5 Tanda Cinta Bertepuk Sebelah Tangan

Sikap yang paling ketara cinta bertepuk sebelah tangan ialah apabila si dia cuba menjauhkan diri daripada anda. Pelbagai usaha sudah anda buat untuk mengambil hatinya, namun si dia tetap menolak dan cuba mengelak daripada terserempak dengan anda...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Bertepuk sebelah tangan dan memendam perasaan mungkin merupakan suatu perkara yang menyakitkan hati bagi seseorang. Anda mencintai si dia dengan sepenuh hati, namun cinta anda tidak berbalas. Sebenarnya tanda-tanda bertepuk sebelah tangan boleh dilihat dengan sikap dan layanan si dia terhadap anda.

Contoh situasi:

Siti dalam diam memendam perasaan terhadap Ahmad. Pelbagai cara sudah dibuat untuk mengambil hati si Ahmad. ‘Hint’ juga sudah diberi namun si Ahmad tetap juga menganggap Siti tidak lebih hanya sebagai seorang teman sekerja. Istilah Inggeris perhubungan Siti dan Ahmad juga dikenali sebagai ‘Friend Zone’.  

Ramai orang yang mungkin berada di dalam situasi di atas. Nasihat saya, teruskan ‘move on’ daripada si dia. Jika si dia tidak sudi, jangan dipaksa. Memaksa orang menyukai kita adalah perbuatan yang salah. Oleh itu, pada artikel kali ini saya akan kongsikan 5 tanda cinta bertepuk sebelah tangan.

1. Menjauhkan diri daripada anda

Sikap yang paling ketara cinta bertepuk sebelah tangan ialah apabila si dia cuba menjauhkan diri daripada anda. Pelbagai usaha sudah anda buat untuk mengambil hatinya, namun si dia tetap menolak dan cuba mengelak daripada terserempak dengan anda.

Ini adalah isyarat yang jelas dan cukup kuat bagi anda untuk mengetahui bahawa si dia mungkin tidak selesa bersama anda. Jika si dia menunjukkan sikap begini, jangan sia-siakan waktu anda untuk mengambil hatinya lagi. Bunga bukan sekuntum, kumbang juga bukan seekor.

2. Hilangnya sifat hormat

Sifat hormat-menghormati antara satu sama lain adalah sifat yang baik. Jika kita mahu seseorang hormat kepada kita, maka kitalah yang terlebih dahulu mesti memulakan sifat menghormati orang lain. Ciri kedua yang mungkin menunjukkan petanda bahawa cinta anda ditolak ialah hilangnya sikap hormat si dia kepada anda.

Sebagai contoh, walaupun pelbagai perkara dan kebaikan yang telah anda buat untuk si dia namun si dia tetap tidak menghargainya. Malah, lebih malang lagi jika si dia merendah-rendahkan maruah anda di hadapan kenalan-kenalannya yang lain. Calon suami atau isteri yang baik bukanlah daripada orang yang sudah hilang nilai ‘respect’ kepada orang lain.

3. Banyak syarat untuk kriteria pasangan

Selain itu, terlalu banyak syarat terhadap kriteria pasangan yang diingini juga menunjukkan bahawa si dia tidak ada minat kepada anda. Meletakkan syarat adalah normal, namun menyusahkan bakal pasangan dengan syarat-syarat yang tidak masuk akal menunjukkan bahawa si dia sebenarnya sudah menolak lamaran anda.

Apabila kita menyebut tentang syarat perkahwinan, mungkin kita akan terbayang satu kisah dongeng yang agak terkenal iaitu kisah ‘Puteri Gunung Ledang’. Semua orang tahu bahawa Puteri Gunung Ledang meletakkan syarat yang tidak masuk akal kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah yang ingin mengahwininya. Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat serta beberapa orang yang menjadi utusan Sultan Melaka pada ketika itu menyampaikan syarat-syarat kepada Sultan Melaka.

 

Antara syarat-syarat itu ialah:

1 jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka

1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang

7 dulang hati nyamuk

7 dulang hati hama

7 tempayan air mata anak dara

7 tempayan air pinang muda

1 mangkuk darah anak Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Ahmad Shah

 

Puteri Gunung Ledang sebenarnya dikatakan sudah menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tidak mampu ditunaikan itu. Jadi apabila anda melihat si dia seperti ‘Puteri Gunung Ledang’ alaf baru, maka tidak perlulah anda bersusah payah lagi untuk menambat hatinya.  

4. Selalu beralasan

Tanda yang keempat cinta anda bertepuk sebelah tangan ialah apabila si dia selalu memberi alasan kepada anda. Sebagai contoh jika anda ingin berjumpa dengan keluarganya bagi tujuan perkenalan namun si dia akan mencari alasan supaya pertemuan itu tidak berlaku.

Anda sudah menunjukkan usaha ke arah perkahwinan, tetapi si dia pula tidak bersungguh-sungguh dan asyik memberi alasan kepada anda. Satu istilah orang bijak pandai ada mengatakan bahawa, “Orang yang mahukan sesuatu sentiasa mencari jalan untuk melakukannya hingga berjaya sementara mereka yang lain mencipta alasan”.

5. Mengambil kesempatan

Tanda cinta bertepuk sebelah tangan yang terakhir ialah apabila si dia mengambil kesempatan terhadap diri anda. Si dia sebenarnya tidak berminat dan tidak pernah suka kepada anda. Namun apabila si dia berada dalam keadaan tersepit sebagai contoh perlukan bantuan kewangan, maka andalah orang pertama yang akan dicari.

Si dia akan mengambil kesempatan atas perasaan anda yang suka kepadanya. Anda mungkin akan berasa sebaliknya kerana anda memang sudah terpukau dengan kata-katanya dan berharap si dia akan sukakan anda. Jika perkara ini sedang berlaku kepada anda, saya berharap anda cepat-cepat sedar daripada mimpi ini. Jangan biarkan orang mengambil kesempatan atas kebaikan kita.

Kesimpulan

Ini adalah panduan bagi mengenal pasti 5 tanda cinta bertepuk sebelah tangan. Jika ada 5 tanda-tanda ini pada perhubungan anda, anda mungkin boleh ‘move on’ daripada hidup si dia yang anda harap-harapkan itu. Tiada guna berharap kepada orang yang tidak sudi. Saya ulangi kata-kata yang pernah saya sebutkan di atas, ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’.
 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: