PEREMPUAN LEBIH BERUSIA DARIPADA LELAKI

PEREMPUAN LEBIH BERUSIA DARIPADA LELAKI

Apa yang diutamakan dalam Islam untuk sebuah pernikahan adalah agama dan akhlak...

Dikarang oleh Inaaina | Perkahwinan

Umum sudah mengetahui bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Siti Khadijah r.a yang mempunyai jurang umur yang jauh lebih berusia daripada baginda. Berdasarkan kisah ini, ianya jelas menunjukkan bahawa perbezaan umur tidak menghalang seseorang itu untuk mendirikan rumah tangga.

Namun, pola pemikiran masyarakat zaman sekarang sudah dipengaruhi dengan perkara lain terutama apabila lelaki menikahi perempuan yang lebih berusia. Mereka lebih menyifatkan ianya sebagai sesuatu yang luar biasa. Disebabkan persepsi ini juga telah menyebabkan wanita yang sudah lanjut usia sudah pasrah dengan ketentuan ini. Malah ada yang sudah putus asa untuk meneruskan usaha dalam pencarian jodoh.  

Secara hakikatnya tidak ada salahnya apabila seseorang itu memilih untuk bernikah dengan wanita yang lebih berusia daripadanya. Malah banyak hikmah yang bakal mereka peroleh daripada pernikahan itu.

 

PEREMPUAN BERUSIA LEBIH BERDIKARI DAN MATANG

 

Sekali lagi saya jadikan contoh dari kisah Saidatina Khadijah r.a yang menjadikan Muhammad sebagai suaminya walaupun dia lebih berusia daripada suaminya. Kisah ini dapat dijadikan teladan oleh masyarakat dan telah menjelaskan bahawa wanita yang lebih berusia lebih bersikap matang dan berdikari. Ianya dapat dibuktikan lagi apabila Ibnu Kahtir menyifatkan Khadijah adalah seorang yang cukup matang dan berpandangan jauh.

Pesona Pengantin pada Mac 2016 juga ada menekankan bahawa wanita yang berusia memiliki daya pemikiran yang lebih matang. Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan suami yang memiliki sifat ego kerana setiap lelaki mempunyai ego mereka yang tersendiri. Namun ingin saya tekankan di sini, meskipun si suami lebih muda tetapi sebagai isteri mestilah sentiasa menghormati suami kerana mereka adalah ketua keluarga anda.

 

KEYAKINAN DIRI YANG TINGGI

 

Ianya jelas dan terbukti apabila perempuan yang usianya lebih tua berbanding lelaki memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka. Ini disebabkan oleh pengalaman mereka yang telah bertemu dengan ramai orang yang mempunyai ragam dan karakter yang berbeza. Tidak dinafikan juga apabila menikahi wanita yang lebih berusia ini ianya dapat memudahkan perjalanan sebuah rumah tangga ke arah yang lebih baik.

Ini dapat dijelaskan lagi apabila melihat kematangan mereka dalam membuat sebarang keputusan disebabkan oleh pemikiran mereka yang berbeza. Malah dari segi konflik atau masalah yang dihadapi juga dapat diatasi dengan mudah dan tenang. Ianya adalah disebabkan oleh tahap kesabaran yang tinggi dalam diri mereka.

Sinar Online pada November 2012 telah membuat kajian mengenai kelebihan wanita yang lebih berusia. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Britain, wanita berusia 30an atau 40an mempunyai keyakinan diri yang tinggi berbanding mereka yang berusia 20an.

 

MEMPUNYAI MATLAMAT HIDUP YANG JELAS

 

Seperti yang saya nyatakan di atas, mereka yang berusia ini lebih bersikap matang dalam kehidupan. Maka dengan itu sudah pasti mereka mempunyai matlamat atau tujuan hidup yang jelas. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan kehidupan mereka sendiri. Tujuan mereka dalam mendirikan rumah tangga juga sudah cukup jelas dan bukan untuk main-main.

Hubungan yang mula terjalin sudah dipandang serius dan sentiasa berusaha untuk mempertahankannya. Bermula dari sebuah visi dan seterusnya ke arah sebuah pernikahan. Majalah Pesona Pengantin turut menyatakan bahawa wanita yang lebih berusia ini memandang serius sebuah hubungan berbanding mereka yang masih muda. Segalanya sudah teratur dan mereka juga seorang yang berpendirian tetap.

 

LEBIH BERSIKAP TERBUKA TANPA SEBARANG KIAS

 

Perempuan sudah terkenal dengan sikap mereka yang sering menggunakan bahasa kiasan ketika berbicara. Malah disebabkan bahasa kiasan yang digunakan itulah membuatkan para lelaki sukar memahami apa yang cuba disampaikan. Yang bertambah rumitnya apabila si lelaki pula yang harus mempelajari lebih lagi bahasa si wanita.

Berbeza pula bagi wanita yang sudah berusia. Mereka lebih bersikap terbuka atau dalam erti kata lain lebih bersikap jelas. Mereka jarang menggunakan bahasa kiasan dalam berkomunikasi dan membuatkan ianya mudah untuk difahami.

 

KESIMPULAN

 

Sesungguhnya Islam tidak menetapkan persoalan umur sebagai ukuran dalam pernikahan. Apa yang diutamakan dalam Islam untuk sebuah pernikahan adalah agama dan akhlak. Maka jelaslah bahawa perbezaan umur antara lelaki dan wanita bukan penghalang untuk mereka meneruskan sebuah pernikahan.

“Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu” (An Nisa : 3)

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia















 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar