4 Ciri-ciri Khusus Memilih Perempuan Untuk Dijadikan Isteri

4 Ciri-ciri Khusus Memilih Perempuan Untuk Dijadikan Isteri

Oleh sebab itulah maka seorang suami wajib ditaati. Ketaatan tidak bermaksud ketaatan mutlak kerana ketaatan mutlak hanya kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. sahaja...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Salah satu bukti bahawa golongan wanita memiliki kedudukan yang tinggi di dalam Islam ialah apabila terdapat anjuran untuk memilih calon isteri. Pada artikel kali ini, saya akan senaraikan 4 ciri-ciri khusus memilih perempuan untuk dijadikan calon isteri. Jom kita lihat 4 ciri-ciri yang akan saya nyatakan nanti.

1. Bersedia Untuk Taat Kepada Suami

Suami merupakan ketua keluarga dalam rumah tangga. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nisa yang bermaksud:

“Kaum laki-laki adalah pemimpin bagi kaum wanita.”

(Surah An-Nisa : Ayat 34)

Oleh sebab itulah maka seorang suami wajib ditaati. Ketaatan tidak bermaksud ketaatan mutlak kerana ketaatan mutlak hanya kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. sahaja. Namun selagi dalam perkara yang tidak haram, maka sepatutnya seorang isteri itu taat kepada suaminya.

Islam juga tidak menidakkan hak wanita untuk memberikan pandangan kepada suami di dalam rumah tangga walaupun suami merupakan ketua keluarga. Memberikan pendapat ataupun hak bersuara bukanlah termasuk di dalam perkara derhaka kepada si suami. Pada ketika ini perbincangan dan tolak ansur merupakan elemen yang penting bagi menjayakan sesebuah perhubungan.

2. Menjaga Aurat

Ciri yang kedua ialah berkaitan dengan menjaga aurat. Seorang muslimah (perempuan beragama Islam) mestilah memakai pakaian yang mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Ahzab yang bermaksud:

“Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.”

(Surah Al-Ahzab : Ayat 59)

Berdasarkan dalil di atas, para ulama telah merumuskan syarat-syarat busana bagi seorang muslimah. Antaranya ialah mesti menutup aurat dengan sempurna (melabuhkan jilbab menutupi bahagian dada), tidak ketat, tidak nipis dan tidak mempamerkan kecantikan selain untuk suaminya. Maka pilihlah calon isteri yang memahami tentang perkara ini.

3. Gadis Lebih Diutamakan Daripada Janda

Selain itu, Rasulullah S.A.W. juga menganjurkan untuk berkahwin dengan para gadis berbanding janda. Ini kerana secara umumnya wanita yang masih gadis memiliki kelebihan berbanding janda daripada segi fizikal. Rasulullah S.A.W. telah bersabda di dalam suatu hadis yang bermaksud:

“Menikahlah dengan gadis, sebab mulut mereka lebih jernih, rahimnya lebih cepat hamil, dan lebih rela pada pemberian yang sedikit.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sekiranya sudah jodoh anda berkahwin dengan seorang janda, ia bukanlah suatu masalah dan dosa. Kadang kala ada ketikanya berkahwin dengan seorang janda lebih menyenangkan berbanding dengan seorang gadis kerana mereka sudah berpengalaman di dalam hal berkaitan rumah tangga.

4. Keturunan Daripada Kalangan Yang Baik

Menyelidiki bakal isteri kita daripada keturunan yang baik juga merupakan antara ciri yang dianjurkan di dalam Islam. Ini kerana keluarga memiliki peranan yang besar di dalam mempengaruhi ilmu dan akhlak seseorang. Seorang wanita daripada keturunan keluarga yang baik biasanya akan menjadi seorang muslimah yang baik juga.

Memiliki isteri yang solehah daripada keturunan yang baik akan membolehkan mereka mendidik zuriat kita kelak ke arah yang lebih baik. Isteri yang solehah dan anak yang soleh/solehah merupakan penyenang hati bagi seorang suami. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Furqan yang bermaksud:

“Dan orang orang yang berkata, Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Surah Al-Furqan : Ayat 74)

Ini adalah antara beberapa ciri khusus yang saya rasa perlu untuk dinilai ketika memilih bakal isteri. Semoga maklumat ini bermanfaat kepada mereka yang masih di dalam proses mencari jodoh terutamanya bagi golongan lelaki. Wallahualam.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar