4 Alasan ‘best’ untuk kahwin awal bagi lelaki

4 Alasan ‘best’ untuk kahwin awal bagi lelaki

Berkahwin merupakan perkara yang sangat digalakkan di dalam agama islam. Banyak manfaat yang ada di dalam sesebuah perkahwinan. Ia juga adalah impian bagi seseorang yang mahu membina keluarga...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Berkahwin merupakan perkara yang sangat digalakkan di dalam agama islam. Banyak manfaat yang ada di dalam sesebuah perkahwinan. Ia juga adalah impian bagi seseorang yang mahu membina keluarga dan seseorang yang mempunyai matlamat hidup dalam bermasyarakat.

Firman Allah swt mengenai perkahwinan boleh dilihat di dalam surah An nisa, ayat yang pertama yang bermaksud;

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu”.

(Surah An nisa : Ayat 1)

Jadi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah telah menciptakan setiap makhluk secara berpasangan. Allah yang menjadikan daripada suami itu hadirnya seorang insan peneman hidup yang bergelar isteri. Tujuannya adalah supaya umat manusia bertambah ramai dan agama islam itu semakin meluas dengan pertambahan umat manusia. Dengan ramainya umat islam, diharapkan kita semakin bertakwa kepada Allah dan menjaga hubungan silaturahim sesama manusia.  

Berkahwin merupakan sunnah nabi yang sangat dituntut.  Rasulullah SAW pernah mengingatkan sesiapa yang berkemampuan tetapi enggan untuk berkahwin melalui sabdanya,

“Nikah itu sunnahku, barangsiapa yang tidak suka, bukan golonganku !”

(HR. Ibnu Majah, dari Aisyah r.a.)

Kadang kala, bagi seseorang lelaki, bukanlah mereka tidak mahu berkahwin tetapi pihak keluarga yang tidak membenarkan untuk mereka berkahwin. Persoalannya ialah macam mana seseorang lelaki mahu meyakinkan keluarga yang mereka dan keluarga pihak perempuan yang mereka sudah bersedia dan mampu untuk memikul tanggung jawab sebagai seorang suami? Kami senaraikan beberapa alasan yang ‘best’ untuk lelaki.

1. Tidak mahu terlambat memimpin keluarga.

Kebiasaan bagi seorang perempuan, alasan mahu kahwin awal adalah tidak mahu terlalu lewat menimang cahaya mata. Sama juga halnya bagi seorang lelaki. Menunggu waktu 40 atau 50-an baru hendak berkahwin adalah masa yang sangat lama. Dengan berkahwin awal, lelaki tersebut akan lebih cepat matang dan mempunyai rasa tanggung jawab dan amanah kerana menyara keluarga.

2. Perlukan teman.

Dalam kehidupan kita, hidup berseorangan adalah sesuatu yang tidak lengkap. Ibarat hari-hari yang anda lalui tidak sempurna. Kaum lelaki memang memerlukan kaum perempuan kerana ada perkara yang mereka tidak boleh melakukannya sendiri terutamanya dalam melibatkan pengurusan dan penjagaan diri. Selain itu, dengan adanya isteri, ia merupakan pembakar semangat mereka untuk lebih berjaya sama ada di dalam kerjaya atau kehidupan seorang lelaki.

3. Masa bersama dengan anak lebih banyak.

Jika seseorang lelaki mahu keturunannya diteruskan, tidak ada jalan lain kecuali dengan berkahwin. Berkahwin akan menjaga keturunan si lelaki dan dengan secara tidak langsung juga meramaikan umat islam. Anda pasti tidak mahu umur anda 50-an, anak anda masih berumur 5 tahun.

Jadi, dengan kahwin awal, masa kita bersama dengan anak kita lebih banyak. Anda juga dapat membimbing anak anda dengan lebih energetik kerana usia anda pada masa ini, tidaklah terlalu tua. Mungkin anda boleh jadi bapa yang lebih memahami anak anda ibarat seorang kawan atau abang.

4. Elak hubungan seksual yang haram.

Seorang lelaki biasanya mempunyai dorongan yang kuat berkaitan seks. Ia akan menjadi masalah jika tidak diselesaikan dengan mengikut cara yang syarie. Salah satu penyelesaian yang terbaik adalah dengan berkahwin. Ia bukanlah bermaksud kahwin untuk seks tetapi ia adalah cara terbaik yang halal untuk menghindari maksiat tersebut. Menghindari adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, kepada yang betul mampu dan bersedia, berkahwinlah.

Semoga senarai alasan kahwin awal ini bermanfaat bagi anda untuk digunakan ketika sesi perbincangan bersama keluarga. Usahalah untuk mendapatkan persetujuan keluarga. Jika sudah berusaha, serahlah kepada Allah supaya segala urusan kahwin anda dipermudahkan olehNya. Amin!

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar