Bagaimana Mahu 'Move On' Selepas Putus Cinta?

Bagaimana Mahu 'Move On' Selepas Putus Cinta?

Perkara pertama yang anda mesti buat ialah menerima kenyataan. Ramai orang yang tidak dapat menerima kenyataan apabila mereka sudah putus cinta...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Putus cinta merupakan satu pengalaman yang memeritkan bagi orang yang bercinta. Zaman remaja dan alam percintaan memang tidak dapat dipisahkan. Ia seakan suatu perkara ‘wajib’ yang perlu dilalui oleh golongan ini. Walaupun banyak tegahan telah dinyatakan bahawa dalam ajaran Islam, tiada percintaan sebelum pernikahan, namun masih ramai anak muda tidak mengambil peduli akan hal tersebut.

Melainkan jika seseorang itu ingin mengenali hati budi seseorang disertai dengan niat untuk mengahwininya, maka ianya dibolehkan. Sekiranya hubungan keduanya direstui oleh kedua belah keluarga, mereka masih perlu menjaga batas pergaulan agar tidak berlebih-lebihan dan melanggar syariat.

Putus cinta

“Bagaimana saya ingin meneruskan hidup tanpa dia?”

“Saya dah cuba lupakan dia, tetapi tak berjaya…”

Ini adalah antara persoalan yang biasa kita dengar apabila seseorang putus cinta. Bagaimana kita mahu ubati rasa kecewa itu agar ianya tidak memakan diri? Ini adalah 7 tips untuk ‘Move On’ bagi mereka yang pernah ditinggalkan atau dikecewakan oleh pasangan.

1. Terima kenyataan

Perkara pertama yang anda mesti buat ialah menerima kenyataan. Ramai orang yang tidak dapat menerima kenyataan apabila mereka sudah putus cinta. Bahkan, berita-berita tentang kejadian bunuh diri dari dalam dan luar negara juga sering kedengaran akibat gagal dalam percintaan. Fikirlah dengan akal yang waras dan jangan sesekali rela mati disebabkan cinta. Bak seperti kata lirik lagu di bawah:

“Tak sanggup ku dibohongi, Ku rela dijemput Ilahi, Kerana dia ku sanggup pergi, Hanya di sana kekal dan abadi” - Aiman Tino

Berusahalah untuk menerima kenyataan bahawa mungkin ada perkara yang lebih baik akan berlaku pada masa depan. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah: Ayat 216)

2. Penuhi waktu dengan perkara berfaedah

Inilah waktu yang terbaik untuk anda mencari dan mencipta hobi serta minat baru yang berfaedah agar tidak larut terkenangkan perkara lepas. Sertailah aktiviti dalam komuniti perumahan atau masjid. Contohnya mendengar ceramah motivasi, menghadiri kelas menjahit, memanah atau bersedekah kepada orang miskin.

3. Hindari perkara/ benda yang boleh ingatkan kembali kepada si dia

Saya rasa ini mungkin merupakan perkara yang paling susah untuk anda lakukan. Namun percayalah, ianya akan menjadi seperti ‘alah bisa tegal biasa’. Lama-kelamaan, pasti segalanya akan berjalan dengan lancar dan anda akan melupakan si dia. Yakinlah bahawa Allah S.W.T. mempunyai perancangan yang lebih baik untuk anda nanti.

4. Berkongsi luahan hati

Berkongsilah kisah anda dengan ahli keluarga dan sahabat yang boleh dipercayai. Ia mungkin boleh membantu anda melegakan perasaan anda. Jangan pendam perasaan sendirian. Jika anda malu untuk berkongsi kepada ahli keluarga dan kenalan rapat, anda juga boleh berjumpa dengan pakar-pakar kaunseling yang diiktiraf.

Mereka sudah biasa dengan kes-kes sebegini dan tahu macam mana untuk berhadapan dengan anda. Mungkin ada tips dan petua yang bakal dikongsikan nanti. Silakan menangis jika perlu untuk melegakan perasaan, tetapi elakkan bersedih dalam tempoh yang panjang. Paling penting, bantulah diri sendiri untuk keluar dari penderitaan.

5.  Elakkan dengar lagu jiwang

Sebaiknya elakkan mendengar lagu yang sedih, hiba atau sebarang lagu yang mengingatkan diri anda dengan si dia. Mendengar lagu-lagu sebegini akan mengundang perasaan sedih yang meleret-leret menyebabkan anda susah untuk move on daripada si dia.

Gantikan dengan lagu bermotivasi untuk lebih positif atau lebih baik gantikan lagu yang sering kita dengar dengan irama berbentuk selawat Nabi S.A.W. ataupun zikrullah. Ia lebih memberi ketenangan hati kepada anda.

6. Mengembara (Travel)

Mengembara adalah salah satu cara terbaik membina keyakinan diri dan bermuhasabah terhadap nikmat yang telah kita perolehi. Betapa ramai mereka di luar sana yang bernasib lebih malang, tetapi tetap bersemangat menjalani kehidupan. Berjalan dan perhatikanlah betapa luasnya rahmat Allah S.W.T. pada hamba-Nya.

Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Luqman yang bermaksud:

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal berlayar di laut dengan nikmat kurniaan Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.”

(Surah Luqman: Ayat 31)

7. Mohon kekuatan daripada Allah S.W.T.

Setelah anda melakukan tips-tips di atas, akhir sekali bertawakal (serah urusan setelah usaha) kepada Allah S.W.T. Mohonlah kepada Allah S.W.T. agar memberikan kesabaran dan kekuatan kepada diri anda untuk melupakan si dia serta meneruskan kehidupan anda. Kesedihan daripada hubungan yang terputus di pertengahan jalan ini hanyalah sementara. Anggaplah ia sebagai suatu proses kehidupan untuk menjadikan diri anda lebih matang dalam segala tindakan, sikap, perilaku, kawalan emosi dan sebagainya.

Justeru itu, bagi mereka yang mengalami hal seumpama ini berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk melihat hikmah pada setiap kejadian. Kawallah pemikiran kita untuk berfikir dengan lebih positif terhadap segala perkara yang berlaku ke atas diri.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: