SAYA TAKUT POLIGAMI

SAYA TAKUT POLIGAMI

“Salma sekarang berkawan mesra dengan suami orang. Hubungan mereka sudah lama dan sejak akhir-akhir ini Salma sudah fikir masak-masak untuk meninggalkan lelaki itu...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

“Salma sekarang berkawan mesra dengan suami orang. Hubungan mereka sudah lama dan sejak akhir-akhir ini Salma sudah fikir masak-masak untuk meninggalkan lelaki itu kerana dia merasakan bahawa dia tidak berhak untuk merampas suami orang tetapi setiap kali Salma meminta agar perhubungan mereka itu diputuskan, lelaki tersebut berkeras untuk mempertahankannya. Salma risau akan penerimaan isteri lelaki itu tentang perhubungan mereka ini. Meskipun keluarga Salma sudah mengetahui akan perkara ini, Salma masih lagi berat hati untuk meneruskan perhubungan mereka ke arah perkahwinan. Salma juga bimbang sekiranya kehidupannya selepas bermadu nanti akan terabai. Hendak ditolak terus tetapi memikirkan usianya yang semakin lanjut. Pemuda mana lagi yang sanggup menerimanya sebagai isteri dengan usianya yang sebegini.”

Kenapa poligami?

Islam membenarkan poligami adalah atas dasar untuk menyelamatkan perempuan yang hidup dalam penderitaan dan kesusahan. Selain itu, poligami juga adalah untuk menyelamatkan sesebuah rumah tangga.

Sebagai contoh, seorang wanita yang sudah lanjut usianya sangat ingin merasai kehidupan berumah tangga dan mempunyai ramai zuriat dan tidak ada lelaki bujang yang mahu meminangnya. Tambahan pula dengan bilangan kaum wanita yang lebih ramai berbanding bilangan kaum lelaki. Disebabkan itulah poligami dibenarkan dalam Islam.

Perempuan tidak mahu dimadukan

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai wanita atau isteri pada hari ini yang tidak mahu diri mereka dimadukan. Ada diantaranya tidak menyetujui hukum itu. Ada pula yang dapat menerima akan takdir Allah itu tetapi takut jika suami mereka tidak dapat berlaku adil berdasarkan kepada apa yang dilihat dan diketahuinya.

Mampukah lelaki bersikap adil?

Berdasarkan kisah Salma, dia bimbang akan penerimaan isteri lelaki itu malah dia juga bimbang akan layanan yang diberikan kepadanya dan juga isteri pertama lelaki itu, mampukah si lelaki berlaku adil? Dalam soal ini, si lelaki mestilah bersedia untuk memperisterikan Salma dan mampu bertindak adil terhadap Salma dan isteri pertamanya dari segi nafkah zahir mahupun batin.

Dapat mengelakkan pergaulan bebas antara perempuan dan lelaki

Bergaul bebas lelaki dan perempuan sudah jelas haram hukumnya tetapi masyarakat muda-mudi hari ini menganggap ini sebagai salah satu fenomena biasa. Mereka langsung tidak berasa bersalah melakukannya. Namun sebagai manusia, kita semua masih belum terlambat lagi untuk bertaubat kepada yang Maha Esa.

Sedarilah bahawa kesalahan diri kitalah yang menyebabkan kita terikat dengan suami orang. Pada asalnya, niat mahu berkawan meskipun sudah mengetahui si lelaki itu sudah berpunya, namun bila perasaan suka sudah mengatasi  segala-galanya, perasaan itu  sudah tidak dapat dielak. Ada segelintir wanita suka mencabar diri mereka sendiri, namun bila nasi sudah menjadi bubur, perkara sebegini sudah sukar untuk dielakkan.

Bersyukurlah kerana Allah masih memberi kesedaran kepada kita. Seperti kes Salma ini, Allah telah menyelamatkannya kerana telah mempertemukan Salma dengan orang yang baik. Lelaki itu tidak berniat untuk merosakkannya malah mahu memperisterikan wanita itu secara halal.

Hati-hati dengan lelaki yang hanya mencari keseronokan sahaja

Namun dalam kalangan masyarakat pada zaman sekarang, kita sering mendengar lelaki bermain kayu tiga dengan perempuan lain tanpa pengetahuan isterinya. Apabila mereka ditangkap khalwat, si lelaki enggan memperisterikan wanita tersebut dan cuba menafikannya. Ianya jelas menunjukkan si lelaki hanya memandang akan keseronokan sahaja walhal mereka sedar akan tanggungjawabnya sekiranya mereka memilih untuk memperisterikan si wanita itu.

Para wanita yang masih belum bertemu dengan calon pasangan kalau mahu menyelamatkan diri daripada terus menerus terlibat dengan pergaulan bebas, eloklah berkahwin sahaja dengan suami orang yang ikhlas memperisterikan anda. Usahlah dibimbangkan hal yang bukan-bukan. Yakinlah dengan kebaikan Allah yang tidak akan menzalimi hamba-Nya yang berniat baik.

Usahlah ditakuti kehidupan akan datang yang masih belum tentu, serahkan sahaja kepada Allah. Apa yang paling penting adalah mendapatkan keredaan Allah SWT. Lakukanlah solat istikharah untuk mendapat petunjuk-Nya sama ada wajar atau tidak untuk meneruskan perkahwinan itu.

Setiap apa yang dilakukan, kita mesti berazam untuk menjadi seorang wanita yang solehah. Lantas bertaubat dengan penuh kesungguhan dan tinggalkan perkara mungkar. Seterusnya cari jalan untuk menyelamatkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Setelah berkahwin kita tidak akan berhubungan lagi dengan lelaki bukan mahram dan terselamat daripada kemungkaran dan kesukaran hidup di masa akan datang. Berdoalah supaya kita mendapat suami yang bertanggungjawab meskipun si dia adalah suami orang agar rumah tangga kita aman damai sehingga akhir hayat.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar