Nikah Thailand
Nikah Thailand
Setiap pernikahan yang memenuhi hukum syarak tidak kira di mana sahaja ia berlaku, akan menjadi sah jika semua rukun dan syarat nikah dipenuhi.
Ramai melihat kes nikah sempadan sebagai isu remeh dan terpencil. Namun jika diabaikan tanpa tindakan sewajarnya atau tanpa pengawalan, ia bakal menjadi gejala yang boleh merosakkan institusi keluarga. Ianya tidak dinafikan juga bahawa perkahwinan di luar sempadan sangat popular dalam kalangan masyarakat pada zaman ini.
Nikah sempadan merujuk kepada perkahwinan yang dilakukan di luar negara. Antara yang paling popular adalah di Thailand. Khususnya di Songkhla, Narathiwat, Yala, Satun dan Pattani. Namun hakikatnya, mereka yang memilih untuk berkahwin di luar sempadan sebenarnya mencari masalah yang lebih besar terutama apabila mereka pulang ke Malaysia.
1) Hukum bernikah di luar negara
Setiap pernikahan yang memenuhi hukum syarak tidak kira di mana sahaja ia berlaku, akan menjadi sah jika semua rukun dan syarat nikah dipenuhi. Pernikahan di luar negara juga perlu dipastikan beberapa aspek dan kriteria, antaranya tempat akad nikah yang diiktiraf oleh negara berkenaan.
Seperti yang dapat dilihat sekarang adalah yang sedang rancak berlaku di negara jiran atau lebih dikenali sebagai 'Nikah Thailand'. Selain hukum-hakam agama, pasangan yang memilih untuk bernikah di luar negara sebenarnya perlu juga melihat pelbagai implikasi lain yang berkait dengan undang-undang.
Selain itu, hukum nikah di luar negara mestilah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Misalnya, jarak tempat berlaku akad nikah dengan tempat tinggal wali bermastautin hendaklah melebihi dua marhalah (92 kilometer) untuk melayakkan mereka menggunakan perkhidmatan wali hakim. Perkahwinan itu juga perlu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakadnikahkan oleh mereka yang telah ditauliahkan sebagai wali hakim.
2) Kenapa berlakunya 'Nikah Thailand'?
i) Tidak mendapat restu ibu bapa adalah antara faktor utama kenapa berlakunya 'Nikah Thailand'.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Redha Allah bergantung pada redha kedua-dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa”. (Hadis Riwayat Hakim)
Hadis di atas menjelaskan bahawa sekiranya seorang anak berbuat baik kepada kedua ibu bapanya sehingga mereka reda kepadanya, maka Allah juga reda kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibu bapanya, maka Allah juga murka kepadanya.
Justeru, sebelum membuat apa-apa keputusan, pastikan setiap perbuatan terutama dalam soal pernikahan mestilah diiringi dengan keredaan daripada ibu bapa.
ii) Berpoligami - Ianya sama ada pihak lelaki tidak memohon dari mahkamah syariah ataupun kerana pihak keluarga wanita tidak bersetuju. Ada juga lelaki yang "belum bersedia" memberitahu isteri pertamanya dan terdapat banyak lagi sebab musabab di dalam kategori ini.
iii) Hantaran - ada pihak wanita yang meminta hantaran terlalu tinggi. RM20,000 misalnya, walhal pendapatan si lelaki cuma RM2,000 sebulan. Permintaan hantaran yang terlalu tinggi menyebabkan si lelaki tidak mampu untuk menunaikannya. Lantas mereka memilih untuk bernikah di luar negara sahaja kerana tidak mendapat persetujuan dari pihak keluarga wanita.
iv) Undang-undang pernikahan yang rumit juga menjadi faktor pasangan Islam di Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand
3) Implikasi undang-undang
Pasangan yang bernikah di luar negara bakal berdepan dengan masalah seperti kesahihan status pernikahan mereka. Ramai yang telah bernikah di selatan Thailand tidak mendaftarkan pernikahan mereka di mana-mana pejabat agama Islam di Malaysia
Berdasarkan statistik JAIS, seramai 1938 kes yang membabitkan pasangan yang bernikah di luar negara tetapi tidak berdaftar dan kes ini dilaporkan akan meningkat (Harian Metro, 2017). Setiap pasangan perlu mendaftarkan pernikahan mereka bagi mendapatkan sijil nikah agar pernikahan mereka dilindungi di bawah undang-undang Malaysia
Misalnya, ada pasangan yang pulang ke Malaysia selepas menikah tidak mendapatkan surat pengesahan. Mereka beranggapan ianya tidak penting walhal langkah ini dapat memudahkan apa jua urusan mereka sebagai suami isteri seperti menunaikan haji, umrah atau mendaftar anak di Jabatan Pendaftaran Negara serta pendaftaran persekolahan anak.
Seperti yang diperkatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, undang-undang yang dijalankan bukan untuk mengalakkan orang ramai berkahwin di sempadan tetapi untuk memastikan mereka yang berkahwin di sempadan mendaftarkan pernikahan mereka bagi memudahkan urusan pada masa depan.
Kesimpulan
Mana-mana pasangan yang memilih untuk bernikah di sempadan perlu memikirkan bahawa urusan di kemudian hari perlu diberi keutamaan. Oleh itu, sebelum membuat apa-apa keputusan, jangan hanya mengikut kata hati semata-mata tetapi perlu juga memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku kelak.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?