5 panduan penting sepanjang tempoh berkenalan

5 panduan penting sepanjang tempoh berkenalan

Apabila anda hendak berkahwin dan telah berjumpa dengan calon pilihan dan meminta persetujuan melalui dia dan keluarganya, anda sudah dikira sebagai bertunang...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Apabila berkenalan dengan seseorang dalam hal berkaitan jodoh, ada beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian. Tempoh perkenalan yang dimaksudkan di atas ialah apabila anda hendak berkahwin dan telah berjumpa dengan calon pilihan dan meminta persetujuan melalui dia dan keluarganya, anda sudah dikira sebagai bertunang walaupun tiada majlis atau upacara rasmi sarung cincin dan sebagainya.

Tempoh bertunang ini adalah merupakan satu perkara yang penting sebelum anda dan si dia bersama-sama melangkah ke alam perkahwinan. Ramai orang terlupa tentang kepentingan tempoh perkenalan ataupun tempoh pertunangan. Mereka menyangka berkenalan atau bertunang itu cuma sekadar ‘tanda’ atau ‘cuba nasib’ sahaja. Sedangkan, tempoh itulah tempoh paling penting sebelum termeterainya ikatan cinta yang sah. Lebih malang, kerana kesedaran dan ilmu, maka tempoh perkenalan tadi akan menjadi sesuatu dan sia-sia bahkan boleh mengundang berlakunya dosa.

Oleh sebab itu, pada artikel kali ini, kami akan sediakan beberapa panduan penting sepanjang tempoh perkenalan dan pertunangan ini. Semoga ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pembaca.

1. Cita-cita dan impian harus tinggi.

Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, anda harus memasang impian dan cita-cita. Tanya pada diri, apa matlamat anda untuk berkahwin? Ke mana anda mahu bawa keluarga anda nanti setelah berkahwin? Apa agenda terbesar anda setelah berkahwin? Itu semua adalah beberapa contoh soalan yang boleh anda dan bakal pasangan anda jawab sebelum melangkah pergi dengan lebih jauh lagi. Jika sudah mendapat keputusan yang terbaik, anda dan pasangan akan lebih faham dan jelas mengenai matlamat dan hala tuju rumah tangga anda nanti.

2. Kenal bukan peluang untuk ‘dating’.

Antara kesilapan yang sering dilakukan masyarakat hatta kebanyakan ibu bapa ialah memberikan lesen untuk anak-anak mereka yang sudah bertunang berdua-duaan dating tanpa mahram dan tujuan yang muhasabah. Ia bukanlah seperti lesen motosikal sebelum mendapatkan ‘lesen P’, maka adanya ‘lesen L’. Berkenalan itu perlu dan mesti, bahkan itulah tujuannya bertunang. Tapi bukan dengan cara yang ditegah oleh Islam. Berdampingan itu tak perlu dan mesti dijauhi, bahkan itulah yang akan merosakkan keberkatan dalam pertunangan.

3. Kenali bakal keluarga baru anda.

Apabila kita berkahwin, kita akan secara automatiknya akan ‘berkahwin’ juga dengan keluarga bakal suami atau isteri kita. Perkahwinan bukan sahaja melibatkan penyatuan dua hati, bahkan penyatuan antara dua buah keluarga. Perhubungan silaturrahim dan pengukuhan hubungan kekeluargaan adalah salah satu dari objektif perkahwinan. Jadi, sepanjang tempoh inilah peluang yang harus digunakan sebaiknya oleh bakal pengantin untuk saling mengenal, mengambil hati dan membina hubungan baik antara keluarga masing-masing.

4. Persiapkan diri dengan ilmu.

Ilmu merupakan elemen yang sangat penting di dalam sesebuah rumah tangga terutama bagi mereka yang bergelar lelaki atau bakal suami. Sebab apa? Kerana suami adalah pemimpin kepada keluarga iaitu pemimpin bagi isteri dan anak-anak kelak. Allah telah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud;

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) di atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…”

(Surah al-Nisa : Ayat 34)

Tapi tanpa ilmu dan hikmah, memimpin itu hanya tinggal nama sahaja. Hendak pimpin ke mana, jika diri sendiri tidak tahu arah mana yang betul dan arah mana yang salah? Bagaimana keluarga hendak sejahtera, jika punca keberkatan hidup pun tidak tahu hilang ke mana. Jadi persiapkan diri anda dalam tempoh bertunang ini. Bakal isteri juga tidak terlepas daripada persiapan ini agar kelak menjadi isteri dan ibu contoh di dalam keluarga. InsyaAllah, jika kita sudah mempunyai persiapan secukupnya, masalah mendatang dalam perhubungan rumah tangga akan dapat di atasi dengan bijaksana dan matang.

5. Tawakal kepada Allah setelah usaha.

Setelah anda berusaha dan melakukan yang terbaik untuk persiapan rumah tangga anda, berdoalah kepada Allah. Apabila kita serahkan kepada Allah, itulah maksud tawakal. Kita redha menerima setiap ketentuan daripada Allah selepas kita berusaha, bukan menyerahkan bulat-bulat tanpa adanya usaha. Hati anda akan menjadi lebih tenang kerana yakin, bahawa yang terbaik untuk kita itu sudah ditentukan oleh Allah.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga islam) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar