Punca Kenapa Berlakunya Kahwin Lari

Punca Kenapa Berlakunya Kahwin Lari

Hal ini terjadi kerana apabila pasangan yang sudah mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi ianya terhalang disebabkan tidak mendapat restu daripada ibu bapa...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

Istilah 'kahwin lari' adalah merujuk kepada pernikahan alternatif yang dijalani oleh pasangan dalam keadaan mereka melarikan diri daripada prosedur biasa Mahkamah Syariah. Kahwin lari merupakan satu perkara yang agak biasa kedengaran di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Ia melibatkan semua golongan peringkat umur, muda mahupun yang sudah berusia. Malah kalangan selebriti dan orang kenamaan termasuk yang berpangkat ‘Dato’ juga tidak terlepas daripada isu ini.

Destinasi pilihan bagi pasangan kahwin lari di negara ini ialah ke negara jiran iaitu di Selatan Thailand. Ada juga yang melakukan kahwin lari di Indonesia, terutamanya Lombok atau di pedalaman Malaysia. Mereka menganggap kahwin lari ini adalah salah satu jalan mudah untuk menyelesaikan segala permasalahan dan  kekusutan yang melanda dalam perhubungan mereka.

Pada artikel ini kita akan bincangkan sebab-sebab berlakunya masalah ini. Antara punca berlakunya kahwin lari adalah seperti berikut.

1. Tidak Mendapat Persetujuan Ibu Bapa

Hal ini terjadi kerana apabila pasangan yang sudah mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi ianya terhalang disebabkan tidak mendapat restu daripada ibu bapa. Antara sebab-sebab yang menghalang perhubungan mereka ialah seperti ibu bapa sudah mempunyai pilihan mereka masing-masing, pasangan tidak setaraf atau tidak bekerjaya.

Apabila niat murni mereka telah ditolak, situasi ini akan membuatkan mereka menjadi tertekan untuk menunaikan keinginan untuk hidup bersama dengan orang yang disayangi. Oleh sebab itu, mereka tidak teragak-agak untuk membuat keputusan mudah iaitu kahwin lari.

Dalam kes ini, perbincangan yang baik antara si anak yang mahu berkahwin dengan ibu bapa sangat diperlukan. Mereka perlu mempunyai sikap tolak ansur dan kompromi. Melalui perbincangan, insya-Allah setiap keputusan yang diambil lebih rasional. Allah telah berfirman dalam Al-Quran mengenai kepentingan muzakarah (perbincangan) yang bermaksud:

“...Kerana itu maafkanlah mereka, mohonlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Surah Ali Imran : Ayat 159)

2. Mahu Berpoligami

Selain itu, antara punca kahwin lari ialah apabila seseorang itu ingin berpoligami. Sudah menjadi lumrah dan fitrah bagi kebanyakan wanita dan isteri, mereka tidak akan sanggup mengizinkan suami mereka untuk berkahwin lain. Mereka tidak mahu berkongsi kasih sayang dengan orang lain tanpa sebab yang kukuh.

Ada pihak isteri yang lantang dan akan bersikap agresif apabila suami meluahkan hasrat atau mengetahui hajat suami mereka untuk berkahwin lagi dengan wanita lain. Keadaan ini menyebabkan ramai lelaki mengambil langkah selamat dengan melangsungkan perkahwinan kedua mereka secara kahwin lari di negara seberang. Ini membolehkan rahsia perkahwinan kedua tersebut selamat dan tertutup rapi.

3. Terlanjur

Antara faktor lain kahwin lari ialah apabila pasangan anak muda yang masih naif dalam alam percintaan telah menyerahkan mahkota dan kesucian mereka. Mereka telah terlanjur seawal usia muda dan ketika masih belum mempunyai ikatan yang sah sebagai pasangan suami isteri.

Akibat daripada keterlanjuran tersebut, mereka berasa bersalah dan ingin memikul tanggungjawab di atas kesalahan yang telah dilakukan. Lebih-lebih lagi jika pasangan perempuannya itu disahkan mengandung. Sesetengah ibu bapa akan melarang  anak mereka yang masih dianggap mentah itu berkahwin.

Jadi, pasangan tadi akan mengambil keputusan untuk menutup malu dan meneruskan hubungan percintaan mereka itu dengan tindakan kahwin lari. Mereka tidak memperdulikan keputusan yang telah dibuat oleh keluarga masing-masing yang melarang mereka untuk berkahwin.

4. Nikah gantung

Nikah gantung bermaksud pernikahan di mana pasangan suami isteri tidak duduk serumah di dalam satu tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Selalunya golongan yang melakukan nikah gantung ini adalah golongan yang masih menuntut ilmu. Mereka akan menghabiskan pengajian, kemudian barulah mereka akan duduk serumah sebagai suami isteri setelah tamat pengajian atau apabila sudah mendapat kerja tetap.

Kahwin lari secara senyap-senyap akan memudahkan urusan mereka untuk nikah gantung. Mungkin cara ini dilakukan kerana ingin menyembunyikannya daripada pengetahuan ibu bapa atau mahu melangsungkannya secara tertutup. Kemudian apabila tamat pengajian, barulah keluarga dan pasangan ini akan melangsungkan perkahwinan secara rasmi.

Kesimpulan

Kahwin lari sebenarnya mendatangkan banyak masalah berbanding kebaikan. Walaupun niat untuk menghalalkan perhubungan, namun pasangan yang berhajat untuk kahwin lari ini perlu memikirkan dengan akal yang rasional. Jangan sampai tindakan kita hari ini akan menyusahkan kita di kemudian hari.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar