Apa perlu buat ketika mahu melamar seseorang?

Apa perlu buat ketika mahu melamar seseorang?

“Nak melamar tapi malu-malu pula. Membuatkan si perempuan ternanti-nanti…”

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Sebagai seorang perempuan, saat mereka dilamar oleh seorang lelaki merupakan antara saat yang paling indah dalam hidup mereka. Malah yang lagi beruntung bagi seseorang itu apabila lelaki yang dikenali mereka seorang yang jenis berterus terang. Perempuan memang suka pada lelaki yang jenis ‘direct’ tanpa sebarang kiasan. Mereka akan gelarkan lelaki ini seperti seorang ‘gentleman’. Namun apa pula nasib mereka yang memiliki pasangan yang sukar untuk berterus terang?

“Nak melamar tapi malu-malu pula. Membuatkan si perempuan ternanti-nanti…” 

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ‘melamar’? Melamar merupakan satu proses yang menjadi kebiasaan bagi seseorang yang mahu berkahwin. Maksud melamar ialah pertanyaan seseorang berkenaan kesediaan untuk berumah tangga dan memikul tanggung jawab sebagai suami atau isteri. Proses melamar ibarat pintu gerbang sebelum sesuatu pernikahan dijalankan. 

Melamar boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Mengikut adat dan kesopanan masyarakat melayu, biasanya proses melamar melibatkan campur tangan pihak keluarga. Selain itu, ketika proses melamar, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Kami sediakan beberapa cara adab melamar yang boleh anda ikuti.

Melihat calon yang ingin dilamar

Melihat calon isteri atau calon suami disyariatkan dalam Islam agar tidak ada istilah menyesal di kemudian hari. Ianya adalah untuk memastikan mereka menikah kerana saling mencintai. 

”Dari Anas bin Malik, ia berkata,”Mughirah bin Syu’bah berkeinginan untuk menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah saw. bersabda,”Pergilah untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua”. Lalu ia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan ia menceritakan kerukunannya dengan perempuan itu. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Proses ini dinamakan ‘nazhar’ iaitu melihat pasangan yang dijadikan pilihannya itu. Lelaki boleh melihat wanita dan wanita boleh melihat lelaki. Ada syarat-syarat tertentu nak tengok seorang wanita. Jika wanita tersebut berpurdah, hendaklah dia menanggalkan purdahnya untuk dilihat calon lelaki. Melihat bukan bermaksud berduaan, mestilah ditemani ahli keluarga yang mahram atau orang yang amanah yang kita percaya kepadanya.

Tidak melamar wanita yang telah dilamar lelaki lain

Wanita yang sudah dilamar oleh lelaki lain dan wanita tersebut telah menerima lamarannya (lelaki itu) maka tidak dibenarkan untuk lelaki lain datang melamarnya. Sehingga lelaki pertama membatalkan lamarannya atau mengizinkan orang lain untuk melamarnya (wanita itu). 

Dari Abu Hurairah, Ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki tidak boleh meminang perempuan yang telah dipinang saudaranya.” Hadis Riwayat Ibnu Majah 

Namun, jika si perempuan sudah menolak lamaran daripada lelaki yang pertama yang melamarnya, dia sudah tiada ikatan. Jadi, tidak salah jika ada lelaki lain yang mahu melamar perempuan tadi.

Wanita yang dilamar bebas daripada segala mawani’ (yang boleh menghalang seseorang itu dari sebuah pernikahan)

Sebagai contoh, jika perempuan tersebut isteri orang, jadi ia adalah haram dilamar melainkan jika ia sudah bercerai. Namun jika sudah bercerai tetapi masih dalam keadaan ‘iddah, ia juga adalah dilarang melainkan tempoh ‘iddah si perempuan tersebut sudah habis. ‘Iddah ialah nama bagi suatu tempoh masa menunggu oleh perempuan yang bercerai sama ada bercerai hidup atau bercerai mati.

Berdasarkan kenyataan di laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, perempuan yang masih dalam tempoh ‘iddah, HARAM berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

Selain itu, wanita yang dilamar juga bukan termasuk dalam mahram si lelaki yang melamar. Misalnya wanita tersebut bukan adik kandungnya.  Sekiranya mereka mempunyai tali persaudaraan di mana perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi agama, undang-undang dan adat resam sesuatu budaya tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah dan nasab tersebut, disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 23).

Merahsiakan pelamarannya (tidak mengumumkan kepada orang ramai)

Merahsiakan lamaran dan pertunangan adalah sesuatu yang sangat digalakkan dalam islam. Banyak hikmah yang dapat kita ambil daripada kerahsiaan ini. Melamar atau bertunang bukanlah satu jaminan untuk berlangsungnya pernikahan.

Apa yang sepatutnya dihebahkan adalah berita mengenai pernikahan, bukan lamaran. Beberapa ulama menganjurkan untuk menyembunyikan lamaran tersebut kerana khuatir adanya sifat hasad dengki atau iri hati pada orang yang cuba merosakkan antara hubungan seseorang dan keluarga pinangannya. Nabi bersabda:

“Rahsiakanlah pertunangan dan hebahkan tentang perkahwinan” (Hadis Riwayat Ahmad)

Calon isteri wajib wanita ajnabi (asing)

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita ajnabi? Ajnabi membawa maksud orang asing, iaitu bukan suaminya dan juga bukan mahrammnya. Senang cerita, ajnabi adalah orang yang tidak ada pertalian darah dan boleh kahwin dengannya. 

Selagi belum ada ikatan perkahwinan, calon lamaran atau tunang kita adalah sama seperti wanita ajnabi yang lain. Hukumnya tetap sama. Tidak boleh berdua, haram bersentuhan dan tidak layak berkelakuan seperti suami isteri. 

Salah faham orang zaman ini termasuk yang bergelar ibu bapa adalah apabila sesuatu pasangan sudah bertunang, ia seperti lesen untuk mereka bebas berjalan ke sana sini sehingga lewat malam seolah-olah pasangan suami isteri. Ianya adalah suatu kesalahan yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat kini.

Kesimpulan, melamar merupakan proses permulaan kepada sebuah perkahwinan. Pastikan proses permulaan ini mengikut tatacara sebagai seorang muslim supaya kelak rumah tangga anda bina akan mendapat keberkatan Allah swt. InshaAllah.

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar