BERKENALAN VS BERCINTA
BERKENALAN VS BERCINTA
Islam menggariskan beberapa panduan untuk mengenali seseorang baik wanita mahupun lelaki...
“Tak kenal maka tak cinta”.
Kenal dan cinta adalah dua perkataan yang digabung dalam pepatah. Ia memberi satu makna betapa pentingnya mengenali antara satu sama lain dalam sesuatu perhubungan. Umum mengetahui bahawa perkenalan adalah satu proses saling mengetahui antara satu sama lain dan saling maklum tentang diri sebelum faham, ingat dan hafal.
Namun apakah yang seorang lelaki dan seorang gadis perlu tahu dan maklum sepanjang tempoh perkenalan? Cukupkah kalau hanya sekadar tahu nama, umur, pekerjaan dan beberapa soalan demografi yang lain? Atau perlukah mendedahkan segalanya dari hal peribadi sehingga urusan keluarga?
Islam menggariskan beberapa panduan untuk mengenali seseorang baik wanita mahupun lelaki. Pertama, risikan. Dengan bertanya kepada kepada seseorang rakan atau saudara calon, kita boleh mengetahui latar belakangnya. Sikap, perwatakan dan tingkah laku juga boleh diketahui melalui risikan ini. Risiklah melalui orang yang boleh dipercayai.
Kedua, bertunang. Dalam tempoh pertunangan ini, bukan sahaja boleh mengenali calon itu sahaja bahkan ia juga merupakan masa kedua-dua keluarga untuk mengenali antara satu sama lain. Ahli keluarga boleh saling ziarah-menziarahi untuk ‘mengintip’ peribadi calon menantu.
Namun pertunangan bukan lesen untuk seseorang bergaul bebas bak suami dan isteri. Secara hakikatnya ianya adalah antara masa yang sesuai untuk mereka mengenali antara satu sama lain. Pertunangan boleh diputuskan sekiranya pasangan merasakan mereka tidak serasi bersama sepanjang tempoh itu.
Secara tidak langsung dapatlah difahami bahawa pertunangan itu sendiri membawa dua objektif. Pertama, ia menjadi tanda. Tanda bahawa lelaki lain tidak boleh menyunting seorang gadis yang sudah bertunang. Kedua, pertunangan ialah tempoh dan ruang untuk lebih mengenali antara satu sama lain.
Namun begitu, Islam menetapkan batas-batas yang harus dijaga dalam proses berkenalan. Batasan ini memastikan pasangan tidak bebas bergaul. Lelaki muslim dan perempuan muslimah wajar menjaga ikhtilat. Berhubung bila ada keperluan dan berada di bawah pengawasan atau dalam pengetahuan keluarga.
Sirah memberikan teladan kepada kita bagaimana Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin, Sayyidatina Khadijah RA berkenalan. Sayyidatina Khadijah RA jatuh hati pada peribadi dan akhlak terpuji Rasulullah SAW semasa baginda berkhidmat membawa barang dagangan janda hartawan itu.
Bercinta atau Budaya Couple.
Berbeza dengan bercinta sebelum kahwin yang menjadi budaya hari ini. Ia membawa lebih banyak kesan buruk daripada kebaikannya. Dalam era serba mencabar ini, muda-mudi, pelajar dan anak-anak lebih banyak terdedah kepada budaya ini melalui pengaruh media dan rakan-rakan. Terpulang kepada teguhnya iman, bijaknya akal dan tingginya nilai dalam diri untuk menepis dugaan yang mendatang.
Berapa ramai antara pasangan ini yang membuat pengakuan atau declaration dengan dialog “awak milik saya”, dan “si fulan atau fulanah itu saya yang punya”. Mungkin banyak lagi pengakuan-pengakuan yang seakan lamaran. Selarikan juga hubungan ini dengan komitmen, tanggungjawab dan kesungguhan. Usahakan nilai kepimpinan dan lengkapkan diri dengan ilmu agama dan rumah tangga. Di samping itu, bersedia dari pelbagai sudut seperti kematangan, kewangan dan kemahiran.
Pasangan bercinta ini biasanya berhubung saban hari menerusi pelbagai saluran media sosial. Bersembang itu dan ini atau mereka bergurau senda tanpa wujud orang ketiga. Ucapan manis ‘I love you’ dan ‘I miss u’ meniti di bibir tiap kali mereka berhubung. Inilah antara fasa yang dirungkai dalam syair Imam Syafie: “Pandangan, senyuman, salam, perbualan…”
Mungkin ada yang keluar ke sana ke sini tanpa keperluan atau tanpa ditemani pihak ketiga. Perubahan zaman juga menyaksikan ibu ayah semakin ‘sporting’ memberi keizinan kepada anak gadis untuk keluar bersama mahram dan memberi kepercayaan kepada jejaka untuk ‘menjaga’ anak perempuan.
Benarkah Hipokrit Sebelum Sah?
Namun berapa lama tempoh berkenalan atau bercinta? Ramai pasangan yang mengadu selepas berkahwin: “Suami saya tidak sama seperti waktu bujang dulu.” “Saya seakan-akan tidak kenal isteri saya.” Adakah selama bercinta itu lakonan semata? Benarkah selama ini pasangan saya berpura-pura.
Kepuraan atau ‘lakonan’ itu berpunca daripada sikap ingin menampilkan kesempurnaan atau mahu memberikan yang terbaik. Dengan erti kata lain menonjolkan diri dalam kalangan pesaing-pesaing dan mungkin sebagai usaha untuk mengambil hati atau teknik pikat memikat. Tidak ramai yang berani jujur.
Apapun fasa yang dilalui, berkenalan atau bercinta maka jujurlah. Hakikatnya, proses perkenalan yang sebenar adalah selepas nikah. Sebaik sah diijab kabul, pasangan akan melalui satu fasa suai kenal isi hati, hati budi serta nilai pekerti yang tulus dan telus. Ia ‘diperkenalkan’ sendiri dalam tingkah seharian sehingga ke akhir hayat.
Nota: Artikel ini adalah artikel yang diambil daripada pemenang saguhati Pertandingan Artikel BaitulMuslim.com. Ia adalah pandangan penulis, Noor Azean Yaacob dan tidak mewakili pihak BaitulMuslim.com.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?