Hantaran tinggi punca lelaki kahwin lambat

Hantaran tinggi punca lelaki kahwin lambat

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

Setiap orang sama ada lelaki atau perempuan normal mesti mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga. Tipu rasanya jika kita katakan tidak mahu kepada sebuah perhubungan melalui sebuah ikatan perkahwinan yang halal dan membahagiakan. Walau bagaimanapun, trend perkahwinan pada lewat usia menjadi perkara yang biasa buat zaman sekarang. Persoalannya, adakah ianya trend semasa? Atau ada sebab yang tertentu yang menjadi alasan kepada pasangan tersebut terutama kepada lelaki yang mahu mendirikan rumah tangga.  

Salah satu alasan yang sering dinyatakan oleh lelaki yang mahu berkahwin adalah berpunca daripada kos perkahwinan yang terlampau tinggi menyebabkan si lelaki tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan. Zaman sekarang, perbelanjaan untuk satu perkahwinan boleh mencecah puluhan ribuan ringgit. Ini menyebabkan kebanyakkan lelaki yang mahu berkahwin selepas tamat belajar atau ketika baru mendapat pekerjaan terpaksa melupakan hasrat untuk berkahwin awal.

Salah faham mengenai majlis perkahwinan merupakan satu masalah yang berpunca akibat pengaruh daripada persekitaran atau keluarga. Ramai orang yang menganggap majlis perkahwinan mesti dibuat secara besaran untuk meraikan tetamu dan memberitahu kepada umum tentang perkahwinan tersebut. Di dalam islam, tidak disebut untuk membuat majlis perkahwinan yang besar dan mewah. Tujuan majlis hanya sekadar hebahan. Majlis perkahwinan yang dibuat mestilah mengikut kemampuan keluarga itu.

Kebiasaannya, punca hantaran yang tinggi sebenarnya adalah untuk menanggung segala kos perbelanjaan kenduri perkahwinan. Maka, terpaksalah dengan bersusah payah si lelaki mengumpul duit untuk dibelanjakan majlis kahwinnya yang hanya satu hari itu. Bukan sekejap atau sekelip mata untuk mengumpul puluhan ribu. Mungkin bertahun-tahun lamanya. Sayangnya, ia dihabiskan dalam masa satu hari saja. Alangkah baiknya, jika puluhan ribu itu digunakan untuk meneruskan hidup selepas kahwin kerana hidup selepas kahwin lagi mencabar. Lebih malang, untuk mereka yang tidak mampu, dan terpaksa membuat pinjaman dengan pihak bank. Lepas kahwin bertahun-tahun, hutang kahwinnya belum lagi selesai.

Marilah sama-sama kita ubah mentaliti ini supaya tidak memberikan imej yang buruk kepada islam. Bayangkan apa pandangan non muslim jika mereka melihat islam itu menyusahkan. Kita sendiri yang memberikan fitnah kepada agama, akibat perbuatan sendiri. Jika anda mampu, dipersilakan. Jika tidak mampu, ikutlah kemampuan anda. Jangan melampaui batas. Permudahkan majlis perkahwinan!

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar