7 Tips menghargai pasangan anda
7 Tips menghargai pasangan anda
Pasangan yang baik adalah anugerah Allah yang terbaik dalam hidup kita. Setiap perhubungan, pasti akan ada masa pasang dan surutnya.
Pasangan yang baik adalah anugerah Allah yang terbaik dalam hidup kita. Setiap perhubungan, pasti akan ada masa pasang dan surutnya. Itu adalah normal bagi kehidupan seorang manusia biasa. Kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Bertolak ansur dan memberi maaf adalah perkara yang mesti sentiasa dilakukan bersama bagi mengekalkan keharmonian di dalam suatu perhubungan.
Cuba tanya pada diri kita, pernahkah kita menghargai pasangan kita? Kalau kita bergelar seorang suami, pernahkah kita mengucapkan perkataan ‘terima kasih sayang’ pada isteri kita kerana selalu memasak, mengemas rumah dan melahirkan cahaya mata untuk keluarga kita? Jika tidak, kita mungkin belum cukup-cukup menghargai pasangan kita.
Jika pula kita seorang isteri, pernahkah kita ucap ‘terima kasih abang’ kepada suami kita kerana menyediakan segala keperluan rumah, kereta dan sebagainya untuk kita? Si dia yang selalu ada untuk kita sebagai teman dan sewaktu kita susah? Jika belum, kita mungkin belum cukup menghargai suami kita itu.
Jadi, pada artikel kali ini, kami akan kongsikan dengan semua beberapa tips yang boleh kita lakukan bagi menunjukkan penghargaan kita kepada pasangan kita. Selamat mencuba. Harap bermanfaat.
1. Terima pasangan seadanya.
Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan kita. Ingat, pasangan yang kita kahwini atau cintai itu adalah pilihan kita sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.
2. Lakukan aktiviti bersama dengan si dia.
Carilah aktiviti yang boleh dilakukan bersama di waktu lapang anda berdua. Sebagai contoh menonton ‘movie’ bersama, mengemas rumah bersama atau menanam pokok bunga bersama. Aktiviti-aktiviti seperti ini, selain mengeratkan perhubungan. Selain itu, pasangan juga akan lebih merasai bahawa anda lebih menghargainya kerana sentiasa mahukan si dia berada di sisi dalam apa-apa aktiviti.
3. Jujur dalam perhubungan.
Sikap jujur adalah salah antara sikap yang sangat penting dalam sesuatu perhubungan. Tanpa kejujuran, perhubungan yang dibina akan mudah goyah. Jangan sesekali menipu pasangan kita kerana ia boleh menyebabkan berlakunya perpisahan. Jika ada masalah, berbincanglah. Jujur dalam menegur dan menasihati antara satu sama lain jika ada perkara yang kita tidak suka. Perhubungan akan bertambah baik jika kita selalu amalkan sikap jujur ini.
4. Memberikan layanan yang terbaik.
Berikan layanan yang terbaik kepada pasangan kita seperti masa mula-mula kahwin dahulu. Kalau dulu kita makan bersuap, tidur sebantal, cuba lakukan perkara tersebut kembali. Kenangan-kenangan lama yang indah pasti akan berputik kembali.
5. Kawal perasaan yang akan mengundang pergaduhan.
Apabila marah atau ada hal yang menggangu kita, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.
6. Ingat tarikh penting.
Manusia akan merasai lebih dihargai jika kita ingat berkaitan tarikh penting buat diri seseorang itu. Sebagai contoh tarikh lahir, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya. Beri kejutan kepada pasangan kita dengan hadiah. Pasangan kita pasti akan lebih menghargai kita dan akan membuat benda yang sama untuk kita nanti.
7. Beri pujian kepada pasangan.
Jangan kedekut untuk memberi pujian kepada pasangan kita. Contoh pujian yang boleh diberikan adalah berkaitan kecantikan fizikal, pandai memasak atau apa sahaja bentuk pujian yang akan membuatkan pasangan kita tersenyum manis. Pujian adalah perkara yang paling senang yang boleh kita lakukan untuk menghargai pasangan kita.
Ini adalah sebahagian pandangan daripada kami. Anda mungkin bersetuju atau tidak bersetuju. Semoga bermanfaat!
Jangan lupa #baitulmuslim- keluarga muslim.
Belum ada jodoh?