BAGAIMANA MAHU MEMILIH ISTERI?
BAGAIMANA MAHU MEMILIH ISTERI?
“Saya mahu mendirikan rumah tangga, namun saya masih belum bertemu dengan calon pasangan saya...
“Saya mahu mendirikan rumah tangga, namun saya masih belum bertemu dengan calon pasangan saya. Saya buntu dalam membuat pemilihan. Apakah tips yang patut saya lakukan dalam memilih calon isteri?”
Pernikahan adalah sunatullah yang disyariatkan demi kesempurnaan agama, memenuhi tuntutan syahwat, pengampunan terhadap dosa, menjaga ketahanan mental dan jasmani, memperkukuh tali persaudaraan antara individu mahupun masyarakat serta menjaga kemuliaan bangsa dan negara.
Ada segelintir kaum lelaki yang masih buntu dalam membuat pemilihan calon isteri mereka. Adakah rupa yang memainkan peranan yang paling penting dalam memilih calon isteri? Atau adakah harta dapat menakluki segala-galanya terutama dalam soal pernikahan?
Malah yang paling menyedihkan apabila pernikahan dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan nafsu seks semata-mata sehingga bentuk tubuh badan perempuan dijadikan sebagai ciri-ciri utama dalam memilih pasangan hidup.
Itulah sebabnya Islam telah menetapkan panduan-panduan tentang bagaimana seseorang itu dapat rujuk terutama dalam soal pemilihan calon isteri mahupun suami.
BEBERAPA ASAS DALAM MEMILIH ISTERI
Dalam memilih isteri, Islam telah menyatakan beberapa kaedah agar setiap pasangan itu dapat mencapai keluarga bahagia setelah mereka mendirikan rumah tangga kelak:
Utamakan memilih agama
Asas pertama ini adalah faktor yang paling dominan. Islam merupakan agama fitrah dan moral yang mulia maka sesuatu pernikahan harus berasaskan dengan sifat-sifat yang mulia, nilai-nilai luhur dan etika yang baik. Perempuan adalah manusia dan sebaik-baik manusia adalah yang memiliki martabat kemanusiaan yang tinggi dan mulia.
Sebagai contoh, Rasulullah SAW menikahi Khadijah yang ketika itu berusia 40 tahun manakala baginda ketika itu berusia 25 tahun. Namun dalam mengharungi bahtera kehidupan, mereka adalah yang tergolong dalam golongan yang paling berjaya dan penuh kebahagiaan. Kenapa? Kerana apabila yang berakhlak mulia bertemu dengan mereka yang berakhlak mulia maka keduanya menjalani kehidupan dengan jiwa dan fitrah yang suci dan bertaqwa.
Bagi orang zaman sekarang, mereka lebih mementingkan akan paras rupa dan kecantikan tubuh wanita dalam mengukur keperibadian seseorang wanita untuk dijadikan calon isteri. Walhal kriteria yang dipakai Rasulullah itulah yang membuat baginda dapat menikmati kedudukan yang mulia dan dihormati.
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Dari Jabir r.a., Sesungguhnya Nabi SAW. telah bersabda: Sesungguhnya perempuan itu dinikahi orang kerana agamanya, kedudukan, hartanya, dan kecantikannya; maka pilihlah yang beragama” (HR. Muslim dan Tirmidzi).
Rasulullah SAW melarang kaum lelaki memilih kecantikan semata-mata dalam menentukan calon isteri. Baginda bersabda:
"Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kecantikannya semata-mata, kerana kecantikan akan memusnahkan dirinya; janganlah kamu berkahwin dengan wanita kerana hartanya, kerana kekayaan itu akan membuatnya derhaka. Kahwinilah seorang wanita kerana agamanya kerana sesungguhnya seorang hamba perempuan berkulit hitam yang baik agamanya itu lebih utama.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Haram menikahi perempuan musyrik, kafir dan yang tidak beragama samawi
Menikahi orang kafir misalnya Majusi, Buddha, Hindu, penyembah berhala dan sebagainya adalah diharamkan dalam Islam. Seperti firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu nikahi perempuan-perempuan musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya perempuan mukmin lebih baik daripada perempuan musyrik walaupun dia menarik hatimu (sebab itu perempuan musyrik tidak boleh dikahwini).”
Oleh sebab itu, Islam melarang penyambungan antara dua hati dan dua akidah yang bertentangan kerana nikmat sesebuah pernikahan bukan hanya pada nafsu semata-mata malah meliputi pelbagai aspek dalam kehidupan bahtera rumah tangga. Selain itu, ianya dapat menjaga kedamaian dalam sesebuah ikatan kekeluargaan. Itulah rahsia Islam.
Keturunan yang baik
Islam menyeru umatnya agar memilih calon pasangan yang datangnya dari keturunan yang baik. Alasan yang paling kukuh adalah kerana keluarga memainkan peranan utama dalam pembentukan akhlak dan keimanan seseorang. Seorang wanita yang lahir dari keluarga yang baik dan Islamik akan melahirkan zuriat dan keturunan yang mulia.
KESIMPULAN
Demikian adalah beberapa panduan bagi lelaki yang masih buntu dalam membuat pemilihan calon isteri mereka Selain melakukan usaha untuk memilih pasangan, jangan sesekali meninggalkan doa kepada Allah Ta’ala agar dikurniakan calon pasangan yang baik.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?