Bagaimana nak tahu seseorang itu jodoh kita atau tak?

Bagaimana nak tahu seseorang itu jodoh kita atau tak?

"Apabila kita sudah menjadi seorang yang baik akhlaknya maka jodoh yang akan kita cari nanti mungkin daripada kalangan orang yang baik juga..."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

 

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Namun persoalan yang mungkin sentiasa bermain dalam pemikiran kita adalah bagaimana kita hendak tahu sama ada si dia jodoh kita ataupun tidak. Jodoh adalah cerminan diri kita, jika mahukan jodoh yang baik maka perbaiki diri dahulu agar dikurniakan jodoh yang baik

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik pula adalah untuk wanita-wanita yang baik." 

(Surah An-Nur : Ayat 26)

Oleh sebab itu, kita biasanya dinasihatkan untuk mengubah diri menjadi baik sebelum mencari jodoh. Apabila kita sudah menjadi seorang yang baik akhlaknya maka jodoh yang akan kita cari nanti mungkin daripada kalangan orang yang baik juga. Jodoh sebenarnya boleh dikenal pasti melalui beberapa perwatakan dan sifat. Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda beberapa tanda yang menunjukkan dia jodoh kita:

Anda selesa dengannya

Setiap kali anda berkomunikasi, anda berasa selesa dengannya. Contohnya, bila anda berjumpa dengannya anda akan berasa tenang dan tidak serabut. Setiap kekurangannya diterima dengan ikhlas hati dan setiap kelebihannya disyukuri.

Malah anda juga tidak berasa jemu atau bosan dengannya. Kalau sebelum kahwin pun sudah ada rasa jemu atau bosan, macam mana nak menghadapi hari yang akan mendatang? Kahwin bukan untuk sehari dua tetapi untuk selama-lamanya.

Ustaz Azhar pernah diajukan soalan mengenai apakah salah satu tanda bahawa seseorang itu jodoh kita? Jawab beliau, sekiranya bila kita tengok (pasangan kita) hati akan berasa tenang dan itu merupakan salah satu tanda ianya adalah jodoh kita.

Bersahaja

Dia jenis seorang yang bersikap sahaja. Caranya tidak seperti membuat-buat atau dalam erti kata lain, berlakon. Cuba perhatikan cara dia bertutur, makan, ketawa dan sebagainya. Ianya nampak spontan sahaja, tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kadang-kadang, kita dapat mengesan sekiranya seseorang itu sedang berlakon berdasarkan tingkah laku yang dipamerkan.

Jika dia sendiri kurang selesa dengan gayanya, dia mungkin sedang berlakon. Namun apabila si dia tampil bersahaja dan tidak berlakon, ia mungkin adalah calon pasangan yang sesuai buat anda.

Susah senang bersama

Setiap pasangan pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan, ketika inilah kita dapat lihat perangai sebenar masing-masing. Pasangan yang ikhlas akan sanggup harunginya bersama-masa walaupun mereka belum ada apa-apa ikatan yang sah lagi.

Meskipun kita sedang dilanda masalah tetapi si dia tetap sanggup menerima kita. Seperti kata peribahasa 'berat sama dipukul, ringan sama dijinjing'. Jika si dia jodoh anda, si dia pasti sentiasa ada untuk anda pada waktu susah mahupun senang. 

Selain itu, anda juga akan berasa sentiasa tenang, gembira apabila bersamanya. Dia juga turut merasainya. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Ketiadaannya membuatkan anda terasa sedikit kehilangan. Namun jangan sesekali mudah percaya dengan janji-janji manis seperti ‘lautan api sanggup ku renangi…’, perhatikan usaha si dia terlebih dahulu, jangan termakan dengan kata-katanya sahaja!

Sering bersifat jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan.. 

Sifat jujur ini ada pada diri Rasulullah S.A.W. hatta sebelum dilantik menjadi Rasul. Oleh kerana itulah, masyarakat Arab jahiliah pada masa itu suka kepada perwatakan Rasulullah S.A.W. sehingga baginda digelar sebagai ‘Al -Amin’ yang bermaksud orang yang dipercayai. Allah S.W.T. juga telah berfirman di dalam surah An-Najm yang bermaksud: 

"Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri." (53:3)

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidak pernah berbohong. Baginda mengucapkan perkara yang benar sahaja.

Saling mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu si dia, adakah rahsia kita selamat di tangannya?

Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada orang yang mereka percaya berbanding rakan-rakan yang lain.

Solat Istikharah

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh Allah SWT. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai ‘pelakon’ mereka akan diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati.

Oleh yang demikian, umat manusia hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang itu membuat keputusan, mereka dianjurkan solat istikharah. Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk terutama apabila seseorang dalam keraguan untuk memutuskan antara dua perkara. Misalnya soal jodoh.

Ia adalah perkara yang penting di mana setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan jodoh, maka sandaran dan kebergantungan kita pada akhirnya ialah hanya kepada Allah S.W.T. 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia


 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar