HIKMAH BERNIKAH DENGAN PEREMPUAN YANG LEBIH TUA

HIKMAH BERNIKAH DENGAN PEREMPUAN YANG LEBIH TUA

Sudah menjadi fitrah bagi lelaki mencintai perempuan yang memiliki sikap dewasa, bijaksana dan memiliki sifat keibuan...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Umum sudah mengetahui bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Siti Khadijah r.a yang mempunyai jurang umur yang lebih berusia daripada baginda. Ianya jelas menunjukkan bahawa perbezaan umur tidak menghalang seseorang itu untuk mendirikan rumah tangga.

Namun, pola pemikiran masyarakat zaman sekarang sudah dipengaruhi dengan perkara lain. Mereka lebih berpendapat ianya adalah sesuatu yang luar biasa apabila seorang lelaki berkahwin dengan wanita yang lebih berusia daripadanya.

Melalui persepsi ini juga telah membuatkan kebanyakan wanita yang lanjut usia sudah pasrah dengan ketentuan ini. Sehinggakan mereka tidak mahu berusaha ke arah itu. Secara hakikatnya tidak ada salahnya untuk seorang lelaki itu berkahwin dengan wanita yang lebih berusia daripada mereka. Malah banyak hikmah yang bakal mereka peroleh daripada pernikahan itu.

Perempuan berusia lebih berdikari dan matang

Sudah menjadi fitrah bagi lelaki mencintai perempuan yang memiliki sikap dewasa, bijaksana dan memiliki sifat keibuan. Menurut pakar psikologi, lelaki tertarik pada sesuatu yang akan mengingatkannya pada ibunya. Justeru, perempuan yang lebih berusia ini mempunyai sifat keibuan yang lebih jelas berbanding yang lain.

Perempuan yang lebih berusia bersifat lebih matang dan bijak dalam mengendali masalah walaupun dalam situasi yang berbeza. Mereka akan lebih bersabar dalam mengharungi ujian kehidupan dan mampu mengendalinya seorang diri. Setelah memiliki teman hidup, mereka akan menjadi semakin matang. Oleh itu, usah ragu-ragu lagi untuk menikahi perempuan yang lebih tua.

Keyakinan diri yang tinggi

Percayalah, perempuan yang usianya lebih tua berbanding lelaki memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka. Mereka telah bertemu dengan ramai orang yang bermacam ragam dan karakter. Mereka lebih mempunyai pengalaman dalam mengendali mereka yang mempunyai karakter dan ragam yang berbeza ini apatah lagi pasangan hidup sendiri.

Perempuan yang lebih berusia ini juga nescaya dapat meneruskan kehidupan dengan seorang suami ke arah yang lebih baik. Mereka juga dapat membantu suaminya dalam membuat sebarang keputusan.

Mempunyai matlamat hidup yang jelas

Oleh kerana mereka yang sudah berusia ini lebih bersikap matang dalam kehidupan justeru mereka sudah mempunyai sesuatu matlamat hidup yang jelas. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan kehidupan mereka sendiri.

Tujuan mereka untuk mendirikan rumah tangga juga sudah cukup jelas dan bukan sekadar main-main. Hubungan yang terjalin akan dipandang serius dan sentiasa berusaha untuk mempertahankannya. Mula dari visi pernikahan dari perancangan A hingga Z demi memelihara cinta keluarga. Semuanya sudah teratur dan mereka juga seorang yang mempunyai pendirian tetap.

Berfikiran lebih dewasa dalam membimbing & mendidik anak-anak

Wanita yang lebih berusia mempunyai pemikiran yang lebih dewasa. Secara semulajadi jiwa keibuan telah wujud dalam diri mereka. Perasaan kasih sayang dalam membelai dan mendidik anak-anak ternyata berbeza dengan perempuan lain. Bagi mereka, mendidik anak-anak bukan hanya sekadar membesarkannya. Namun lebih daripada itu.

Lebih bersikap terbuka tanpa sebarang kias

Perempuan amat terkenal dengan bahasa kiasannya yang sukar difahami oleh kaum lelaki. Keistimewaan dalam memiliki isteri yang lebih berusia adalah mereka lebih cenderung berinteraksi tanpa sebarang kiasan. Mereka akan menyampaikan hasrat di hati dengan jelas agar si lelaki mudah memahaminya.

Kesimpulan

Justeru itu, salahkah seorang lelaki itu menikahi seorang wanita yang lebih berusia daripadanya? Sedangkan Islam telah menetapkan bahawa perkahwinan dan pemilihan calon isteri dan suami itu hendaklah pada agama dan akhlak bukan pada jarak usia.

“Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu” (An Nisa : 3)

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: