PERKAHWINAN: KERANA PENTINGKAN ADAT, AGAMA DILUPAKAN
PERKAHWINAN: KERANA PENTINGKAN ADAT, AGAMA DILUPAKAN
Sudah menjadi lumrah manusia untuk mendirikan rumah tangga kerana perkahwinan merupakan salah satu saat terindah dalam kehidupan...
Sudah menjadi lumrah manusia untuk mendirikan rumah tangga kerana perkahwinan merupakan salah satu saat terindah dalam kehidupan setiap manusia sedangkan agama sendiri menyeru umatnya untuk berkahwin. Perkara yang membuatkan perkahwinan menjadi semakin rumit apabila masyarakat lebih mementingkan adat berbanding yang telah ditetapkan oleh agama.
Tidak dinafikan, masyarakat melayu pada zaman sekarang begitu berpegang teguh kepada adat resam sehinggakan sesuatu perkahwinan dianggap seperti tidak lengkap sekiranya adat resam diketepikan, walhal yang paling penting pula dilupakan, iaitu agama.
Semua orang mahu mendirikan rumah tangga, namun dek kerana persediaan untuk menuju ke arah perkahwinan yang masih belum cukup, lantas perkahwinan ditangguhkan terlebih dahulu. Apakah sebab ianya terjadi? Kerana masih belum cukup duit untuk mewujudkan kemeriahan pada hari bahagia itu?
Kita sering mendengar bahawa kos sesebuah perkahwinan terlalu mahal sehingga ramai yang sanggup ‘ikat perut’ sehingga tiba saat majlis perkahwinan mereka. Adakah disebabkan tuntutan agama yang menyebabkan perkara ini berlaku? Tidak! Ternyata agama tidak akan membebankan umatnya lebih-lebih lagi sekiranya ianya menjurus ke arah kebaikan. Sebenarnya, masyarakat itu sendiri yang menyukarkan sesuatu perkahwinan itu.
Wang hantaran
Sebagai contoh, wang hantaran yang ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan, dalam agama tidak mewajibkan bakal suami untuk menyerahkan wang hantaran seperti yang dipinta, hal ini kerana, hantaran cuma merupakan satu bentuk hadiah yang berupa wang tunai, namun jumlah ketetapannya berbeza-beza sehingga ada yang menjangkau sehingga berpuluh ribu. Malah, pada zaman sekarang, nilai RM10 ribu pun dianggap sudah normal atau erti kata lain, nilai yang sudah rendah untuk sesebuah perkahwinan.
Ada sesetengah wanita, mereka memberikan separuh daripada wang tersebut kepada keluarga mereka untuk perbelanjaan seperti majlis kenduri dan lain-lain. Secara hakikatnya, wang hantaran inilah antara punca sesebuah perkahwinan dilewatkan kerana pihak lelaki masih terbeban untuk mengumpul sejumlah wang yang begitu tinggi nilainya. Kalau ya pun pihak wanita mahukan hadiah berbentuk wang, jangan terlalu tinggi nilainya. Dengan ini, anda juga mampu mempercepatkan perkahwinan dan juga dapat mengurangkan beban si lelaki. Apa yang perlu anda ingat adalah perbelanjaan selepas kahwin lagi tinggi nilainya!
Barang hantaran
Dengar sahaja mengenai persiapan majlis perkahwinan, pasti soalan yang keluar adalah, “berapa dulang hantaran?, barang apa yang nak dibeli?, berapa bajet yang perlu dipersiapkan?”. Soalan inilah yang bermain difikiran setiap bakal pengantin. Menjelang sahaja hari perkahwinan, pasti bakal pengantin akan sibuk memikirkan barang hantaran yang perlu dibeli. Malah ada yang membeli 5 bulan awal sebelum menjelang hari pernikahan mereka kerana banyak lagi perbelanjaan yang diperlukan sebelum menempuh hari bahagia mereka. Kos yang dikenakan bukan sahaja terhad pada barang hantaran itu sahaja, malah setiap gubahan hantaran itu juga menelan belanja yang tinggi, setiap yang dilakukan pasti ingin nampak kemas dan cantik.
Pelamin
Bagi sesebuah perkahwinan, kalau tanpa pelamin sesebuah majlis itu seakan-akan tidak lengkap, bahkan pada zaman ini sekiranya tidak nampak akan kewujudan pelamin, ianya seolah-olah bukan sebuah majlis perkahwinan. Ada sesetengah pasangan hanya sekadar ingin bergambar, malah ada juga yang ingin menyempurnakan majlis dengan bersanding. Mereka lebih mementingkan trend sahaja sedangkan duit belanja yang dikeluarkan untuk pelamin semata-mata juga memakan jumlah yang tinggi.
Doorgift
Sekarang bila dah tengok masyarakat sekeliling bagi itu ini sebagai doorgift, setiap bakal pengantin teringin nak ikut sekali, sedangkan bajet yang ada hanyalah cukup-cukup makan sahaja. Kenapa perlu bermewah sampai tahap itu?
Setiap apa yang telah ditetapkan oleh agama tidak akan memberi bebanan kepada umatnya. Perkahwinan itu mudah dalam Islam namun disebabkan adat, masyarakat membuatkan sesebuah perkahwinan itu nampak sukar. Nak berbelanja mestilah mengikut kemampuan setiap individu, jangan hanya mengejar glamour semata-mata sehingga menangguhkan perkahwinan sedangkan perkahwinan adalah salah satu perkara yang harus dipercepatkan. Lakukan perkara yang wajib sahaja, sekiranya ada bajet lebih, boleh lah nak berhias sedikit. Itupun kalau anda rasa ianya wajar!
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?