4 tanda anda sudah bersedia untuk bernikah

Anda sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai komitmen yang lebih besar berbanding kehidupan sebelum berkahwin...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

“Tipulah kalau cakap tidak mahu bernikah sedangkan ianya sudah menjadi fitrah setiap manusia mahu mendirikan rumah tangga bersama pasangannya. Aku juga mempunyai keinginan sebegitu cuma jauh di lubuk hati aku masih gusar untuk bergelar seorang suami. Sesungguhnya tanggungjawab aku akan jauh lebih besar sejurus aku menukar status kepada seorang suami kelak. Aku turut mendalami tentang ilmu-ilmu perkahwinan kerana usiaku juga sudah hampir mencecah lewat 30-an. Malah aku juga telah membuatkan orang tuaku turut bimbang tentang masa depanku. Namun sejauh mana aku dapat mengenal pasti tahap persediaanku untuk bernikah?”

Sudahkah anda bersedia untuk bernikah? Kalau diri anda masih lagi dibayangi dengan ketakutan selepas berkahwin, ternyata anda masih belum benar-benar bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Hal ini kerana diri anda masih lagi diliputi dengan keraguan. Ini juga akan memberi kesulitan untuk anda mencipta kehidupan baru bersama pasangan anda kelak. Justeru itu, cuba mendalami ilmu-ilmu mengenai rumah tangga supaya anda dapat mengatasi segala keraguan dan ketakutan.

1. Bersedia dengan komitmen

Pada saat ini anda sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai komitmen yang lebih besar berbanding kehidupan sebelum berkahwin. Sesungguhnya sebelum anda bersedia untuk menerima komitmen yang akan datang, anda memerlukan waktu lagi untuk memantapkan hati anda. Bersikap jujur pada diri sendiri, jangan disebabkan terikut-ikut dengan orang lain membuatkan anda tidak jujur pada diri sendiri.

Sebagai contoh, disebabkan anda mahu mengikut jejak kawan-kawan yang sudah bernikah, tanpa berfikir akan komitmen anda terus mengatakan ‘ya’ untuk bernikah. Sedangkan anda sendiri belum bersedia menghadapi komitmen pada masa akan datang. Namun sekiranya anda benar-benar sudah bersedia, itu tandanya anda sudah siap sedia untuk melangkah ke arah sebuah perkahwinan yang pasti mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih berat.

Komitmen yang dimaksudkan berbeza bagi seorang muslim yang bergelar suami mahupun isteri. Masing-masing mempunyai komitmen tersendiri termasuk dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga seorang suami, seorang ibu dan bapa dan juga sebagai seorang anak terhadap orang tuanya.

2. Berani menghadapi perubahan

Setiap orang menyedari akan setiap perubahan yang akan berlaku selepas berkahwin. Banyak perkara yang akan berubah dalam hidup kita dari aspek kehidupan, ekonomi dan juga dari segi tanggungjawab. Dalam persediaan untuk bernikah, setiap muslim haruslah benar-benar bersedia untuk menerima dan menjalani semua perubahan yang berlaku.

Sekiranya anda masih takut untuk berubah, anda masih memerlukan waktu untuk mempersiapkan mental dalam menjalani kehidupan yang baru selepas memasuki alam perkahwinan.

Salah satu contoh yang boleh dilihat; ada sesetengah lelaki lifestyle mereka sebelum berkahwin ialah sering meluangkan masa bersama rakan-rakannya sehingga lewat malam. Namun aktiviti itu harus dikurangkan sejurus mereka bergelar seorang suami lebih-lebih lagi apabila mereka bergelar seorang ayah kelak.

Contoh lain pula, kalau dahulu sebelum bergelar seorang suami, bajet makan untuk sebulan cuma RM500. Namun selepas berkahwin, semakin bertambahlah bajet makan kerana sudah termasuk dengan bajet si isteri. Itu pula adalah salah satu tanggungjawab sebagai seorang suami atau ketua keluarga.

Contoh perubahan pada si perempuan pula adalah; kalau dahulu jarang masak, asyik makan kat luar sahaja. Namun selepas mereka menjadi seorang isteri, sudah menjadi tanggungjawab mereka memasak untuk suaminya. Mereka haruslah memastikan makan, minum dan pakai suami sentiasa terjaga.

3. Sudah yakin dapat menjadi yang terbaik

Kekurangan pada setiap individu adalah kurang keyakinan terhadap diri sendiri. Kadang-kadang kita berasa seperti tidak mampu menjadi yang terbaik untuk orang yang kita cintai. Malah, ada yang dijadikan alasan untuk melewatkan perkahwinan meskipun dari aspek lain kita sudah bersedia.

Padahal secara fitrahnya, setiap orang mempunyai keburukan dan kebaikan masing-masing. Apa yang harus dilakukan adalah dengan menjadi diri sendiri iaitu dengan melakukan semua perkara dengan sebaik mungkin berdasarkan keupayaan sendiri.

Sekiranya pasangan anda benar-benar mencintai diri anda, mereka akan sanggup menerima baik buruk pasangannya. Yakinlah pada diri sendiri supaya dapat menjadi yang terbaik buat pasangan anda dan ikhlas menerima baik buruk pasangan anda itu.

Sebagai contoh,  meskipun menyedari akan kekurangan pada diri anda mungkin dari segi ekonomi, ikhtiarlah dalam memperbaiki kekurangan itu ke arah kebaikan. Cuba untuk meyakinkan diri dan dapat menjadi yang terbaik dari pandangan mata pasangan anda.

Kalau lelaki, sebelum mendirikan rumah tangga mereka hanya mempunyai pendapatan yang biasa-biasa sahaja. Namun setelah berkahwin masih banyak perbelanjaan yang harus difikirkan. Oleh itu,  mereka seharusnya berusaha ke arah yang lebih baik.

4. Bersedia menghadapi konflik

Seperti perumpamaan melayu “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Perumpamaan ini membawa maksud pertengkaran antara suami dan isteri memang tidak dapat dielakkan. Tanyalah mana-mana pasangan termasuklah pasangan bahagia sekalipun, mereka pasti pernah melaluinya.

Mana tidaknya, soal perbezaan pendapat dan juga kesalahan berkomunikasi juga mampu mendatangkan konflik antara suami dan isteri. Kalau anda masih takut untuk berdepan dengan konflik yang bakal terjadi, anda masih belum benar-benar memiliki kekuatan dalam menangani konflik sebegini.

Contoh jelas yang dapat dilihat, sepanjang tempoh perkenalan dengan si dia anda masih belum mengetahui perangai sebenar pasangan anda. Selepas anda mendirikan rumah tangga, anda akan mengenal pasti perbezaan yang ada pada dirinya berbanding sebelum berkahwin.

Apakah tindakan wajar yang harus dilakukan? Mengakhirinya dengan perceraian? Tidak. Bukan itu penyelesaiannya. Cuba cari titik-titik keserasian dan belajar untuk mengenali pasangan anda yang sebenar. Tukar paradigma tentang rumah tangga dan taat kepada Allah SWT. Kesetiaan dan bertolak ansur adalah sangat penting dalam kehidupan rumah tangga. Insha-Allah, rumah tangga akan bahagia dunia dan akhirat.

Kesimpulan

Sekiranya anda sudah mempunyai perkara-perkara seperti di atas ini, ternyata anda sudah benar-benar bersedia untuk bernikah. Apa tunggu lagi?

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: