Perbelanjaan Kahwin Yang Melampau

Perbelanjaan Kahwin Yang Melampau

"Perbelanjaan perkahwinan masyarakat tempatan dilihat semakin tinggi dan melampau.."

Dikarang oleh Inaaina | Perkahwinan

 

Setiap perkahwinan memperuntukkan sejumlah harta yang perlu dibelanjakan sebagai persiapan untuk mendirikan rumah tangga. Ia adalah satu keperluan kepada pasangan yang akan berkahwin. Rasulullah S.A.W pernah membelanjakan harta untuk pembayaran mas kahwin dan penganjuran walimah sempena perkahwinan baginda. 

Namun pada zaman kini, perbelanjaan perkahwinan masyarakat tempatan dilihat semakin tinggi dan melampau. Trend sambutan perkahwinan secara besar-besaran dengan pelbagai adat dan kelengkapan semasa memerlukan kepada puluhan ribu ringgit. Malah trend ini juga seolah-olah menjadi seperti satu perlumbaan di kalangan masyarakat.

Ia bukan sahaja semakin membebankan pasangan yang akan berkahwin, malah boleh membawa kepada budaya berhutang kerana ada yang sanggup membuat pinjaman bank. Selain itu, ia juga antara faktor seseorang itu berkahwin pada lewat usia oleh kerana simpanan yang masih belum mencukupi. 

Ilmu dan pencerahan terhadap corak dan gaya perbelanjaan perkahwinan Rasulullah S.A.W pula semakin dilupakan sekarang. Masyarakat seolah-olah hanya meneruskan trend tersebut tanpa didedahkan dengan panduan dalam menguruskan perbelanjaan perkahwinan mereka.

Salah Faham Tentang Konsep Majlis Perkahwinan

Salah faham mengenai majlis perkahwinan merupakan satu masalah yang berpunca akibat pengaruh daripada persekitaran atau keluarga. Ramai orang yang menganggap majlis perkahwinan mesti dibuat secara besar-besaran untuk meraikan tetamu dan memberitahu kepada umum tentang perkahwinan tersebut. Dalam Islam, tidak disebut untuk membuat majlis perkahwinan yang besar dan mewah. Tujuan majlis hanya sekadar hebahan. Majlis perkahwinan yang dibuat mestilah mengikut kemampuan keluarga itu.

Islam merupakan agama yang mudah dan tidak membebankan. Membicarakan isu majlis kenduri kahwin (walimah) daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis ini,

Dari Abu Hurairah R.A, katanya Nabi S.A.W bersabda: 

“Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadahlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” 

(Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, majlis kenduri kahwin (walimah) daripada konteks Islam tidaklah membebankan dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan.

“Buatlah kenduri walaupun dengan seekor biri-biri.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Impak Media Sosial Terhadap Perbelanjaan Kahwin

Impak daripada media sosial bukanlah lagi satu perkara yang boleh dipandang remeh oleh masyarakat. Astro Awani ada melaporkan tentang kajian yang dilakukan di pelusuk dunia, kebanyakan ahli akademik bersetuju bahawa sosial media mempunyai kuasa yang boleh memberi impak langsung terhadap pemikiran dan cara hidup pengguna.  

Malah platform media sosial dianggap sebagai salah satu medium untuk melaksanakan teori ‘social convention’ iaitu satu kaedah menormalisasikan satu perbuatan. Kedua adalah teori agenda-setting iaitu satu kaedah mengadaptasi pemahaman baru dalam komuniti. Berdasarkan kedua-dua teori, sekiranya media sosial digunakan dengan cara yang salah oleh sesetengah individu, ia boleh memberikan kesan yang berpanjangan dalam masyarakat. 

Misalnya menormalisasikan trend majlis perkahwinan yang gah antara kalangan selebriti. Apabila followers atau pengikutnya memandang pada konsep majlis yang gah oleh selebriti yang mereka minati, ia secara automatik akan menjadi satu ikutan. Maka secara tidak langsung perkara ini menjadi ‘wishlist’ atau senarai hajat mereka juga untuk majlis perkahwinan kelak.

Hantaran Tinggi Menyukarkan Perkahwinan

Perbelanjaan perkahwinan yang tinggi turut menyukarkan urusan perkahwinan kepada kaum muda. Penetapan kadar wang hantaran yang tinggi menyebabkan pasangan lelaki terpaksa berfikir beberapa kali sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dan mengambil masa yang lama bagi menyimpan wang sebelum boleh mendirikan rumah tangga.

Mengenai isu hantaran, masyarakat pernah dikejutkan dengan kisah viral seorang gadis di Sandakan, Sabah. Gadis itu menerima wang hantaran sebanyak RM400,000 dari pasangannya dan perkara itu mencuri perhatian ramai sehingga ada yang membangkitkan isu hantaran dalam Islam. 

Menurut Imam Muda Asyraf (Juara Pencetus Ummah musim pertama), seseorang berkahwin dengan memperoleh hantaran tinggi adalah dibolehkan dalam Islam namun perlu memudahkan kedua-dua pihak. Tambah beliau lagi, mudah dalam konteks hantaran itu adalah bermaksud kedua-dua pihak boleh bayar dan perlulah bersetuju dengan angka hantaran yang dikemukakan berkenaan. 

Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya juga menekankan pasal isu hantaran. Katanya jika keluarga wanita itu berunding dan lelaki itu bersetuju dengan rundingan itu, maka ianya tiada masalah. Jangan sampai membebankan pihak lelaki yang akhirnya memilih untuk membuat pinjaman peribadi demi sebuah perkahwinan. 

Fahami Perbezaan Mas Kahwin Dan Wang Hantaran

Mas kahwin (Mahar), menurut istilah Syara’ ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan. Mengikut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat mas kahwin apabila akad nikahnya sah. Pemberian mas kahwin akan menjadi hak sepenuhnya isteri. Suami mahupun keluarga tidak boleh mengambil sedikit pun bahagian daripada mas kahwin tersebut melainkan sekiranya dibenarkan isteri. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka.”

(Surah An-Nisaa-Ayat 4)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” 

(Riwayat Bukhari)

Wang hantaran pula merupakan satu bentuk hadiah berupa wang tunai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak keluarga. Manakala, wang hantaran pula bukanlah hak milik mutlak sepenuhnya isteri, ia boleh diberikan kepada keluarga untuk menyelenggarakan majlis perkahwinan. Namun mas kahwin adalah pemberian yang wajib dan hantaran pula adalah tidak wajib. 

Konsep perbelanjaan perkahwinan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W adalah ideal untuk dijadikan panduan oleh mereka yang bakal mendirikan rumah tangga. Ibu bapa merupakan antara orang utama yang terlibat dalam menguruskan hal perkahwinan anak-anak. Mereka sewajarnya diberi kefahaman tentang konsep ini agar ia mampu diterapkan dalam pengurusan perbelanjaan perkahwinan nanti.  Jika anda mampu, dipersilakan. Jika tidak mampu, ikutlah kemampuan anda. Jangan melampaui batas.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 



 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar