ANTARA SEBAB KENAPA WANITA PERLU ELAK BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG

ANTARA SEBAB KENAPA WANITA PERLU ELAK BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG

Bila bercakap pasal bercinta dengan suami orang atau mencintai suami orang, persepsi yang timbul dalam kalangan masyarakat kita pasti persepsi yang negatif...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Bila bercakap pasal bercinta dengan suami orang atau mencintai suami orang, persepsi yang timbul dalam kalangan masyarakat kita pasti persepsi yang negatif sehinggakan wujud perasaan marah yang membuak-buak macam letusan gunung berapi yang baru sahaja meletus.

Namun, yang berasa kesannya pasti insan yang bergelar wanita sahaja kerana melibatkan banyak perkara terutamanya hati dan perasaan. Si lelaki pula masih berpegang teguh akan fakta bahawa ‘lelaki boleh kahwin empat’.

Kita juga sering mendengar kata-kata seperti, “kalau si perempuan tidak melayan pasti si suami orang itu tidak akan terhegeh-hegeh dan perkara sebegini tidak akan berlaku.” Sebenarnya perempuan ini mempunyai hati yang sangat lembut, pantang dipujuk, pasti dia akan termakan. Begitulah yang terjadi dalam situasi ini.

Hari ini kami kongsikan mengapa dan kenapa seorang perempuan itu perlu elak bercinta dengan suami orang:

Dalam diam terlibat dengan ‘penipuan’

Sedarkah anda apabila anda sudah mula berhubung dengan suami orang tanpa pengetahuan isterinya, secara tidak langsung anda sudah terlibat dengan unsur ‘penipuan’. Lelaki itu akan cuba berhubung dengan anda secara senyap-senyap supaya perhubungan yang dibina itu tidak disedari oleh isterinya. Sebagai contoh:

Isteri: Siapa yang call abang tadi?

Suami: Kawan pejabat abang. Ada urusan penting katanya.

Si suami sudah mula menipu isterinya. Apakah perasaan kita jika diperlakukan sedemikian?

Apakah perasaan kita apabila melihat kaum perempuan terluka?

Jika dengan isterinya yang sah pun dia berani untuk menipu, maka tidak hairanlah selepas ini giliran anda pula. Cuba meletakkan situasi anda di tempat isterinya, pasti anda akan terluka. Sanggupkah kita melihat kaum perempuan terluka gara-gara perbuatan kita?

Meskipun niat kita ikhlas untuk membina keluarga bahagia, begitu juga yang dirasai oleh isterinya sebelum mereka membina rumah tangga. Sepatutnya sebagai wanita, kitalah yang sepatutnya lebih memahami akan kekurangan dan kesengsaraan isterinya.

Memerlukan komitmen yang sangat tinggi

Apabila si lelaki berbicara mengenai soal kahwin, ini kelihatan seperti komitmen terhadap masa depan anda. Perempuan mana sahaja yang tidak meletakkan kepercayaan yang tinggi sejurus sahaja mendengar ungkapan seperti itu. Namun sejauh mana kebenaran itu? Ianya hanyalah sekadar kata-kata manis lelaki untuk mendapatkan perhatian anda.

Hakikatnya kita perlu sedar dan belajar akan realiti dan tanggungjawab apabila si suami mempunyai 2 isteri. Komitmen yang harus diberikan bukan hanya sekadar kewangan semata-mata, malah merangkumi pelbagai aspek. Ramai yang gagal menangani isu ini.

Hubungan tidak boleh dihebahkan seperti orang lain, perlu dirahsiakan

Sebagai contoh yang jelas di depan mata, sekiranya anda menjalin hubungan bukan dengan suami orang, pasti hubungan itu tidak akan menjadi satu kerahsiaan. Malah, anda boleh menghebahkan kepada sesiapa sahaja, ahli keluarga mahupun kawan-kawan. Namun, cuba anda bayangkan sekiranya anda menjalin hubungan dengan suami orang, sudah tentu hubungan itu harus dirahsiakan bagi mengelakkan si isteri mengetahuinya.

Hubungan cinta pun sudah menjadi seperti tidak indah kerana setiap gerak-geri dan perbuatan seolah-olah ada sahaja yang memerhati.

Jangan terkejut sekiranya nanti akan asyik makan hati dalam hubungan

Apabila anda menjalin hubungan dengan suami orang maka usahlah terkejut sekiranya isteri dan anak-anaknya menjadi keutamaan buatnya. Lelaki itu sudah tidak ada pilihan, mereka punya anak bersama dan komitmen yang ada lebih besar berbanding ‘perasaan cinta’ bersama anda. Masa itulah anda akan sedar di mana tempat anda. Makan hatilah anda jawabnya.

Kesimpulan

Fikirlah sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Walaupun seorang lelaki mampu memiliki lebih daripada seorang isteri, namun ramai yang hanya merasai kepahitannya setelah menempuh alam rumah tangga.

Sekiranya anda merasakan lelaki itu betul-betul serius dan ikhlas mahu mengahwini anda, maka usahlah melambatkan perkahwinan itu. Dapatkan kepastian daripada si lelaki agar hubungan anda tidak sia-sia. Kalau tidak nampak akan kesungguhan lelaki itu, berpisahlah secara baik agar hubungan itu tidak melarat.

Sesungguhnya Islam telah membenarkan poligami dan poligami adalah atas dasar untuk menyelamatkan perempuan yang hidup dalam penderitaan dan kesusahan. Selain itu, poligami juga adalah untuk menyelamatkan sesebuah rumah tangga. Oleh itu, si suami haruslah menguruskan poligami secara adil dan saksama.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar