fbpxINDAHNYA PERKAHWINAN

INDAHNYA PERKAHWINAN

INDAHNYA PERKAHWINAN

“Tidak ada jalan lain pada dua orang yang saling mencintai selain berkahwin”.

Dikarang oleh 91468 | Perkahwinan
Kongsi artikel ini: 
Perkahwinan

Setiap manusia di muka bumi ini amat menyenangi akan keindahan. Mereka akan berasa sangat tenang dan bahagia apabila mendengar sesuatu yang indah. Malah, ianya akan lebih indah sekiranya keindahan itu dapat dirasai dan dimiliki. Dalam Al Quran Allah SWT ada menyebut:

Dihiaskan dan dijadikan indah kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang dingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda daripada emas dan perak, kuda yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternak dan kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya iaitu Syurga” Surah Ali Imran, ayat 14

Kembali kepada topik kita pada kali ini, salah satu keindahan yang dapat dirasai oleh manusia adalah nikmat ketika mereka menyelami perasaan cinta terhadap pasangan mereka. Mereka akan berasa kenikmatan itu lebih indah terutama ketika mereka sudah disatukan dengan ikatan yang halal. Perkara yang dilakukan secara haram TIDAK AKAN SESEKALI mencapai nikmat sesuatu keindahan itu. Satu jalan keluar sahaja yang mampu memberi manusia kenikmatan, iaitu, KEINDAHAN DALAM PERKAHWINAN. Rasulullah berpesan,

“Tidak ada jalan lain pada dua orang yang saling mencintai selain berkahwin”. Hadis oleh Ibnu Majah

Apa yang dapat dipelajari daripada pesan Rasulullah itu adalah untuk menghindarkan kita daripada melakukan perbuatan maksiat supaya kita dapat merasai sesuatu kenikmatan yang terindah selepas pernikahan. Secara hakikatnya, mereka yang belum berkahwin tidak akan merasai kenikmatan ini. Sekiranya mereka yang belum berkahwin faham akan manfaat nak nikmat selepas kahwin, mereka pasti akan berasa tidak sabar untuk menghalalkan hubungan mereka. Terlalu banyak kebaikannya yang ramai tidak sedar.

Namun, azam dalam menggapai kenikmatan bukan sekadar ingin berkahwin, tetapi mestilah diselitkan juga dengan usaha-usaha lain seperti berdoa, supaya diberi pasangan hidup yang soleh ataupun solehah, serta mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya. Allah menegaskan,

“Dan hamba-hamba Allah ar-Rahman (Ibadur Rahman) adalah mereka yang berjalan di atas bumi dengan sopan-santun. Apabila bercakap kepada orang yang jahil, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini. Mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berikan kami isteri-isteri dan zuriat keturunan yang hati kami suka melihat mereka perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikan kami imam ikutan kepada orang yang mahu bertakwa”. Surah Al-Furqan, ayat 63 dan 74

Pujian dan perghargaan daripada Allah kepada orang yang bercita-cita hendak berkahwin. Dengan sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan pasangan hidup yang soleh ataupun solehah. Sekiranya kita menginginkan sesuatu terutama dalam soal perkahwinan, selalu berdoa dan kuatkan azam supaya segera dipertemukan jodoh olehNya.

Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah sebagai contoh kepada umat manusia, dan salah satu perkara yang patut dicontohi adalah berkahwin. Rasulullah SAW sangat mengalakkan umatnya bernikah dan melarang mereka meninggalkannya.

“Bernikahlah. Sesungguhnya aku amat bangga dengan jumlah umat yang ramai dan janganlah menjadi seperti pendeta Nasrani mereka tidak mahu bernikah”. Hadis oleh Al-Baihaqi

Malah Allah SWT memerintah orang yang masih hidup supaya berkahwin. Perintah itu dapat kita baca dalam ayat berikut,

Dan kahwinkan orang bujang daripada kalangan kamu”. Surah an-Nur, ayat 32

Ianya jelas kan, bahawa Perkahwinan itu sangat Indah. Berkahwin itu adalah kurnia yang sangat besar selepas nikmat iman. Justeru itu, orang Islam yang sudah menemui pasangan dan mampu berkahwin harus menyegerakan pernikahan mereka dan meraih kurniaan itu.

Kongsi artikel ini: