ANTARA TANDA DIA BUKAN JODOH ANDA

"Kita mesti berasa kecewa dan marah yang amat sangat sehingga sukar untuk kita menerima kenyataan bahawa si dia bukan jodoh kita.."

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

 

Jodoh dan pertemuan adalah perkara misteri yang tidak diketahui oleh manusia.  Jodoh juga adalah ketentuan Allah yang manusia tidak mampu mengubah kerana semuanya sudah ditetapkan oleh-Nya. Sesungguhnya segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan.

Firman Allah SWT:

Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir. (Surah al-Ra’d: 8)

Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir. (Surah al-Qamar: 49)

Walau bagaimanapun, terkadang tidak semua jodoh kita itu berkekalan dan adakalanya hanya separuh jalan sahaja. Kita mesti berasa kecewa dan marah yang amat sangat sehingga sukar untuk kita menerima kenyataan bahawa si dia bukan jodoh kita. Jadi, bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, adalah lebih baik untuk anda membuat persediaan dan tahu sekiranya dia bukan jodoh anda.

Tidak kenalkan pada keluarga

Antara salah satu tanda si dia bukan jodoh yang tepat adalah apabila si dia tidak memperkenalkan diri anda pada keluarganya. Seolah-olah dia ingin menyembunyikan hubungan itu daripada diketahui orang. 

Orang yang serius tidak akan ragu-ragu untuk perkenalkan anda kepada ibu bapa atau kawan-kawannya. Ini adalah kerana mereka yang benar-benar serius akan lebih memikirkan ke arah sebuah perkahwinan. 

Tambahan pula apabila melibatkan kaum keluarga, dengan niat yang ada pada diri masing-masing ianya mampu menguatkan lagi sesebuah hubungan. Ini membuktikan tentang keikhlasan dan kesungguhan si dia dalam memperisteri atau mempersuamikan anda.

Kurang berkomunikasi

Komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan menggunakan perantaraan seperti surat, mesej, telefon dan sebagainya.

Komunikasi memainkan peranan yang penting dalam hubungan. Tanpa komunikasi sebuah hubungan akan menjadi semakin hambar dan lama-lama akan menjadi pudar. Komunikasi menggambarkan seseorang itu peduli terhadap pasangan mereka. Sekiranya jarang berkomunikasi dan sering mengelak untuk berhubung menandakan dia bukanlah pilihan yang tepat. 

Ianya juga telah dibuktikan oleh seorang Ahli Terapi Pasangan Dr Gary Brown dari Los Angeles, Amerika Syarikat. Menurut Dr Brown, apabila seseorang itu mengelak daripada bercakap tentang perkara penting, ianya memberi petanda bahawa si dia tidak berminat dalam hubungan itu.

Tiada rasa percaya dan curiga

Kepercayaan adalah merupakan perkara utama dalam perhubungan. Jika hilang rasa saling percaya maka hubungan yang dibina akan dipenuhi dengan rasa curiga. Bagaimana hubungan nak dilanjutkan ke fasa yang seterusnya? 

Kita perlu memiliki kepercayaan sepenuhnya kepada orang yang kita sayangi meskipun ada kalanya sulit untuk melakukannya. Sekiranya dia ditakdirkan untuk kita, sepatutnya kedua-duanya harus saling mempercayai.

Prof Madya Dr Huzili Hussin (Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi UniMAP) menggariskan tentang kebesaran sebuah nilai kepercayaan. Kata beliau,  "runtuhnya nilai tersebut, maka runtuhlah juga nilai-nilai seperti jujur, amanah, baik hati, ikhlas dan sebagainya."

Tiada komitmen untuk masa depan

Hubungan yang baik berlandaskan oleh komitmen yang kuat. Mereka yang serius dengan hubungan yang dibina, harus memiliki komitmen agar boleh meneruskan hubungan ke arah yang lebih serius. Misalnya mengenai komitmen dari segi kewangan. Soal selidik membabitkan kelompok bujang berusia 25 hingga 49 tahun telah dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga, Md Noh Saiman berkata, masalah utama bagi lelaki gagal melangsungkan perkahwinan adalah kerana faktor kewangan. Ianya jelas menunjukkan tidak ada perancangan yang betul mengenai kewangan demi masa depan menandakan seseorang itu belum bersedia untuk berkahwin.

Tidak boleh menerima kisah silam anda

Setiap orang mempunyai kisah silam yang tertentu. Apapun kisah silam yang pernah anda lakukan, si dia sepatutnya tidak ambil peduli dan sanggup menerima diri anda seadanya. Walau seburuk apa sekalipun, jodoh anda adalah dia yang boleh menerima segala kekurangan anda. Namun sekiranya sebaliknya, si dia mungkin bukan jodoh anda.

Sedangkan Allah SWT Maha Pengampun;

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nisa’: 110)

Ianya adalah penting bagi seseorang dalam membuat pilihan yang betul terutama dalam soal jodoh. Perkara ini melibatkan soal hati dan perasaan, jadi buatlah pilihan yang tepat kerana kita akan hidup bersama pasangan bukan untuk sehari dua tetapi untuk selamanya

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: