8 Tips rahsia untuk memanjangkan jodoh daripada orang ‘lama’ walau tidak bercinta

8 Tips rahsia untuk memanjangkan jodoh daripada orang ‘lama’ walau tidak bercinta

Bagi pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga atau bakal membina rumah tangga, antara perkara yang menjadi kerisauan mereka adalah mengenai bab jodoh...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Bagi pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga atau bakal membina rumah tangga, antara perkara yang menjadi kerisauan mereka adalah mengenai bab jodoh. Persoalan yang selalu timbul adalah, adakah kita dan pasangan kita mempunyai jodoh yang panjang atau sebaliknya setelah berkahwin?

Ianya adalah persoalan yang susah untuk dijawab kerana rezeki, jodoh dan maut adalah perkara yang ditentukan Allah. Sebagai manusia, kita mesti sentiasa bersedia dan redha dengan ketentuan Ilahi yang telah ditetapkan.

Jadi, pada artikel kali ini, kami akan kongsikan kepada bakal pengantin mahupun pasangan yang sudah berkahwin tentang tips daripada orang ‘lama’ mengenai cara kekal bahagia dan memanjangkan usia jodoh hingga ke hari tua.  

1. Lepas kahwin tak pergi bulan madu.

Kebiasaannya selepas kahwin, orang dulu-dulu tidak pergi berbulan madu. Selepas selesai majlis dan kenduri kahwin, mereka biasanya akan dikenalkan dengan ahli keluarga serta sanak saudara pasangan mereka yang baru. Tujuannya adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga yang baru dibina.

2. Suami tolong buat kerja rumah.

Suami dulu-dulu, sangat rajin membantu isteri mereka. Cuba lihat bapa anda. Masa ibu anda mengandung dan melahirkan adik anda dulu, siapa yang jadi chefnya? Sudah tentu bapa kan? Jarang orang dulu-dulu makan kat kedai. Kadang kala bila bapa kita masak, lebih sedap daripada ibu kita masak.

3. Isteri tahu tanggung jawabnya.

Banyak kes penceraian sekarang berpunca daripada suami yang tidak puas hati dengan layanan isteri. Isteri tidak pandai layan suami, tidak tahu memasak adalah antara faktor yang menyebabkan berlakunya penceraian. Cuba lihat ibu kita sendiri. Rajin dan tahu tanggung jawab sendiri. Suami balik kerja, anak-anak dah terurus.

4. Tiada campur tangan daripada ibu bapa dan keluarga.

Orang dulu-dulu tidak suka mengadu hal rumah tangga kepada keluarga mereka. Sebolehnya biar mereka sendiri yang selesaikan dengan pasangan masing-masing. Jika tidak boleh diselesaikan di antara mereka, dan sudah habis ikhtiar yang digunakan, barulah ibu bapa akan dirujuk dalam masalah rumah tangga mereka.

5. Keburukan rumah tangga jangan diceritakan kepada orang luar.

Perkara yang aib di dalam rumah tangga, janganlah di bawa ke luar. Jika kita lihat kelemahan isteri atau suami kita, tegur dan nasihatlah dengan cara yang hikmah dan baik. Biar kita susah tanggung sendiri, keburukan pasangan jangan diceritakan pada orang. Ini antara perkara penting jika nak jodoh panjang.

6. Sedar diri.

Masing-masing perlu sedar tanggung jawab, peranan dan tugas yang perlu dilakukan dalam rumah tangga. Suami merupakan pemimpin bagi keluarga manakala isteri bagaikan permaisuri merangkap pembantu kepada suami di dalam sesebuah rumah tangga. Suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa veto mengawal isteri tanpa melihat hak seorang isteri. Jika masing-masing sedar dan tahu akan peranannya, maka rumah tangga akan menjadi bahagia dan harmoni.

7. Jangan lebih 3 hari.

Jika bergaduh atau merajuk, jangan sampai lebih daripada 3 hari. Cubalah ambil masa untuk tenangkan diri seketika dalam masa 3 hari itu. Jika boleh diselesaikan dengan cepat adalah lagi bagus sebelum merebak dengan lebih parah. Lebih daripada 3 hari, hubungan anda berada dalam zon merah (bahaya).

8. Buang ego.

Ego merupakan racun di dalam rumah tangga. Dengan sifat ego, banyak kes penceraian sudah berlaku. Benar, ego merupakan satu sifat yang susah untuk dibuang terutamanya bagi seorang lelaki. Perkara ini biasanya adalah berkait rapat dengan maruah kita. Fikirlah dengan waras.

Tidak salah turunkan sedikit ego untuk orang yang kita cintai. Bertolak ansur dan terus berkomunikasi adalah penawar bagi racun ego anda. Setiap konflik rumah tangga adalah untuk menguji kesabaran dan kesetian suami mahupun isteri.

Ini adalah beberapa petua dan tips yang biasa dijadikan sandaran untuk pasangan yang bakal berkahwin mahupun sudah berkahwin untuk memacu kebahagian di dalam sesebuah rumah tangga. Mungkin anda juga ada tips lain yang boleh dikongsikan kepada kami dan pembaca yang lain. Selamat beramal!



Jangan lupa #baitulmuslim - keluarga muslim

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar