan untuk kelangsungan hidup selepas kahwin...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

Berkahwin dengan bakal pasangan yang anda cintai sudah tentu menjadi impian kebanyakan para wanita dan lelaki bujang di luar sana. Namun begitu untuk anda sampai ke peringkat melangsungkan perkahwinan, ada banyak cabaran yang terpaksa anda lalui. Salah satunya ialah peringkat untuk anda mengumpulkan duit kahwin.

Belanja perkahwinan biasanya memerlukan belanja yang besar. Ini termasuklah belanja hantaran perkahwinan, kenduri, barang-barang hantaran dulang dan banyak lagi. Secara amnya, belanja kahwin adalah agak tinggi jika anda seorang yang mengikuti trend semasa. Ada juga yang mampu berjimat dan tidak mengikut trend. Namun ia juga memerlukan satu jumlah yang mungkin besar bagi anda untuk dikumpulkan jika tidak bertindak segera.

Jika anda bijak untuk memilih perbelanjaan perkahwinan yang sederhana, duit kahwin yang anda kumpul nanti bolehlah digunakan untuk kelangsungan hidup selepas kahwin. Yang penting anda menyimpan sebagai persediaan kahwin anda. Ya, mesti menyimpan. Tidak kisahlah kenduri kahwin anda kecil, sederhana atau besar. Berikut adalah tip bagaimana anda boleh membuat simpanan sebagai persediaan kahwin anda.

9 Tip Menyimpan Duit Kahwin

1. Ada Pekerjaan

Perkara pertama yang mesti anda lakukan ialah dengan mencari peluang pekerjaan. Tidak kisahlah kerja apa yang anda lakukan, asalkan halal dan ada keberkatan. Ini penting kerana dengan memiliki pekerjaan, ia menjadi sumber utama pendapatan anda. Apabila anda bekerja, anda akan memperolehi pendapatan. Apabila ada pendapatan, maka anda boleh membuat simpanan untuk perkahwinan.

2. Tabung Kahwin (Simpanan)

Tip seterusnya yang boleh anda lakukan ialah dengan melakukan cara tradisional iaitu menggunakan tabung atau tin. Maksudnya anda simpan ke dalam tabung simpanan anda. Kaedah ini memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi kerana tiada siapa yang boleh menghalang anda daripada menggunakan duit simpanan itu untuk tujuan lain. 

Jika anda tidak mahu menggunakan kaedah tabung simpanan, anda boleh memilih untuk mewujudkan 2 akaun bank sekurang-kurangnya. Satu untuk tabung perbelanjaan dan satu lagi untuk tabung simpanan. Sama juga halnya dengan tabung secara fizikal tadi. Anda mesti letak matlamat untuk digunakan bagi perbelanjaan kahwin sahaja. 

3. Letak Target

Mempunyai target untuk simpanan adalah lebih baik kerana dengan adanya target atau matlamat, anda akan lebih fokus. Anda juga boleh menentukan berapa kemampuan anda untuk menyimpan secara bulanan. Sebagai contoh, jika target duit kahwin anda ialah RM 20,000 dan anda boleh menyimpan RM 1000 setiap bulan.

Maka anda perlukan masa selama setahun lapan bulan untuk sampai kepada target anda. Dengan meletakkan target simpanan juga anda boleh merancang dan menyusun perbelanjaan harian dan bulanan yang lain.

4. Simpan Dari Awal

Kalau anda masih muda dan sedang belajar, saya sangat galakkan untuk memulakan simpanan daripada awal. Ya, mungkin terlalu awal untuk meletakkan target berkahwin. Target kahwin akan datang kemudian namun simpanan harus bermula seawal yang boleh.

Jika anda seorang mahasiswa, anda boleh berjimat cermat semasa belajar. Maksud saya kurangkan membeli perkara-perkara tidak penting dengan menggunakan duit pinjaman atau biasiswa. Anda boleh mulakan simpanan dengan duit lebihan tersebut. Selain itu, bagi yang berkemampuan mungkin boleh bekerja secara part time bagi menampung sedikit sebanyak perbelanjaan anda di universiti. 

5. Cari Sumber Pendapatan Tambahan

Anda juga boleh menambah pendapatan melalui kerja-kerja freelance atau part time selain kerja utama anda. Zaman kini, ramai orang yang menambah pendapatan mereka menggunakan kemajuan teknologi dan internet. Contohnya jual beli barang melalui sistem online atau e-commerce. Cari kerja tambahan yang sesuai mengikut kemahiran dan kemampuan anda.

6. Rumah Sewa, Makan Dan Minum

Kehidupan sebagai seorang bujang sebelum berkahwin biasanya tidak rumit dan ringkas. Jika mahu menyewa rumah, menyewalah secara berjemaah dengan kawan-kawan anda. Ini dapat menjimatkan banyak perbelanjaan anda. Jika sewa rumah RM 800 dan anda tinggal bersama 8 orang kawan, maka anda hanya perlu membayar RM 100 setiap seorang untuk sebulan.

Kurangkan membeli makanan dan minuman luar. Banyakkan memasak sendiri makanan anda dari rumah. Anda juga boleh berkongsi dengan kawan-kawan serumah untuk membeli keperluan harian bagi memasak. Kaedah ini pasti menjimatkan banyak kos harian dan bulanan.

7. Simpan Bersama Bakal Pasangan

Seandainya anda merasakan sudah agak lewat untuk menyimpan duit kahwin dan mengejar masa kahwin, anda mungkin boleh mengajak bakal pasangan anda menyimpan bersama. Sudah tentu apabila dua orang yang menyimpan, ia akan mempercepatkan lagi masa anda untuk berkahwin. 

Bak kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing' bukan?

8. Elak Buat Pinjaman Bank

Ada segelintir pasangan yang ingin berkahwin, mereka membuat pinjaman peribadi di bank. Saya secara peribadi tidak menggalakkannya. Perbelanjaan perkahwinan mesti mengikut kemampuan anda. Ya, ikut kemampuan dan keperluan. Bukan ikut trend semasa atau trend orang kaya.

Kenapa saya tidak galakkan anda membuat pinjaman di bank? Ini kerana ada orang yang berkahwin dan membuat pinjaman bank, hutang mereka masih lagi belum selesai walaupun sudah ada anak 3 orang. Jangan hanya mahu nampak mewah untuk majlis kahwin sehari, tetapi kita bersusah payah bertahun-tahun untuk membayar hutang.

9. Hantaran Dan Kenduri Kahwin

Hantaran perkahwinan adalah antara perkara penting yang anda mesti tahu bagi mengumpulkan duit kahwin. Jika masih belum pasti berkenaan hantaran, anda mungkin boleh mengagak berapa kos semasa hantaran perkahwinan. Namun urusan berkenaan hantaran ini, adalah perkara yang boleh dibawa kepada perbincangan dengan pihak keluarga si dia. 

Jika anda tidak mampu, beritahulah secara baik. Mungkin mereka boleh memahami masalah anda. Yang penting mesti ada perbincangan dengan pihak keluarga. Tugas anda dan pasangan pula ialah untuk mengurangkan bajet bagi perkara-perkara yang tidak penting ketika kenduri kahwin nanti. Ini kerana selepas kahwin, anda lebih memerlukan duit berbanding perbelanjaan majlis kahwin sahaja.

Semoga 9 tip untuk menyimpan duit kahwin ini bermanfaat kepada mereka yang masih bujang. Jika ada usaha yang berterusan, Insya-Allah dipermudahkan. Amin.

Jom bina Baitul Muslim (keluarga muslim)

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar