fbpx6 Cara Berkenalan (Bertaaruf) Untuk Tujuan Berkahwin

6 Cara Berkenalan (Bertaaruf) Untuk Tujuan Berkahwin

6 Cara Berkenalan (Bertaaruf) Untuk Tujuan Berkahwin

Tidak melihat bakal calon dan terus menyatakan persetujuan untuk berkahwin adalah pemahaman yang salah dalam konsep taaruf.

Dikarang oleh 21976 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

“Tak kenal, maka tak cinta”. Ini adalah istilah biasa yang sering kita dengar apabila mendengar suatu perkara yang baru atau seseorang yang baru kita kenal. Betul. Untuk memupuk rasa cinta dan kasih kepada seseorang, kita mesti kenal dan tahu tentang si dia dahulu. 

Oleh sebab itulah dalam Islam, adanya konsep taaruf iaitu satu perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘kenal’. Semasa proses taaruf, kita dituntut mengenali siapa bakal pasangan yang akan kita kahwini itu. Kenal sedalam dan sekadar yang boleh. Saya percaya kita tidak akan mampu untuk kenal si dia dalam masa yang singkat. Namun begitu, mengetahui latar belakang si dia adalah sangat penting untuk tentukan sama ada anda dan si dia boleh meneruskan perhubungan ataupun tidak.

6 Cara Taaruf (Kenal) Yang Boleh Anda Ikut

1. Tanya Soalan

Tolong tanya seberapa banyak dan sedalam mungkin soalan yang anda hendak tanya. Sesetengah orang mungkin malu dan menganggap proses ini tidak penting. Jika sedikit soalan yang anda tanya, maka sedikitlah maklumat yang akan anda dapat. Tak begitu?

Sebagai contoh, salah satu soalan yang anda nampak kecil tetapi besar kesannya. 

“Lepas kahwin nak tinggal di mana?”

“Sudah kahwin, kita nak tinggal menyewa atau tinggal dengan mak ayah?”

Soalan nampak simple bukan? Namun selepas kahwin, ia akan memberi kesan besar kepada kehidupan anda dan si dia. Sebab itulah sebelum kahwin, jangan malu tanya soalan. Inilah antara tujuan taaruf. 

2. Guna Orang Tengah

Jika anda hendak bertaaruf tetapi malu, cara lain yang boleh anda gunakan adalah dengan menggunakan wakil atau orang tengah. Cara ini lebih bersopan dan paling kurang risiko jika ditolak. Wakil atau orang tengah anda boleh jadi ahli keluarga anda sendiri ataupun sahabat terdekat yang dipercayai.

Bahkan dalam sirah, Saidatina Khadijah R.A. juga telah menggunakan orang tengah iaitu sahabatnya yang bernama Nafisah untuk menyatakan keinginannya bagi melamar Rasulullah S.A.W. Tidak kisah pihak lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya tidak salah melantik orang tengah untuk menyampaikan hasrat hati. Ia adalah salah satu bentuk usaha anda untuk mendapatkan jodoh. 

3. Lihat Bakal Calon

Tidak melihat bakal calon dan terus menyatakan persetujuan untuk berkahwin adalah pemahaman yang salah dalam konsep taaruf. Rasulullah S.A.W. sendiri menggalakkan sahabatnya untuk melihat terlebih dahulu wajah bakal isterinya sebelum berkahwin.

Hadis berkenaan peristiwa ini adalah seperti berikut;

Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:

“Adakah kamu telah melihatnya?”

Jawab pemuda itu, “belum.”

Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”

(Hadis Riwayat Muslim : 3550)

Daripada hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. sangat menyarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin untuk melihat wajah bakal isterinya. Tujuan melihat adalah supaya diberi rasa ketenangan dan kedamaian jiwa untuk meneruskan perkahwinan.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. telah bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita:

“Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”

(Hadis Riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasan dalam kitab nikah, bab hadis-hadis berkaitan dengan melihat tunang no. 1087)

Wanita juga berhak untuk melihat calon lelaki jika dia ingin berkahwin dengan lelaki tersebut. Tujuannya ialah supaya dia boleh melihat keadaannya dengan lebih jelas agar tidak menyesal selepas berkahwin. Seperti halnya lelaki, perempuan juga tertarik dengan beberapa sifat lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa sifat perempuan.

4. Taaruf Jangan Terlalu Lama, Jangan Pula Terlalu Singkat! 

Semasa sedang bertaaruf, kalau boleh jangan terlalu lama. Jangan pula terlalu sekejap. Gunakan masa dengan sebaiknya. Ukuran berapa lama satu proses taaruf bergantung kepada kedua-dua bakal pasangan. Hanya anda dan bakal pasangan yang tahu sama ada proses taaruf anda sudah cukup atau sebaliknya. 

Terlalu lama bertaaruf membolehkan seseorang mungkin tidak yakin dengan bakal pasangan. Selain itu, ia mengundang rasa tawar hati antara satu sama lain. Masa taaruf yang terlalu singkat juga ada keburukannya. Anda dan si dia tidak sempat untuk mendapatkan banyak maklumat dan mungkin tidak berapa mengenali hati budi si dia. Oleh sebab itu, ambil masa taaruf yang secukupnya. 

Jangan terlalu lama dan jangan pula terlalu singkat.

5. Jaga Keselamatan

Perkara utama yang mesti anda ingat semasa dalam proses mengenali seseorang yang baru bagi anda ialah sentiasa berhati-hati dan jaga keselamatan diri anda. Walaupun dalam proses taaruf, andai perlu berjumpa si dia, biarlah di tempat yang umum dan sentiasa berteman. Kalau tidak penting, elakkan berjumpa. Taaruf secara dalam talian seperti menggunakan perantaraan telefon dan media sosial adalah lebih baik.  

Selain itu, anda juga boleh melibatkan pihak keluarga semasa proses taaruf. Ini lebih baik dan menunjukkan anda dan si dia serius untuk kenal sebelum berkahwin.Tak gitu? 

6. Jangan Lupa Istikarah

Setelah berusaha untuk taaruf dan sebagainya, jodoh anda dan si dia tetap datang daripada Allah S.W.T. jua. Kita merancang, tetapi Allah S.W.T. yang menentukan. Jangan lupa untuk berdoa dan solat istikarah memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Rasa tenang dan selesa mungkin boleh jadi petunjuk daripada-Nya. Pastikan niat anda bertaaruf adalah benar-benar untuk mengahwininya bukan sekadar main-main. 

Semoga dipermudahkan!

Jom bina baitul muslim (keluarga islam) yang bahagia
 

Kongsi artikel ini: