Antara Sebab Kenapa Perigi Mencari Timba

Antara Sebab Kenapa Perigi Mencari Timba

"Perempuan memulakan perkenalan terlebih dahulu bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini adalah salah satu contoh usaha yang dimulakan oleh kaum hawa untuk mencari jodoh

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

‘Perigi mencari timba’ adalah salah satu peribahasa Melayu. Ia merujuk kepada perbuatan seorang perempuan yang memulakan langkah terlebih dahulu untuk berkenalan dengan seorang lelaki dalam konteks mencari jodoh. Namun dalam norma sekarang, perempuan memulakan langkah dalam mencari jodoh kedengaran agak janggal sedikit. Perbuatan ini seolah-olah menyalahi adat kerana biasanya orang lelaki yang akan memulakan langkah perkenalan.

Namun begitu, pada hari ini ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini adalah salah satu contoh usaha yang dimulakan oleh kaum hawa untuk mencari jodoh. Ia bukan kesalahan. Jodoh anda dengan siapa, bagaimana orangnya, bagaimana anda bertemu, bagaimana proses sehingga bernikah dan sebagainya telah sedia ada dalam catatan Allah S.W.T. Apa yang penting adalah sebanyak mana usaha anda untuk mendapatkan jodoh. 

Kisah Siti Khadijah R.A. melamar Rasulullah S.A.W.

Di sebalik kisah cinta Siti Khadijah R.A dan Rasulullah S.A.W, mungkin ramai yang dah tahu bahawa Siti Khadijah R.A. yang mulakan langkah dalam melamar Rasulullah S.A.W. Sebenarnya Siti Khadijah R.A. melamar Rasulullah S.A.W. dengan menggunakan orang tengah atau wakil yang diberi nama Nafisah.

Nafisah Binti Munyah ialah salah seorang sahabat perempuan terdekat kepada Siti Khadijah R.A. Beliaulah yang menjadi penghubung dan orang tengah yang menyampaikan hasrat hati Siti Khadijah R.A kepada Rasulullah S.A.W. Peminangan pula dibuat melalui bapa saudara Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Talib. Apabila mendapat lamaran daripada Siti Khadijah R.A, Rasulullah S.A.W. yang pada masa itu belum menjadi Rasul menerima lamaran tersebut. 

Namun apakah faktor yang menyumbang kepada keberanian seseorang wanita itu untuk mulakan langkah?

Tekanan

Oleh kerana sudah terbiasa dengan stigma masyarakat perihal lewat kahwin, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada mereka yang melaluinya. Malah ia boleh menyebabkan tekanan dan menyebabkan gangguan emosi kepada individu yang terlibat. Pelabelan dengan istilah dan sikap tertentu yang berunsur negatif adalah stereotaip yang sinonim di dalam masyarakat Melayu khususnya dalam isu jodoh dan perkahwinan terhadap wanita bujang yang lewat usia. Apabila mereka dikaitkan dengan isu lewat berkahwin ini, mereka secara tidak langsung akan menerima tekanan ini dan bertindak secara tidak rasional dalam mencari jodoh kerana bimbang tidak laku terutama bagi golongan perempuan. 

Namun sekiranya mereka melihat persepsi ini sebagai satu semangat atau dorongan untuk mereka mencari jodoh, ianya tidak salah dan ada baiknya. Seperti yang anda faham budaya atau adat tidak selamanya dianggap sebagai relevan. Anda perlu ubah persepsi ini. Apa yang lebih relevan daripada budaya atau adat? Jawapannya ialah syariat yakni hukum yang ditetap oleh Allah S.W.T. Hal ini kerana, ianya sesuatu yang mutlak dan relevan sampai bila-bila.  

Lelaki Berkualiti Semakin Berkurang

Tular baru-baru ini mengenai sebuah video pergaduhan membabitkan pasangan suami isteri yang dalam proses perceraian. Apa yang membuatkan netizen tambah membara apabila melihat tindakan si suami yang berlaku kasar terhadap isteri dengan menumbuk dan menarik rambut wanita itu di hadapan anak perempuan mereka. Disebabkan video tersebut, maka timbullah pelbagai komen dan kutukan terhadap tindakan lelaki itu yang dilabel sebagai seorang suami gagal kerana berkelakuan kasar terhadap keluarga sendiri iaitu orang-orang yang sepatutnya dilindunginya. 

Malah disebabkan video itu juga terdapat segelintir netizen yang menyuarakan kegusaran andainya mendapat pasangan baran sehingga pandangan mereka terhadap ­institusi perkahwinan mula berubah. Pendek kata, ramai yang mula takut untuk berkahwin kerana bimbang tersalah pilih pasangan terutamanya bagi kaum wanita. Lelaki yang baik pula sudah pasti akan menjadi rebutan ramai, sebab itulah kaum wanita terpaksa mengambil inisiatif dalam mencari sebelum lelaki yang berkualiti diambil orang.

Desakan Dari Kaum Keluarga

Tidak dinafikan, desakan dari keluarga adalah salah satu faktor utama kenapa wanita bertindak dahulu dalam proses pencarian jodoh. Dengan leteran yang seperti sudah tidak ada noktahnya membuatkan para wanita terpaksa melakukannya meskipun hati sendiri belum bersedia. Mungkin kerana masyarakat melayu sudah terbiasa anak dara berkahwin awal. Justeru, pegangan itu terbawa-bawa sehingga hari ini. Malah mereka dianggap seperti melanggar tradisi keluarga apabila lambat berkahwin.

Namun selagi perintah atau arahan yang diberikan oleh ibu bapa atau keluarga tidak melanggar apa-apa hukum, ianya adalah tidak salah. Perlu ditegaskan bahawa mematuhi perintah ibu bapa yang bukan berkaitan perkara haram adalah wajib dan ada kalanya ia menjadi afdal (lebih baik mematuhi mereka) walaupun ia berkaitan perkara harus sahaja.

Apatah lagi ada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

Langkah yang perlu diambil sebelum memulakan perkenalan:

Jaga Penampilan Diri 

Memang sudah lumrah setiap manusia mahukan benda yang cantik-cantik sahaja. Cantik itu subjektif, cantik bukan hanya pada rupa paras sahaja, bahkan juga melibatkan penampilan. Kalau sekadar make up, tapi yang lain diendahkan sahaja, pun tidak boleh. Biarlah ianya sama rata.

Jagalah penampilan anda biar sentiasa nampak kemas. Kalau anda sudah dianugerahkan dengan rupa yang cantik, itu adalah bonus untuk anda. Tetapi yang penting, penampilan diri harus diutamakan agar sedap mata lelaki itu memandang.

Jangan Terlalu Jual Mahal

Jangan terlalu jual mahal. Kekalkan maruah anda dengan menjual sedikit mahal namun jangan pula berlebihan. Maksudnya, soal ketinggian diri dan maruah anda sebagai wanita. Islam datang dengan mengangkat martabat wanita, dan bilamana Saidatina Khadijah R.A melamar Nabi Muhammad S.A.W, itu bukanlah bermakna beliau ‘mengurangkan’ atau ‘merendahkan’ martabat dirinya sebagai wanita. Tetapi kata kunci kenapa beliau kekal tinggi adalah kerana tindakan dan caranya yang betul.

Kesimpulannya di sini sama ada perigi cari timba atau sebaliknya, kedua-duanya tiada masalah sekiranya menepati syariat yang ditetapkan dalam islam. Perlu anda ingat, syariat lebih utama daripada adat. Hal ini kerana, syariat itu membebaskan manakala adat kadang kala mengikat.

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Kongsi artikel ini: