fbpxBagaimana mahu memilih calon suami yang soleh?

Bagaimana mahu memilih calon suami yang soleh?

Bagaimana mahu memilih calon suami yang soleh?

Memilih suami adalah merupakan suatu perkara yang kecil. Ia adalah sesuatu yang agak sukar, tambahan pula zaman kini susah untuk mencari dan mendapatkan suami yang soleh dan baik...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Memilih suami adalah merupakan suatu perkara yang kecil. Ia adalah sesuatu yang agak sukar, tambahan pula zaman kini susah untuk mencari dan mendapatkan suami yang soleh dan baik. Ia ibarat kita memilih seorang nakhoda buat mengemudi sebuah bahtera. Tentu tidak mudah untuk dipastikan jauh dekat dan susah senang sepanjang pelayaran nanti, justeru kekuatan dan kemampuan yang sebenar harus dipastikan ada pada seseorang nakhoda yang dipilih.

Kalau nakhoda yang dipilih itu sekadar ambil yang mana ada sahaja, atau tidak dipastikan betul-betul latarbelakangnya sebelum dilantik jadi nakhoda, maka bayangkan sajalah apa nasib yang akan diterima sepanjang pelayaran nanti? Itu baru nahkoda sebuah kapal.

Belum lagi kita bercakap pasal nahkoda kehidupan. Bahtera yang akan dinaiki oleh kita dan dia menuju ke satu destinasi yang cukup jauh, selagi nyawa masih dikandung badan. Jadi, pada artikel kali ini kami akan kongsikan apa perkara asas dalam pemilihan yang perlu dibuat bagi mendapatkan calon suami yang soleh.

1. Dia seorang yang soleh.

Allah Ta’ala yang menciptakan manusia, lelaki dan perempuan, DIA cukup tahu apa keinginan dan fitrah semulajadi seorang perempuan. Seorang perempuan mahukan dirinya dibimbing, dan sangat mengimpikan kehidupan selepas berkahwin yang tenang dan tenteram. Kerana itu, syariat Islam menitik beratkan soal memilih siapa yang akan menjadi pembimbing tersebut, dengan menekankan perihal SOLEH sebagai asas penting menentukan pilihan.

Hanya seorang lelaki yang soleh, akan menjadi seorang yang amanah dan konsisten dengan tanggungjawab yang digalas. Manakala lelaki yang tidak soleh, lebih mudah cuai dan pecah amanah.

Di dalam hadith Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :

“Apabila datang kepada kamu lamaran seorang lelaki, yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinilah dia, kerana jika tidak nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan di atas muka bumi ”

(Hadis riwayat Tirmizi)

2. Seorang yang beragama.

Hidup beragama adalah nikmat sebenar menjadi seorang muslim. Ada ramai muslim yang agamanya Islam, tetapi cara hidupnya jauh dari nilai beragama. Ada ramai juga muslim yang berada dalam jurusan agama dan digelar orang agama, tetapi jiwanya jauh dari konsistensi hidup beragama. Lelaki yang hendak dipilih sebagai pembimbing dan nakhoda kita itu, mestilah seorang yang benar-benar beragama. Maksudnya disini, si dia bukan sahaja islam pada nama atau suka belajar agama, tetapi mesti yang benar-benar mengamalkan agama di dalam kehidupan seharian dia.

Seorang lelaki yang beragama, dia biasanya dihormati orang kawan-kawan dan sahabat-sahabatnya. Bukan bermakna dia tak pandai bergurau, bukan semestinya dia digelar murabbi, bukan. Tetapi prinsip berpegang dengan agama dalam dirinya itu tinggi, seumpama menjauhi lepak-lepak buang masa ataupun sangat tegas menghindari ‘halaqah’ mengumpat atau mengata.

3. Mempunyai akhlak yang tinggi.

Seorang lelaki yang baik untuk dipilih sebagai suami adalah seorang lelaki yang subur jiwanya dengan akhlak terpuji. Dia mampu menjaga lisannya dari mencarut apabila kesabarannya diuji. Dia mampu menjaga anggotanya dari menyakiti apabila emosinya mencabar diri. Akhlak tinggi dan terpuji itulah yang terus dijadikan penghias peribadi.

Satu perkara yang kita perlu beri perhatian adalah, akhlak terpuji itu bukan lakonan. Ada orang, dia tahu calon suaminya itu tidak berapa sopan dan berakhlak, tetapi bila hendak diperkenalkan dengan keluarga, dia ‘ajar’ lelaki tersebut supaya pakai begitu dan begini, bercakap nada begitu dan begini, supaya ibu dan ayahnya berkenan untuk terima.

4. Jiwa yang besar.

Jika hendak memilih calon suami, carilah mereka yang mempunyai jiwa yang besar. Sebab apa? Kerana lelaki yang mempunyai jiwa yang besar akan memandang lebih jauh ke hadapan. Dia akan membawa keluarga dengan lebih baik mengikut laluan dan landasan yang benar dan betul.

Lelaki itu diciptakan oleh Allah secara fitrahnya punya jiwa untuk memimpin. Justeru dalam dirinya wujud nilai-nilai kepimpinan. Dia melihat masa depan, perancangan dan persediaan menempuh cabaran dalam sudut pandangnya yang tersendiri.

Sedang lelaki yang berjiwa besar, biasanya terzahir dari perlakuannya. Dia sembunyikan emosi dan kegundahan, dia kedepankan fikiran positif dan ketabahan. Dia susun strategi dan melangkah dengan seimbang. Tidak besarkan seratus peratus keinginan diri sendiri, dan tidak juga turut seratus peratus kemahuan keluarga.

Kesimpulan, hidup kita adalah mengenai pilihan. Pilihlah yang terbaik untuk kehidupan kita. Semoga apapun pilihan kita nanti, kita sandarkan tawakal dan redha kita kepada Allah setelah semua usaha kita lakukan demi mencapai redhanya.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Kongsi artikel ini: