Berilah mahar dengan ikhlas

Berilah mahar dengan ikhlas

Mahar adalah hak isteri. Ia tidak boleh diambil oleh ibubapa atau suaminya melainkan dengan kebenaran si isteri...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

Mahar adalah hak isteri. Ia tidak boleh diambil oleh ibubapa atau suaminya melainkan dengan kebenaran si isteri. Mahar berbeza dengan wang hantaran. Mahar wajib untuk bakal isteri sedangkan wang hantaran adalah adat yang biasanya berbetuk wang yang digunakan sebagai kos untuk membiayai majlis perkahwinan. Allah SWT. telah berfirman di dalam surah An-Nisa, ayat yang ke 4;

“Berilah mereka mahar dengan penuh ketulusan. Tetapi jika mereka rela memberikan sebagian dari mahar, maka ambillah dengan cara yang halal dan baik”.

(An nisa : 4)

Jadi, Allah mensyariatkan suami hendaklah ikhlas memberi mahar kepada si isteri. Allah mengetahui ada sesetengah daripada isteri yang baik hati dan memberi kembali mahar tersebut kepada si suami. Maka, Allah meminta kepada kaum suami supaya mengambil dengan cara yang halal dan baik. Mendapat isteri yang baik dan faham mengenai keadaan suami adalah satu anugerah dan bonus yang tidak ternilai.

Mahar diiktiraf sebagai hak isteri.

Di dalam islam, mahar adalah hak eksklusif seorang isteri. Suami wajib memberi mahar kepada isterinya jika ia menjanjikan sesuatu sebelum majlis akad nikah. Justeru, selagi hak mendapatkan mahar belum ditunaikan oleh suami seperti yang dijanjikan dan dipersetujui bersama, maka isteri berhak untuk menafikan hak dan tanggungjawabnya kepada suami.

Ini bermakna, isteri bukan sahaja berhak menahan diri daripada persetubuhan bersama suaminya, malahan dalam konteks hak dan tanggungjawab rumahtangga yang lain, seperti tanggungjawab mentaati suami atau menguruskan keperluan rumahtangga yang lain. Walau bagaimanapun, sekiranya mahar belum diberikan kepada isteri, hubungan kelamin suami isteri tidaklah menjadi haram atas keredhaan dan pelepasan hak yang diberikan oleh isteri, kerana mahar tersebut akan menjadi hutang suami kelak.

Mahar tersebut tetap perlu dibayar oleh suami jika diminta oleh isteri. Ia perlu dibayar sebelum berlakunya penceraian atau kematian. Dalam surah Al-Baqarah ayat 237, Allah SWT. telah berfirman yang bermaksud;

“Sekiranya kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka berilah separuh daripada mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah, dan kemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha melihat segala apa yang kamu kerjakan”.

(Surah Al-Baqarah; ayat 237)

Nas ini menunjukkan yang mahar jika berhutang perlu dilunaskan dan ia juga menyebut kepentingan mahar yang mudah atau tidak menyusahkan pasangan. Ini bukan bermakna, mahar tidak perlu tinggi atau mahal. Dalam Surah al-Nisa, ayat 20, Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan seorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripadanya”.

(Surah An-Nisa; ayat 20)

Ayat ini, penggunaan lafaz yang membawa maksud harta yang banyak bukan sahaja menunjukkan bahawa mahar boleh diberikan dalam kadar yang tinggi, bahkan membuktikan bahawa mahar pada dasarnya merupakan pemberian berharga dan bernilai tinggi yang dapat memberi manfaat dan maslahah kepada wanita.

Faedah kepada umum.

Secara umumnya, tujuan pensyariatan sesuatu hukum adalah untuk memberi faedah (kemaslahatan) kepada manusia. Justeru, di antara hikmah pensyariatan mahar dalam Islam adalah untuk memberi hak pemilikan harta kepada wanita, memberi perlindungan sosio-ekonomi dan memberi kemuliaan kepada wanita itu sendiri. Ia mengangkat martabat seorang wanita di sisi islam yang sememangnya agama yang menjaga golongan wanita.

Mahar sepasang sandal.

Di zaman Rasulullah pernah terjadi pernikahan yang maharnya hanya sepasang sandal. Ia diceritakan oleh ‘Amir Bin Rabi’ah, dari ayahnya yang berkata; 

“Ada seorang perempuan dari Bani Fazarah menikah dengan mahar sepasang sandal. Mengetahui hal itu, Rasulullah bertanya kepada perempuan tersebut, apakah anda rela menyerahkan diri anda dan harta anda dengan mahar (hanya) sepasang sandal? Perempuan itu lalu mengatakan rela.  Ayah ‘Amir berkata; “Maka Rasulullah memperbolehkan perempuan itu menerima mahar sepasang sandal”.

(Hadis riwayat Ar Tirmidzi, Kitab nikah, no hadis 1031)

Daripada hadis ini, jelaslah bagi kita bahawa pentingnya pemberian mahar oleh suami kepada isteri walaupun mahar itu hanya sesuatu yang rendah nilainya. Selain itu, Rasulullah juga bertanyakan tentang kerelaan daripada wanita tersebut menunjukkan mahar yang diberikan mesti dengan kerelaan dan persetujuan si isteri.  

Bacaan al quran sebagai mahar.

Jika bakal suami masih lagi tidak mampu atau bakal pengantin perempuan mahukan mahar yang lain, bacaan al quran juga boleh digunakan sebagai mahar perkahwinan. Dari Sahl bin S’ad, ia menceritakan;

“Suatu ketika seorang perempuan mendatangi Rasulullah SAW. Tiba di hadapan Rasullullah perempuan itu berkata; “Sungguh aku memasrahkan diriku”, (meminta Rasulullah menikahinya). Perempuan itu lalu berdiri lama sekali. Lalu berkatalah seorang lelaki kepada Rasulullah SAW; “Nikahkanlah aku dengannya jika engkau tidak berminat kepadanya!”.

Rasulullah SAW menjawab, “Apa yang anda miliki untuk mas kawinnya?”. Lelaki itu menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa kecuali sarung” (yang dipakainya). Rasul SAW menjawab, “Jika anda memberikannya, anda tidak memakai sarung lagi. Carilah sesuatu walau berupa cincin besi”. Tetapi lelaki itu tetap tidak memiliki sesuatu.

Akhirnya Rasulullah SAW bertanya; “Apakah ada pada anda sesuatu dari Al-Qur’an?”, ia menjawab; “Ada, aku (hafal) surah ini dan surah ini”, ia menyebutkan beberapa nama surah itu. Rasul saw bersabda; “Aku nikahkan anda dengan perempuan itu dengan mas kawin sesuatu daripada al-Qur’an yang ada pada anda”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan.

Rumahtangga tidak dibina hanya dengan cinta tetapi dengan banyak faktor lain seperti isu ekonomi dan kewangan. Orang yang mampu berkahwin, mesti kahwin. Untuk berkahwin tentunya seorang lelaki mempunyai wang untuk dijadikan mahar tanda cinta dan penghormatannya kepada wanita. Berkahwinlah mengikut kemampuan masing-masing dan ukurlah baju di badan sendiri.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar