JODOH DENGAN LELAKI YANG BERUSIA

JODOH DENGAN LELAKI YANG BERUSIA

"Malah mengahwini lelaki yang berusia juga sudah menjadi trend di kalangan selebriti tanah air sekaligus memberi ikutan kepada masyarakat tentang pernikahan ini.."

Dikarang oleh Inaaina | Perkahwinan
Kongsi artikel ini: 

 

Pernah tak dengar pesanan orang dulu-dulu ‘elakkan menyanyi ketika berada di dapur sekiranya tidak mahu berjodoh dengan lelaki tua?’. Kepercayaan orang dulu-dulu mungkin sekadar gurauan. Ianya mungkin sebagai peringatan supaya anak dara tidak mengamalkan tabiat menyanyi di dapur kerana bimbang tentang soal keselamatan mereka. Mungkin disebabkan mereka leka menyanyi membuatkan mereka tidak fokus kepada kerja di dapur ataupun untuk mengelakkan daripada nampak kurang manis di mata masyarakat.

Namun sebaik sahaja mereka sudah meningkat usia, pasti mereka sudah pandai bercinta dan ada yang memilih lelaki tua atau berusia sebagai calon suami mereka. Kebanyakan wanita terpikat dengan ciri-ciri yang ada pada lelaki yang berusia meskipun jarak usia mereka lebih 10 hingga 20 tahun. Malah mengahwini lelaki yang berusia juga sudah menjadi trend di kalangan selebriti tanah air sekaligus memberi ikutan kepada masyarakat tentang pernikahan ini.

Jadi untuk yang meletakkan target menikahi lelaki berusia, ianya tidak ada salahnya. Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang lelaki berusia ini. Antaranya:

Matang

Usia hanyalah sebuah angka. Ternyata mereka yang jauh lebih berusia ini mempunyai kematangan yang ketara. Kesabaran, kebijaksanaan, keikhlasan dan pengalaman berumah tangga antara faktor yang membuat wanita terpikat. Ramai wanita yang mengakui kenyataan ini setelah mereka mengahwini lelaki yang lebih berusia. 

Sifat matang ini amat penting bagi seorang lelaki yang akan memimpin rumah tangga kerana merekalah yang akan membuat keputusan penting. Keputusan yang dibuat seharusnya bukan bersifat emosi yang meledak semata-mata. Kematangan seorang lelaki yang berumur pasti akan menarik hati golongan wanita muda. 

Malah lelaki matang juga sering menjadi pilihan ibu bapa dalam dijadikan calon menantu. Mungkin disebabkan faktor pemikiran mereka yang sentiasa jauh ke hadapan berbanding mereka yang masih mentah. Tambahan lagi, apabila wanita mengahwini lelaki yang jarak umurnya lebih berusia, wanita dan pasangan mereka lebih bahagia menikmati hidup bersama. Mungkin disebabkan lelaki berusia ini terlebih dulu makan garam dalam menjalani kehidupan sebelum mereka berumah tangga.

Stabil Dalam Ekonomi Dan Kerjaya

Lelaki yang berusia biasanya lebih stabil dari segi ekonomi dan kerjaya berbanding lelaki yang berumur 20-an. Mereka memiliki masa yang cukup untuk mengukuhkan kewangan diri dan kerjaya kerana telah lama bekerja. Ini dapat dibuktikan melalui data statistik yang diperoleh dari Jabatan Perangkaan Malaysia. Kadar pengangguran negara yang semakin meningkat adalah terdiri daripada golongan graduan yang baru habis belajar (fresh grads).

Ini sekaligus menjadi asbab kenapa wanita memilih untuk memiliki lelaki yang berusia kerana tahap kestabilan mereka dalam ekonomi dan kewangan. Mereka sudah bersedia untuk menjadi seorang ketua keluarga kepada isteri dan anak-anak. Melalui harta dan kedudukan ekonominya nescaya dapat menjamin ke arah keluarga yang bahagia. Faktor ini juga telah dibuktikan oleh para wanita yang mengahwini lelaki yang lebih berusia.

Konsisten dan Berpandangan Jauh

Bagi seorang lelaki, pertambahan usia mempengaruhi fizikal dan mental mereka. Karakter, perilaku dan sifat mereka pun akan berubah seiring usia mereka. Mereka yang lebih berusia biasanya lebih konsisten dalam menjalani hubungan. Walaupun sudah lama bercinta, rasa bosan tidak akan sesekali muncul dan mempengaruhi dirinya. Mereka juga seorang yang senantiasa berpandangan jauh demi mempertahankan sebuah hubungan.

Pengalaman yang mereka miliki akan digunakan sebaik mungkin termasuklah dalam soal menguruskan diri dan bakal rumah tangga mereka. Sifat ini merupakan antara ciri-ciri pemimpin keluarga yang baik dan menjadi impian setiap wanita kepada bakal suami mereka. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya". (Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 893 dan Muslim no. 1829)

Pandai Mengendalikan Masalah dan Emosi

Lelaki yang lebih berusia tidak akan sesekali terikut akan emosi mereka. Mereka lebih memilih untuk sabar kerana sabar adalah salah satu kunci untuk berjaya dalam kehidupan terutama dalam kehidupan rumah tangga. Mereka akan lebih pandai mengawal emosinya dan tahu bila harus diluahkan atau dipendamkan. Sabda baginda Rasulullah di dalam satu hadis maksudnya; 

“Iman itu dua bahagian; satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi adalah syukur” - [HR Baihaqi:9264].

Pada saat anda dan si dia mempunyai perbezaan pendapat, si dia tahu untuk mengawal nada bicara agar anda tidak sakit hati. Justeru, setiap masalah yang melanda rumah tangga anda pasti si dia dapat mengendalikannya dengan baik. InsyaAllah.

Romantik

Lelaki yang berusia juga memiliki pesona yang tersendiri. Ia sangat berbeza dengan lelaki yang muda. Ramai wanita yang tidak suka dengan tindakan kasar dan emosional lelaki muda. Lelaki yang berusia lebih romantik dan penyayang. 

Contoh yang paling dekat dengan kita adalah kisah Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aisyah R.A. Beza umur antara Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aisyah R.A. adalah sangat jauh namun baginda tetap romantik terhadap isterinya. Bahkan terdapat satu kisah yang popular iaitu kisah Rasulullah S.A.W. berlumba lari dengan Saidatina Aisyah R.A. yang diriwayatkan oleh At-Tabrani:

Suatu hari Rasulullah S.A.W. berlumba lari dengan Saidatina Aisyah R.A. dan Saidatina Aisyah R.A. menang. Saidatina Aisyah R.A. bercerita, “Nabi S.A.W. berlari dan mendahuluiku (namun aku mengejarnya) hingga aku mendahuluinya. Tetapi, tatkala badanku gemuk, Nabi S.A.W. mengajak lumba lari lagi namun beliau mendahului, kemudian beliau mengatakan, “Wahai Aisyah, ini adalah balasan atas kekalahanku yang dahulu.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)

Namun masih ada tanggapan negatif masyarakat terhadap pernikahan ini. Ada yang berpendapat bahawa lelaki berusia ingin mengahwini wanita muda kerana mereka bersikap gatal dan miang.

Islam sendiri telah menggariskan beberapa panduan dan terserah kepada kita untuk memilih pasangan yang bersesuaian. Jarak usia adalah sesuatu yang subjektif. Apa yang penting cara pasangan itu mengendalikan rumah tangga mereka itu sendiri.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Kongsi artikel ini: