Apabila dilamar oleh lelaki yang berusia
Apabila dilamar oleh lelaki yang berusia
Berkahwin dengan mereka yang mempunyai perbezaan usia yang ketara sudah menjadi seperti tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat pada zaman dahulu. Namun pola pemikiran manusia pada zaman kini telah mempengaruhi masyarakat sekeliling tentang ini.
Ianya seolah-olah menjadi satu halangan terbesar terutama bagi kaum wanita untuk menerima takdir ini. Bagi mereka, mengahwini lelaki yang lebih tua adalah sesuatu yang tidak selamat. Sejauh mana kebenaran itu?
“Aku mempunyai ramai kawan lelaki tetapi tidak ada seorang pun yang menarik minatku. Ya, aku lebih mencari seorang lelaki yang lebih berusia. Mungkin dua, tiga tahun bezanya daripada usiaku. Tetapi aku amat terkejut apabila aku dilamar oleh ‘pakcik’ di tempat kerjaku. Usianya sudah dalam lingkungan seperti bapaku sendiri dan dia merupakan seorang duda yang sudah kematian isteri.
Aku mengenali ‘pakcik’ itu ketika pertama kali aku menjejakkan kaki ke syarikat yang sedang aku berkhidmat. Dia adalah pengurus kewangan di syarikat itu. Apa yang menarik minatku pada ‘pakcik’ itu adalah ketaatannya pada Allah. Sikap peribadinya yang penuh dengan budi pekerti membuatku tidak ragu-ragu untuk menerimanya. Apakah benar keputusan yang akan aku lakukan ini? Perlukah aku menerima lamaran ‘pakcik’ itu?”
Tidak salah pun untuk seseorang itu menerima lamaran dari seorang lelaki yang jauh lebih berusia daripada mereka. Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang lelaki berusia ini. Antaranya:
1-Bersikap matang
Usia hanyalah sebuah angka. Ternyata mereka yang jauh lebih berusia ini mempunyai kematangan yang ketara. Kesabaran, kebijaksanaan, keikhlasan dan pengalaman berumah tangga antara faktor yang membuat wanita terpikat. Ramai wanita yang mengakui akan kenyataan ini setelah mereka mengahwini lelaki yang lebih berusia.
Malah lelaki matang juga sering menjadi pilihan ibu bapa dalam dijadikan calon menantu. Mungkin disebabkan faktor pemikiran mereka yang sentiasa jauh ke hadapan berbanding mereka yang masih mentah.
2-Akan membuat anda lebih bersikap dewasa
Seperti yang kita tahu, tahap kedewasaan bagi perempuan adalah lagi cepat berbanding lelaki. Oleh itu, mereka yang berkahwin dengan pasangan yang sebaya akan mencapai tahap kedewasaan yang berbeza. Namun apabila menjadi seorang isteri kepada lelaki yang berusia pula, secara automatik anda akan dilatih seperti orang dewasa.
Sifat kebudak-budakan dalam diri anda akan hilang dengan sendirinya. Anda akan lebih pandai berdikari dan pandangan akan menjadi lebih luas berbanding sebelum ini. Itulah untungnya berkahwin dengan orang yang lebih tua. Perangai mereka pun dah dewasa.
3-Mereka seorang yang konsisten dan lebih berpandangan jauh
Bagi seorang lelaki, pertambahan usia mempengaruhi fizikal dan mental mereka. Karakter, perilaku dan sifat mereka pun akan berubah seiring usia mereka. Mereka yang lebih berusia biasanya lebih konsisten dalam menjalani hubungan. Walaupun sudah lama bercinta, rasa bosan tidak akan sesekali muncul dan mempengaruhi dirinya. Mereka juga seorang yang senantiasa berpandangan jauh demi mempertahankan sesebuah hubungan.
Jika dibandingkan dengan lelaki yang masih muda, pemikirannya pasti akan mempengaruhi keputusannya. Apabila bosan sudah muncul dalam diri, pelbagai cara yang digunakannya untuk memutuskan hubungan yang sedia ada berbanding mempertahankannya.
4-Pandai mengendalikan masalah dan emosi
Lelaki yang lebih berusia tidak akan sesekali terikut akan emosi mereka. Mereka lebih memilih untuk sabar kerana sabar adalah salah satu kunci untuk berjaya dalam kehidupan terutama dalam kehidupan rumah tangga. Mereka akan lebih pandai mengawal emosinya dan tahu bila harus diluahkan atau dipendamkan.
Pada saat anda dan si dia mempunyai perbezaan pendapat, si dia tahu untuk mengawal nada bicara agar anda tidak sakit hati. Justeru, setiap masalah yang melanda rumah tangga anda pasti si dia dapat mengendalikannya dengan baik.
5-Sudah stabil dari segi kewangan
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka yang sudah berusia ini adalah seorang yang sudah stabil dari segi ekonomi. Mereka sudah bersedia untuk menjadi seorang ketua keluarga kepada isteri dan anak-anak. Melalui harta dan kedudukan ekonominya nescaya dapat menjamin ke arah keluarga yang bahagia. Faktor ini juga telah dibuktikan oleh para wanita yang mengahwini lelaki yang lebih berusia.
Penutup
Namun masih ada tanggapan negatif masyarakat terhadap pernikahan ini. Ada yang berpendapat bahawa lelaki berusia yang ingin mengahwini wanita muda kerana mereka bersikap gatal dan miang.
Islam sendiri telah menggariskan beberapa panduan dan terserah kepada kita untuk memilih pasangan yang bersesuaian. Jarak usia adalah sesuatu yang subjektif. Apa yang penting cara pasangan itu mengendalikan rumah tangga mereka itu sendiri.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?