5 Tips Mengenali Orang Yang Tidak Serius Untuk Berkahwin

5 Tips Mengenali Orang Yang Tidak Serius Untuk Berkahwin

Ramai orang yang sudah berkahwin memberitahu kepada orang yang masih bujang supaya jangan berkahwin dahulu. Alasannya? Sebab nanti apabila sudah berkahwin, mereka tidak bebas...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

 

 

Mengenali bakal pasangan anda sama ada serius atau tidak untuk berkahwin merupakan suatu ilmu yang perlu anda tahu. Ini penting bagi mengelakkan anda membazirkan masa dengan si dia namun si dia sebenarnya tidak serius untuk menjadikan anda sebagai pasangannya. Perhubungan tanpa ikatan perkahwinan adalah perhubungan yang sia-sia dan tidak akan ke mana-mana. 

Perkahwinan merupakan suatu perkara yang amat dituntut. Melalui perkahwinan jugalah hubungan kita menjadi halal. Pada artikel kali ini, saya akan menyenaraikan 5 tips kepada anda untuk mengenali orang yang tidak serius untuk berkahwin. 

1. Selalu Memberi Alasan

Apabila anda mengajak si dia untuk berkahwin, bakal pasangan anda itu memberikan banyak alasan untuk menolak pelawaan anda. Antara alasan yang sangat popular ialah;

‘Maaf, saya tidak bersedia lagi.’ 

Selain itu mungkin  juga anda akan dengar alasan yang berbunyi macam ini;

‘Saya bukan tak mahu berkahwin lagi, tetapi saya malas nak fikir lagi soal perkahwinan.’

Ini adalah beberapa contoh alasan yang mungkin akan diberikan kepada anda apabila anda mengajak si dia untuk berkahwin. Jika perhubungan anda dan si dia masih baru dan ditahap perkenalan, ia adalah normal. Namun jika sebaliknya, ini merupakan isyarat yang sangat penting buat anda untuk mengetahui bahawa si dia benar-benar serius untuk berkahwin ataupun tidak.

2. Tidak Ada Tabung Kewangan Perkahwinan

Setiap perkahwinan pasti memerlukan perbelanjaan yang terpaksa anda hadapi nanti. Sama ada besar atau kecil nilainya ia tetap memerlukan kewangan. Tanda yang kedua untuk mereka yang tidak serius untuk berkahwin ialah mereka tidak mempunyai tabung kewangan atau simpanan perkahwinan.

Saya ingin petik kata-kata daripada majalahlabur.com, seorang penulis yang bernama Tuan Amir Syahir ada berkongsikan beberapa tips menyimpan untuk berkahwin. Saya lontarkan kembali salah satu kata-kata beliau yang mungkin boleh kita fikirkan bersama:

“Tambahkan ilmu pengurusan kewangan. Kalau boros, hancur terus kewangan keluarga kau nanti. Belajar  bagaimana menguruskan kewangan dengan baik. Ramai mentor-mentor kewangan  di luar sana yang boleh bantu.” 

(Dipetik daripada majalahlabur.com) 

Oleh sebab itu, bakal pasangan yang serius mahu berkahwin dengan anda mesti mempunyai ilmu pengurusan kewangan. Paling kurang pun si dia mestilah mahu belajar tentang ilmu pengurusan kewangan yang baik demi masa depan bersama.

3. Mengejar Cita-cita

Mengejar cita-cita merupakan perkara yang baik kerana  memasang impian untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Namun, jika  dengan berkahwin si dia menganggap perkahwinan itu akan menghalang  cita-citanya, maka ia adalah satu yang salah. Perkahwinan merupakan  sunnah Rasulullah S.A.W. yang akan mendatangkan rezeki yang  melimpah-ruah. 

Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nur yang  bermaksud:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian  di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada  hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah  akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas  (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

(Surah An-Nur : Ayat 32)

4. Ibu Bapa Dah Tentukan Jodoh Saya

Tanda yang seterusnya untuk mengenali orang yang tidak serius untuk berkahwin dengan anda ialah si dia memberikan alasan bahawa jodohnya sudah ditentukan keluarga. Jika ibu bapanya sudah tentukan jodoh untuk bakal pasangan anda itu,  persoalannya kenapa si dia masih lagi berhubung dengan anda? Jika hanya  untuk main-main sahaja, maka tidak perlulah anda melayan bakal pasangan yang  sebegitu.

Perhubungan yang seperti ini jika diteruskan  tidak mempunyai hala tuju dan tujuan yang jelas. Jika si dia mencintai anda, maka si dia haruslah cuba mempertahankan hubungan anda dengannya  iaitu dengan memujuk sebaik mungkin orang tuanya.

5. Tidak Puas Lagi ‘Enjoy’ Sebagai Bujang

Ramai orang yang sudah berkahwin memberitahu kepada orang  yang masih bujang supaya jangan berkahwin dahulu. Alasannya? Sebab nanti  apabila sudah berkahwin, mereka tidak bebas. Sama ada bebas berjalan-jalan ke mana mereka mahu pergi mahupun dalam melakukan aktiviti yang  disukai.

Sebenarnya ini adalah alasan yang paling lapuk.  Mereka tidak menghayati keindahan sebenar sesebuah perkahwinan itu.  Fakta yang sebenarnya adalah perkahwinan akan membuatkan sesuatu  kebebasan itu berasa indah. 

Contohnya, pulang berhari  raya di kampung. Mungkin sebelum ini kita pulang keseorangan dengan  ditemani lagu-lagu hari raya yang diputarkan di radio. Namun, selepas  berkahwin ada orang yang menemani kesunyian sepanjang pulang ke kampung.  Bukankah itu ‘best’?

Kenapa Tips Ini Sangat Penting Untuk Anda Tahu?

Saya ingatkan sekali lagi kepada semua pembaca bahawa sangat penting untuk anda mengenali orang yang betul-betul serius mahu berkahwin dengan anda ataupun tidak. Ini adalah supaya anda tidak membazir masa pada mereka yang tidak sudi dan mengenal dengan lebih baik siapa yang patut kita pilih untuk dijadikan pasangan nanti.

Jika anda seorang  lelaki, janganlah membiarkan hubungan dengan wanita yang anda cintai tergantung tanpa  tali. Begitu juga dengan golongan perempuan. Jangan beri harapan kepada kaum lelaki tetapi dalam masa yang sama tidak serius dengannya. Jika betul-betul cinta, maka halalkan perhubungan dengan  berkahwin.



Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar