Takut Hidup Lebih Susah Selepas Berkahwin, Tanyalah Imanmu

Takut Hidup Lebih Susah Selepas Berkahwin, Tanyalah Imanmu

Rasulullah S.A.W. juga telah menunjukkan kepada kita semua bahawa kemiskinan bukanlah penghalang bagi sesebuah perkahwinan. Buktinya adalah beliau sendiri telah menikahkan seorang perempuan yang datang kepada beliau dengan seorang lelaki miskin...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Perkahwinan

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah An Nuur, Ayat 32)

Ayat di atas menunjukkan kepada umat Islam bahawa Allah S.W.T. telah menjanjikan kekayaan atau pun rezeki yang bertambah kepada yang berkahwin. Sebagai umat Islam penting bagi kita semua untuk mempercayai perkara ini. Di bawah kami sertakan beberapa sebab yang mana memberitahu supaya anda jangan terlalu risau akan jatuh lebih miskin selepas berkahwin.

Rezeki Telah Ditetapkan

Pada masa ini kita sering mendengar golongan muda merungut berkenaan perkahwinan  seperti di bawah:

Si A: Gaji aku kecil, kalau kahwin nanti kami akan hidup lebih susah.

Si B: Makan sendiri pun tidak cukup inikan pula mahu menjaga anak orang lain.

Dialog di atas sepatutnya tidak berlaku kerana Allah telah menjanjikan rezeki selepas berkahwin. Kita juga perlu percaya Allah S.W.T. telah menetapkan rezeki bagi setiap orang. Iman Al Qurtubi mengatakan ayat daripada surah An Nuur tersebut mengandungi makna bahawa jangan disebabkan kemiskinan seorang lelaki atau seorang wanita menjadi alasan untuk mereka tidak berkahwin.

Mencari Keredhaan Allah Dan Menjauhi Kemurkaan-Nya

Selain itu, perkahwinan juga adalah bertujuan untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.  dan menjauhi kemurkaan-Nya. Antara ayat yang menyatakan perlunya berkahwin untuk mengelakkan kemurkaan Allah adalah ayat mengenai larangan zina.

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Surah Al-Israa, Ayat 32.

Ayat di atas menjelaskan larangan zina kerana ia merupakan perbuatan yang keji dan boleh menimbulkan pelbagai masalah lain. Jadi dengan perkahwinan anda telah menghindarkan diri anda daripada perkara ini.

Kisah Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. juga telah menunjukkan kepada kita semua bahawa kemiskinan bukanlah penghalang bagi sesebuah perkahwinan. Buktinya adalah beliau sendiri telah menikahkan seorang perempuan yang datang kepada beliau dengan seorang lelaki miskin yang tidak mempunyai apa-apa selain daripada pakaian yang ada di tubuhnya.

Perkara di atas menunjukkan bukti bahawa perkahwinan tidak semestinya memandang pada darjat. Anda dibolehkan mengahwini orang yang sedikit kurang berkemampuan asalkan tujuannya adalah untuk mencari keredhaan Allah.

Jangan salah faham, saya bukan memberitahu anda supaya tidak perlu memilih langsung. Anda boleh memilih berdasarkan kriteria anda cuma jangan risau tentang rezeki selepas berkahwin. Insya-Allah rezeki akan lebih bertambah selepas berkahwin.

Kata-kata Sahabat Tentang Perkahwinan

Tambahan lagi anda juga boleh renungkan kata-kata sahabat nabi di bawah mengenai perkahwinan dan selepas itu tanyalah iman anda:

“ Patuhilah Allah dalam apa-apa yang Dia telah perintahkan padamu untuk berkahwin. Dia akan memenuhi janji-Nya untuk membuatmu kaya.” (Abu Bakar As-Siddiq)

“ Carilah kekayaan pada sebuah pernikahan. Aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih pelik daripada seorang lelaki yang tidak mencari kekayaan dengan sebuah pernikahan. Padahal Allah telah menjanjikan “…Jika mereka miskin, maka Allah akan mengumpulkan mereka dengan kurnia-Nya” (Umar bin Khattab)

“Temukanlah kekayaanmu dengan perkahwinan.” (Abdullah bin Mas’ud)

Kesimpulan

Artikel ini bukanlah ingin memberitahu anda yang anda akan kaya raya selepas berkahwin tanpa sebarang usaha. Namun insya-Allah rezeki anda akan bertambah dan Allah S.W.T akan mencukupkan rezeki anda. Jika tidak diberi dalam bentuk wang ataupun kenaikan pangkat anda mungkin diberikan dalam bentuk anak yang soleh. Percayalah dengan janji Allah dan sentiasa lah berdoa kepada-Nya agar diberikan jodoh yang terbaik dan saling melengkapi antara satu sama lain. Amin.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar