Antara Tanda Kenapa Anda Perlu Lupakan Si Dia

Antara Tanda Kenapa Anda Perlu Lupakan Si Dia

"Apabila kita sudah menjadi seorang yang baik akhlaknya maka jodoh yang akan kita cari nanti mungkin daripada kalangan orang yang baik juga.."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

 

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Namun persoalan yang mungkin sentiasa bermain dalam fikiran kita adalah bagaimana kita hendak tahu sama ada si dia jodoh kita ataupun tidak. Seperti yang kita tahu, jodoh adalah cerminan diri kita. Jika mahukan jodoh yang baik maka perbaiki diri dahulu agar dikurniakan jodoh yang baik.  

“Wanita yang tidak baik untuk lelaki yang tidak baik, dan lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik pula. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.”  (Surah An-Nur : Ayat 26)

Oleh sebab itu, kita biasanya dinasihatkan untuk mengubah diri menjadi baik sebelum mencari jodoh. Apabila kita sudah menjadi seorang yang baik akhlaknya maka jodoh yang akan kita cari nanti mungkin daripada kalangan orang yang baik juga. Walau bagaimanapun, terkadang tidak semua jodoh kita itu berkekalan dan adakalanya hanya separuh jalan sahaja. Perasaan marah dan kecewa pasti menyelubungi diri kita dan ianya pasti sukar untuk  menerima kenyataan bahawa si dia bukan jodoh kita. 

Jadi, bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, adalah lebih baik untuk anda membuat persediaan dan tahu sekiranya dia bukan jodoh anda. Jodoh atau tidak sebenarnya boleh dikenal pasti melalui beberapa perwatakan dan sifat. Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan antara beberapa tanda mungkin dia bukan jodoh kita. Ini adalah untuk mengelakkan supaya anda tidak membuang masa menunggu orang yang tidak serius dalam perhubungan.

Apabila Si Dia Tidak Menunjukkan Komitmen Untuk Soal Masa Depan

Hubungan yang baik adalah berlandaskan komitmen yang kuat. Mereka yang serius dengan hubungan yang dibina, harus memiliki komitmen agar boleh meneruskan hubungan ke arah yang lebih serius. Misalnya mengenai komitmen dari segi kewangan. Soal selidik membabitkan kelompok bujang berusia 25 hingga 49 tahun telah dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga, Md Noh Saiman berkata, masalah utama bagi lelaki gagal melangsungkan perkahwinan adalah kerana kegagalan dalam menguruskan faktor kewangan. 

Baru-baru ini pula, Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah telah mengeluarkan satu statistik yang menunjukkan bahawa purata penceraian buat tahun 2019 adalah sebanyak 156 pasangan pada setiap hari. Manakala, menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula, 1/3 daripada jumlah pasangan yang bercerai adalah terdiri daripada pasangan yang berkahwin tempoh kurang daripada lima tahun. 

Sedia maklum buat kita bahawa secara majoriti, situasi kewangan keluarga buat kelompok ini masih berada dalam keadaan yang goyah dan tidak stabil. Ianya jelas menunjukkan tidak ada perancangan yang betul mengenai kewangan demi masa depan menandakan seseorang itu belum bersedia untuk berkahwin. 

Apabila Merahsiakan Tentang Diri Anda Dari Pengetahuan Keluarganya

Antara salah satu tanda anda perlu lupakan si dia adalah apabila si dia tidak memperkenalkan diri anda pada keluarganya. Seolah-olah dia ingin menyembunyikan hubungan itu daripada diketahui orang. Orang yang serius tidak akan ragu-ragu untuk perkenalkan anda kepada ibu bapa atau kawan-kawannya. Ini adalah kerana mereka yang benar-benar serius akan lebih memikirkan ke arah sebuah perkahwinan. 

Tambahan pula apabila melibatkan kaum keluarga, dengan niat yang ada pada diri masing-masing ianya mampu menguatkan lagi sesebuah hubungan. Ini membuktikan tentang keikhlasan dan kesungguhan si dia dalam memperisteri atau mempersuamikan anda. Oleh itu, jika si dia bermati-matian merahsiakan ‘kewujudan’ kita dan masih tidak membawa kita berjumpa keluarganya, itu mungkin tanda-tanda si dia tidak serius dengan perhubungan tersebut.

Tidak Pernah Berkongsi Masalah Dengan Anda

Lelaki dan wanita akan memilih orang-orang tertentu sahaja untuk mereka kongsikan masalah yang sedang dihadapinya. Apa yang berkaitan dengan perasaan, emosi dan masalah, mungkin akan diberitahu kepada yang mereka percaya sahaja. Ini memberikan gambaran kerelaan untuk mengenali dan dikenali oleh seseorang.

Berbeza pula dengan mereka yang menunjukkan minat kepada anda. Mereka akan jadikan anda tempat dia berkongsi masalah dan perasaan. Maknanya dia mempercayai anda dan anda mungkin mempunyai tempat yang sangat istimewa di dalam hatinya.

Tidak Pernah Menunjukkan Sebarang Perasaan Cemburu

Orang tua-tua kata cemburu itu tanda sayang. Benda ini ada betulnya juga. Bayangkan kalau si dia langsung tak menunjukkan perasaan cemburu ketika anda bercerita atau memuji lelaki atau perempuan lain di hadapannya. Apa perasaan anda? Mesti sakit hati kan? Bagi yang cemburu, walaupun dia mungkin hanya berdiam diri tetapi kita boleh ‘rasa’ yang dia cemburu. Tapi kalau dia langsung tak ambil pusing dan tak kisah, maka itu mungkin tanda mereka tak serius dalam hubungan dengan kita.

Berbeza pula bagi mereka yang ada sifat cemburu. Ada sesetengah antara mereka (terutama kaum lelaki) memilih untuk tidak berterus terang dengan anda apabila si dia sedang cemburu. Mereka hanya menyampaikan secara tersirat seperti “tak apa lah, pergilah keluar dengan kawan awak tu, saya ni siapa nak halang awak”. Dari intonasinya, ianya jelas menunjukkan si dia sedang cemburu dengan apa yang anda lakukan. 

Perbalahan Yang Berpanjangan

Bergaduh tu biasalah, tapi pasangan yang serius akan cuba sedaya-upaya untuk sama-sama menyelesaikan masalah tersebut dan mereka tak akan cuba lari dari perbalahan itu. Namun, dari situ jugalah kita sebenarnya boleh mengenali pasangan dengan lebih baik. Pergaduhan yang berpanjangan boleh merosakkan hubungan, lebih-lebih lagi jika ia tidak diakhiri dengan baik. Contohnya, apabila berjumpa, si dia buat tak tahu macam tak ada apa-apa yang berlaku walaupun dah ‘perang besar’ semalam.

Perbalahan yang tidak mampu ditangani bakal mengundang kepada keretakan bagi sesebuah hubungan. Kelak akan memberi impak yang negatif kepada hubungan rumah tangga yang bakal dibina. 

Ianya adalah penting bagi seseorang dalam membuat pilihan yang betul terutama dalam soal jodoh. Perkara ini melibatkan soal hati dan perasaan, jadi buatlah pilihan yang tepat kerana kita akan hidup bersama pasangan bukan untuk sehari dua tetapi mungkin sampai akhir usia kita, Insya-Allah.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar