Cara Berkawan Sebelum Berkahwin

Cara Berkawan Sebelum Berkahwin

"Saya percaya untuk mengenali seseorang, masa memainkan peranan yang cukup penting. Oleh itu, ambil masa yang secukupnya yang anda perlukan..."

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

Sebelum berkahwin dengan seseorang, kita digalakkan untuk kenal dulu dengan si dia yang bakal kita kahwini itu. Kenal di sini bukanlah bermaksud kita hanya tahu nama si dia sahaja bahkan lebih daripada itu. Antara perkara penting yang perlu kita ambil tahu ialah berkenaan latar belakang si dia dan keluarganya, pekerjaannya atau apa sahaja maklumat penting. Hal ini sangat dianjurkan oleh Islam itu sendiri. 

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda di dalam suatu hadis berkaitan dengan galakkan untuk mengenal bakal pasangan sebelum berkahwin. Hadis tersebut ialah sabda baginda kepada seorang sahabat yang bernama Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita yang bermaksud;

“Lihatlah perempuan itu, semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”

(Hadis riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasan dalam kitab nikah, bab hadis-hadis berkaitan dengan melihat tunang no. 1087)

Jelaslah daripada hadis tersebut, bahawa Rasulullah S.A.W. sangat menganjurkan kita untuk melihat dan kenal dengan bakal pasangan sebelum bernikah. Tujuan melihat dan kenal adalah supaya rasa kasih dan sayang itu berputik dan seterusnya timbul keinginan untuk mendirikan rumah tangga.

Tips Berkawan Sebelum Berkahwin

1. Ambil Masa Secukupnya

Saya percaya untuk mengenali seseorang, masa memainkan peranan yang cukup penting. Oleh itu, ambil masa yang secukupnya yang anda perlukan untuk mengenali seseorang. Jangan terlalu terburu-buru membuat keputusan yang penting. Kahwin bukanlah perkara main-main. Ia penentu masa depan anda, sama ada keputusan yang anda buat sekarang akan memberikan kebahagian atau sebaliknya. 

Namun begitu, jangan pula terlalu lama berkawan. Risiko apabila terlalu lama boleh mengakibatkan pasangan anda mungkin mudah berubah hati dan tawar pada perhubungan. Lihat pada situasi dan keperluan anda. 

2. Letak Target Kahwin

Meletakkan target untuk kahwin ketika dalam proses masih berkenalan dan berkawan merupakan perkara yang penting. Masa untuk berkahwin hendaklah diputuskan bersama-sama dengan bakal pasangan. Kemudian, masukkan target kahwin anda tadi ke dalam kalendar peribadi. Jika tiada target, anda diibaratkan tiada matlamat dan hala tuju yang jelas dalam perhubungan. 

Sama perihalnya jika kita bermain bola tetapi tiada pintu gol. Ke mana sebenarnya pemain bola harus bawa bola tersebut? 

3. Jaga Batas Pergaulan

Setiap perhubungan sebelum perkahwinan termasuklah kaedah berkawan sebelum berkahwin ada batasnya. ‘Lesen’ mahu kenal dengan niat untuk berkahwin bukanlah alasan untuk anda membuat perkara-perkara yang dilarang agama. Pastikan setiap perbuatan anda mengikut saluran yang betul dan jangan melanggar batasannya. 

Allah S.W.T. juga melarang hamba-Nya daripada perbuatan yang cenderung kepada penzinaan. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Isra yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)...”

(Surah Al-Isra : Ayat 32) 

Kenapa Perlu Berkawan Dan Kenal Dahulu?

Tujuan untuk anda berkawan dan kenal terlebih dahulu, siapa bakal pasangan anda sebelum berkahwin adalah untuk menjaga kemaslahatan kedua-dua calon. Sama ada di sebelah pihak lelaki atau perempuan supaya merasa tidak tertipu apabila berkahwin kelak. Terdapat kes-kes penipuan maklumat yang berlaku mutakhir ini adalah sebab utama kenapa anda mesti kenal dan merisik si dia terlebih dahulu. 

Sebagai contoh, penipuan daripada segi maklumat berkenaan status perkahwinan. Ada calon lelaki yang sanggup mengaku sebagai masih bujang walaupun sebenarnya sudah berumah tangga demi perkahwinan lain. Oleh yang demikian, apabila adanya sesi taaruf (kenal) semasa sedang berkawan maka ia adil untuk kedua-dua belah pihak. 



Selain itu juga, apabila anda dalam proses berkawan dan kenal mungkin selepas itu akan lahir rasa cinta. Kata pepatah melayu ada menyebut, ‘tak kenal maka tak cinta’. Cinta ini tidak boleh dipaksa. Perasaan cinta juga bukanlah kesalahan. Apa yang patut anda dan bakal pasangan fikir adalah bagaimana mahu mengurus cinta ke jalan yang tepat iaitu dengan mempercepatkan perkahwinan anda. 

Mudah bukan? 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar