Merisik sebelum bernikah ?
Merisik sebelum bernikah ?
Merisik merupakan satu perbuatan daripada pihak lelaki atau pihak perempuan untuk menyiasat latar belakang pasangan sebelum mendirikan rumah tangga. Ia bukan perbuatan wajib tetapi sangat digalakkan di dalam islam sebelum berkahwin. Sebelum anda merisik pastikan niat anda betul terlebih dahulu. Tanamkan niat sebagai salah satu usaha anda untuk bernikah bukan hanya untuk dibuat main dan menambah koleksi teman wanita.
Firman Allah swt dalam surah Al hujarat, ayat yang ke 13 :
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaaan dan amalan kamu)."
Jadi daripada ayat al quran tadi, jelaslah bahawa tujuan kita diciptakan Allah daripada kalangan lelaki dan perempuan serta pelbagai lapisan bangsa keturunan antara lainnya juga adalah untuk saling kenal mengenal. Ini termasuk dalam hal perkahwinan untuk meramaikan umat islam. Kita digalakkan untuk saling bertaaruf dan kenal termasuklah dalam hal merisik sebelum sesuatu pernikahan dilangsungkan.
Proses merisik yang berlaku biarlah dalam pengetahuan ahli keluarga kita. Jika kita rasa masih terlalu awal untuk memberitahu pihak keluarga, pilihlah kawan atau sahabat yang paling kita rasa ‘thiqah’ dan kita percaya padanya. Ini kerana, sahabat yang amanah, tidak akan membocorkan rahsia kita jika risikan kita kepada bakal pasangan kita tidak dapat diteruskan atau ada masalah nanti di kemudian hari.
Ini adalah beberapa tujuan mengenai kepentingan proses merisik sebelum berkahwin :
a) Mengetahui sama ada lelaki atau wanita yang diminati masih belum berpunya.
b) Menyiasat latar belakang lelaki atau wanita tersebut supaya kita tahu asal, keturunan dan maklumat mengenai bakal pasangan kita.
c) Melihat rupa pasangan kita supaya kita selesa dan tenang dengan dia. Cantik itu subjekif kepada setiap orang. Jangan menidakkan fitrah ini untuk mengelakkan berlaku sesuatu di kemudian hari.
Kesimpulan, merisik adalah tuntutan yang sangat digalakkan dalam islam sebelum sesuatu ikatan perkahwinan berlangsung. Risiklah siapa bakal pasangan anda dengan sahabat, kawan atau keluarga bakal pasangan anda itu untuk mendapatkan maklumat. Bak kata pepatah melayu, ‘tak kenal, maka tak cinta’.
Wallahualam.
Belum ada jodoh?