fbpxTREND KAHWIN CAMPUR

TREND KAHWIN CAMPUR

TREND KAHWIN CAMPUR

Perkahwinan adalah perkara mulia yang dituntut agama. Rasulullah S.A.W. sendiri telah menggariskan empat perkara untuk dijadikan panduan...

Dikarang oleh 21976 | Perkahwinan
Kongsi artikel ini: 
Mat dan dan isteri (baitulmuslim.com)

Perkahwinan adalah perkara mulia yang dituntut agama. Rasulullah S.A.W. sendiri telah menggariskan empat perkara untuk dijadikan panduan kepada umatnya dalam hal memilih isteri iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama.

Walau bagaimanapun, Rasulullah S.A.W. menasihati umatnya agar berkahwin dengan pasangan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang teguh bagi mengelakkan pelbagai masalah timbul dalam kehidupan alam rumah tangga yang sentiasa bergolak.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 1, yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya. Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

(Surah An-Nisa’: Ayat 1)

Kahwin campur

Perkahwinan merentasi bangsa, kaum atau negara adalah sesuatu yang boleh dikatakan agak baru di Malaysia. Terma perkataan ‘perkahwinan campur’ pada asalnya diperkenalkan oleh pihak Gereja Katholik untuk menggambarkan perkahwinan antara penganut Katholik dan bukan Katholik.

Kini terma perkahwinan campur juga membawa maksud perkahwinan antara dua pihak yang berlainan agama, bangsa dan warganegara. Perkahwinan yang melibatkan penyatuan antara dua insan daripada golongan berbeza sama ada berlainan agama atau bangsa ini juga dipanggil ‘Eksogami’.

Perkahwinan campur dalam Islam adalah perkahwinan di antara dua pihak yang berlainan latar belakang bangsa, agama atau warganegara. Sebagai contoh, sekiranya seorang Muslim Melayu berkahwin dengan seseorang yang berbangsa Inggeris yang pada asalnya merupakan penganut agama lain, perkahwinan itu boleh dikira sebagai perkahwinan campur.

Perkahwinan campur boleh terjadi dalam 3 kategori iaitu;

1. Antara kaum - Contohnya perkahwinan di antara seorang Muslim yang berbangsa Melayu dengan seorang Muslim berbangsa Cina.

2. Antara negara - Contohnya perkahwinan antara seorang Muslim berbangsa Melayu dengan seorang Muslim berbangsa Arab yang berasal dari Dubai.

3. Antara agama - Contohnya perkahwinan antara seorang Muslim dengan seseorang yang beragama Kristian.

Hukum perkahwinan campur

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan pegangan agama.  Di dalam Islam, perkahwinan campur dengan kaum dan negara yang lain adalah dibolehkan dan tidak dilarang dengan syarat pasangan yang ingin kita nikahi itu adalah wajib beragama Islam.

Perkahwinan antara agama pula adalah dilarang kecuali bakal pasangan sama ada lelaki atau perempuan mestilah memeluk Islam terlebih dahulu. Jika tidak banyak masalah yang akan timbul di dalam keluarga tersebut seperti permasalahan anak, pembahagian harta dan sebagainya. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman, sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang musyrik meskipun kamu menyukainya…”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 221)

Larangan ini walau bagaimanapun dikecualikan bagi perkahwinan antara seorang Muslim dengan seorang Kitabiyah. Untuk lebih jelas, anda boleh merujuk kandungan penuh seksyen 10, enakmen undang-undang keluarga Islam 2004 yang seperti berikut:

Berkenaan pengecualiaan kepada seorang Kitabiyah, banyak persoalan yang timbul. Siapa dia seorang Kitabiyah yang dikatakan boleh dan sah dikahwini oleh orang Islam? Kami sediakan juga tafsiran Kitabiyah dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Isu samada masih wujud golongan Kitabiyah pada masa ini, soal itu kami tidak akan bincangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ini. Mengenai perkahwinan campur berlainan agama, kami dengan tegas berpendapat bahawa tidak ada jalan lain kecuali bakal pasangan kita bersedia untuk memeluk agama Islam.

Manfaat perkahwinan campur

1. Merapatkan hubungan silaturahim.

Salah satu hikmah perkahwinan campur adalah dapat merapatkan hubungan silaturahim antara berlainan bangsa. Sebelum ini, mungkin anda tidak mempunyai kenalan atau rakan rapat daripada berlainan bangsa. Namun apabila anda atau ahli keluarga anda sudah berkahwin dengan berlainan bangsa, ia akan merapatkan ukhwah antara anda dan keluarga pasangan anda.

Hubungan yang sebelum ini mungkin renggang pasti akan menjadi lebih erat. Mungkin pasangan anda juga berasal dari luar negara dan ia akan merapatkan hubungan keluarga di antara dua buah negara.

2. Mempelajari budaya bangsa lain.

Jika sebelum ini, anda mungkin tepu kerana langsung tidak mengetahui atau langsung tidak ada sifat ingin tahu tentang budaya bangsa lain yang terdapat di muka bumi ini. Melalui kahwin campur ia akan menambahkan ilmu anda tentang bagaimana budaya kaum lain. Budaya yang dimaksudkan di sini ialah cara pemakanan, gaya hidup, pemakaian, perayaan, cara pergaulan dan pelbagai lagi aspek yang melambangkan budaya hidup sesuatu kaum itu.

3. Memperkembangankan ajaran Islam.

Hikmah lain untuk kahwin campur ialah ia menguatkan lagi ajaran Islam di mata dunia. Perkahwinan campur juga sebenarnya mengukuhkan lagi agama Islam secara langsung dan tidak langsung. Islam tidak melarang mana-mana umatnya untuk kahwin campur atau berkahwin dengan berlainanan agama, tetapi dengan syarat, pasangan bukan Islam yang hendak berkahwin dengan orang Islam hendaklah memeluk agama Islam terlebih dahulu.

Ia menunjukkan bahawa Islam amat tegas dengan pendirian kepada mana-mana bukan Islam tidak boleh berkahwin dengan orang Islam dengan sewenang-wenangnya. Apabila anda berkahwin dengan pasangan yang baru memeluk Islam (mualaf), ia akan membuatkan bilangan masyarakat Islam di dunia bertambah ramai. Ia juga mungkin akan menarik keluarga pada pasangan yang belum memeluk Islam tadi untuk memeluk Islam kerana terpaut dengan keindahan Islam.

4. Betul ke mereka akan memperolehi anak yang pintar dan cantik?

Mereka yang berkahwin campur juga biasanya akan memperolehi anak yang pintar dan cantik. Ia bukanlah suatu yang pasti namun, kebanyakannya adalah begitu. Lihat sahaja artis-artis di Malaysia ini yang cerdik dan cantik seperti Neolofa contohnya, seorang artis dan usahawan yang berjaya. Ia mungkin disebabkan campuran genetik di antara ibu dan ayah yang berlainan bangsa menghasilkan gen yang lebih baik bakanya.

Kesimpulan

Perkahwinan campur adalah sesuatu yang baik dan tidak dilarang di dalam Islam dengan syarat bakal pasangan kita mesti menerima dan memeluk agama Islam. Jika ada antara kita yang berniat untuk berkahwin dengan berlainan bangsa, negara atau agama sekalipun, pastikan kita meletakkan Islam melebihi segalanya kerana ia merupakan akidah dan pegangan seorang Muslim yang perlu dipelihara. Wallahualam.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: