Bahaya hidup lama membujang
Bahaya hidup lama membujang
Bolehkah kita membuat keputusan untuk terus hidup membujang tanpa berkahwin? Apakah ada larangan membujang dalam Islam?
Bolehkah kita membuat keputusan untuk terus hidup membujang tanpa berkahwin? Apakah ada larangan membujang dalam Islam? Ini merupakan antara persoalan-persoalan yang selalu ditanya di kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Di dalam Al-Quran, perintah untuk berkahwin sudah jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T. Antara dalil tersebut ialah seperti yang dinyatakan di dalam surah An-Nur ayat yang ke 32 yang bermaksud:
"Dan nikahkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu, dan orang-orang yang layak (menikah) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memberi rezeki kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) dan Maha Mengetahui."
(Surah An-Nur : Ayat 32)
Larangan ‘Tabattul’
Tabattul secara bahasa bermaksud memutus. Orang-orang yang tidak berkahwin dengan tujuan beribadat kepada Allah S.W.T. disebut sebagai Al-Mutabattil. Di dalam Subulus Salam (juz 6, halaman 10) karya Ash Shan’ani, disebutkan bahawa tabattul adalah enggan bernikah kerana mengasingkan diri dan sibuk beribadat pada Allah S.W.T.
Sa’ad bin Abi Waqas R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
“Rasulullah S.A.W. tidak mengizinkan Utsman bin Mazh’un untuk tabattul (hidup membujang), kalau seandainya beliau mengizinkan tentu kami (akan bertabattul) meskipun (untuk mencapainya kami harus) melakukan pengasingan.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 5073 dan Muslim no. 1402)
Hal ini disebutkan juga oleh Ibnu Hajar Al-Asqolani di dalam Fathul Bari yang bermaksud:
“Yang dimakusd tabattul adalah meninggalkan pernikahan kerana sibuk untuk ibadah.”
(Fathul Bari, 9: 118)
Setelah itu, Ibnu Hajar menyebutkan perkataan At-Thobari bahawa tabattul yang dimaksudkan oleh Utsman bin Mazh’un adalah mengharamkan pada dirinya untuk menikahi wanita dan enggan mengenakan wangian serta segala sesuatu yang menyenangkan. Oleh sebab hal itu, turunlah ayat:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu.”
(Surah Al-Maidah : Ayat 87)
Larangan hidup membujang
Pernah suatu ketika, ada di kalangan sahabat Rasulullah S.A.W. yang bertekad tidak ingin berkahwin kerana hendak menumpukan sepenuhnya ibadat kepada Allah. Anas bin Malik R.A. berkata:
“Ada tiga orang yang pernah datang ke rumah isteri Rasulullah S.A.W, mereka bertanya tentang ibadat Baginda S.A.W. Ketika mereka diberitahu, tanggapan mereka seakan-akan menganggap apa yang dilakukan oleh Baginda S.A.W. biasa-biasa sahaja.
Mereka berkata, “Bagaimana kita hendak dibandingkan dengan Rasulullah S.A.W.? Padahal dosa beliau yang lalu dan akan datang telah diampuni.”
Salah satu dari mereka lantas berkata, “Adapun saya, saya akan solat malam selamanya.”
Yang lain berkata, “Saya akan berpuasa terus menerus, tanpa ada hari untuk tidak puasa.”
Yang lain berkata pula, “Saya akan meninggalkan wanita dan tidak akan menikah selamanya.”
Rasulullah S.A.W. lantas berkata, “Kaliankah yang berkata demikian dan demikian? Demi Allah, aku sendiri yang paling takut pada Allah dan paling bertakwa pada-Nya. Aku sendiri tetap berpuasa namun ada waktu untuk rehat dan tidak berpuasa. Aku sendiri mengerjakan solat malam dan ada waktu untuk tidur. Aku sendiri menikahi wanita. Siapa yang membenci ajaranku, maka ia tidak termasuk golonganku.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401)
Oleh sebab itu, berkahwin adalah termasuk dalam ajaran Islam dan tidak boleh dibenci. Ibnu Hajar menyebutkan lagi:
“Jalan Rasulullah S.A.W. adalah lurus dan memberikan banyak kelonggaran. Dalam ajaran beliau ada waktu dibolehkan untuk tidak puasa, supaya benar-benar kuat apabila mahu berpuasa. Islam masih membenarkan untuk tidur supaya bertenaga ketika melakukan solat malam. Dalam Islam dibolehkan pula untuk berkahwin supaya dapat menjaga syahwat, menjaga kesucian diri dan memperbanyakan keturunan.”
(Fathul Bari, 9: 105)
Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi yang tidak berkahwin
Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi adalah dua nama yang bertaraf ulamak besar di dalam dunia Islam. Sumbangan mereka kepada Islam adalah sangat besar. Kedua-duanya tidak berkahwin sehingga ke akhir hayatnya kerana terlalu sibuk dengan urusan memberi sumbangan keilmuan kepada masyarakat di dalam hal ehwal agama Islam.
Di dalam Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘ala Madzhabil Imam As-Syafie (2:14-15) yang di antara penulisnya adalah Syeikh Musthofa Al-Bugho, disebutkan beberapa keadaan orang yang bujang. Beliau membahagikan kepada 3 kategori iaitu:
1. Membujang kerana tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin. Mungkin disebabkan oleh fitrahnya, sakit atau kerana tidak mampu memberi nafkah padahal dalam perkahwinan ada keharusan memberi mahar dan nafkah. Hukum bernikah di dalam situasi ini adalah makruh bernikah.
2. Membujang kerana terlalu sibuk dengan ibadat dan menuntut ilmu agama. Mereka bimbang dengan berkahwin akan membuatnya lalai daripada hal itu. Walaupun daripada segi kewangan, ia sudah mampu untuk berkahwin. Jika berada di dalam situasi ini, adalah lebih baik untuk tidak menikah kerana ada maslahat (faedah) yang lebih besar.
3. Membujang dalam keadaan mampu untuk berkahwin daripada segi kewangan dan mereka tidak disibukkan dengan ibadah dan menuntut ilmu agama. Adalah lebih baik untuk berkahwin jika berada di dalam situasi ini.
Adapun keadaan Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi yang tidak berkahwin sehingga meninggal dunia adalah kerana mereka disibukkan dengan jihad ilmu. Keadaan mereka adalah seperti yang telah dinyatakan dalam situasi kategori kedua di atas.
Jika kita ingin terus hidup membujang dan tidak mahu berkahwin, cuba tanya pada diri, kita termasuk dalam kategori mana? Jangan habiskan masa muda dengan perbuatan yang sia-sia kerana Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi menulis banyak kitab dan karya untuk masyarakat. Berkahwinlah jika tiada alasan kerana itulah sunnah yang lebih dekat dengan Rasulullah S.A.W.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?