Adakah Wanita Perlu Menunggu Atau Mencari Jodoh?

Adakah Wanita Perlu Menunggu Atau Mencari Jodoh?

Dalam bab mencari jodoh, wanita dilihat lebih berisiko jika mendapat jodoh yang lambat berbanding lelaki...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Banyak kali saya mendengar ungkapan tidak perlu mencari jodoh. Semua sudah ditetapkan. Bukan sekali dua, bahkan beberapa kali. Sebenarnya istilah ‘menunggu jodoh’ seperti menunggu bulan jatuh ke riba adalah salah faham yang sangat besar. Benar jodoh merupakan ketentuan Allah S.W.T. namun perkara berkaitan jodoh juga perlu diusahakan terutama untuk mendapatkan jodoh yang baik.

Salah faham ini sama seperti halnya ‘menunggu rezeki datang bergolek’. Sepatutnya untuk mendapatkan rezeki, anda perlu mencari bukan menunggu sahaja. Tiada siapa yang mahu memberi duit kepada kita jika kita malas bekerja dan mencari duit. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al- Ankabut yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

(Surah Al-Ankabut : Ayat 69)

Ayat ini bermaksud orang yang berusaha demi memenuhi tuntutan agama termasuklah juga dalam soal jodoh dan pernikahan tidak akan dibiarkan oleh Allah S.W.T. Mereka yang bersungguh-sungguh dan ikhlas pasti akan diberi bantuan oleh Allah S.W.T. Oleh sebab inilah, wanita perlu menunjukkan usaha dan bukan hanya menunggu untuk mencari jodoh yang baik.

Wanita, Jangan Tunggu! 

Dalam bab mencari jodoh, wanita dilihat lebih berisiko jika mendapat jodoh yang lambat berbanding lelaki. Bagi seorang lelaki, kebiasaannya mereka tidak kisah memperolehi jodoh yang lambat kerana mereka merasakan ‘tarikh luput’ mereka adalah lebih lama berbanding dengan wanita. 

Saya ingin petik kata-kata daripada Dr. Mohd Daud Yahya iaitu seorang Pendaftar Perbidanan dan Ginekologi dari Hospital Pusrawi, beliau mengatakan:

''Lelaki subur sepanjang masa dan umur. Umur tidak menjejaskan kesuburan mereka kecuali jika mereka penagih dadah atau menghidap penyakit kronik seperti HIV/AIDS. Jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat, mereka tidak perlu risau tidak akan mempunyai anak walaupun lewat berkahwin.''  (Dipetik daripada Utusan Malaysia Online, 17 Mei 2012)

Berbeza pula halnya dengan wanita apabila usia mereka semakin meningkat. Pada umur 40-an dan ke atas, kesuburan mereka akan menjadi semakin berkurangan. Hinggalah apabila telah tiba suatu tahap yang digelar menopaus (putus haid), mereka sudah tidak boleh hamil lagi. Ini adalah cabaran dan risiko yang terpaksa dihadapi oleh golongan wanita.

Sebahagian wanita mungkin menganggap lelaki adalah orang yang sepatutnya memulakan perkenalan. Sebenarnya tidak semua lelaki mampu meluahkan perasaan kepada wanita yang mereka suka. Adakalanya lelaki tersebut mempunyai perasaan malu yang sangat tinggi, melebihi malu seorang wanita. Pada masa inilah wanita perlu memainkan peranan dan menjadi lebih proaktif bagi memikat si lelaki tadi. Selagi anda belum mencuba, anda tidak akan tahu hasilnya kan?

Cara Wanita Memulakan Komunikasi Dengan Lelaki

Wanita yang terlebih dahulu memulakan langkah perkenalan adalah wanita yang berani. Tidak semua wanita boleh melakukannya. Ketika mahu memulakan langkah perkenalan, ada beberapa hal yang perlu anda ketahui supaya anda tidak dilihat terlalu murah di hadapan lelaki yang anda suka. Lelaki juga tidak berapa gemar jika wanita dilihat mengejar dan mendesak mereka untuk menerima anda.

1. Dapatkan Maklumat Si Dia

Langkah pertama, dapatkan maklumat mengenai si dia sama ada sudah berpunya ataupun tidak. Jika boleh, elakkan untuk menyukai suami, tunang atau kekasih orang lain jika anda tidak mahu berdepan dengan pelbagai masalah kelak. Pastikan si dia juga betul-betul ‘single’ sama seperti anda. Anda mungkin boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui rakan-rakan yang rapat dengan lelaki tersebut. Malah di zaman teknologi sekarang, info perhubungan seseorang juga kadang-kala boleh diketahui hanya melalui akaun media sosial. 

2. Mulakan Komunikasi

Langkah kedua, mulakan komunikasi dengan si dia secara sederhana. Ini bermaksud komunikasi anda dengan si dia adalah sekadar teguran biasa. Mungkin anda boleh bermula dengan sebagai seorang kawan sahaja. Kawal perasaan anda agar anda tidak nampak macam ‘terhegeh-hegeh’ dekat si dia.  

3. Beri Masa Untuk Kenal

Langkah ketiga pula, perhatikan si dia sama ada si dia selesa atau tidak berkawan dengan anda. Sabar dan ambil masa seberapa banyak yang mungkin untuk berkenalan. Pada masa ini, anda mungkin dapat melihat dan membaca reaksi daripada sikap si dia kepada anda sama ada si dia sukakan anda ataupun sebaliknya. 

4. Meluahkan Perasaan

Langkah keempat dan yang terakhir, perhubungan anda dan si dia mungkin sudah mula rapat. Namun si dia tetap juga tidak meluahkan perasaan kepada anda terlebih dahulu, jadi andalah yang harus meluahkan perasaan suka itu. Saat ini mungkin merupakan saat yang paling mendebarkan dalam hidup, namun anda harus cuba. Anda juga harus bersedia dengan segala jawapan yang akan diberikan oleh si dia sama ada menerima atau menolak anda. 

Jika si dia menerima anda, Alhamdulillah ternyata usaha anda selama ini berhasil. Namun jika ditolak, jangan terlalu bersedih. Semua orang diberi hak untuk memilih pasangan masing-masing. Ingat pepatah ini, ‘bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.’ Insya-Allah mungkin ada jodoh yang lebih baik menanti anda pada masa hadapan. Siapa tahu?



Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar