Betul Ke Orang Kahwin Muda Ni Sebab Gatal?

Betul Ke Orang Kahwin Muda Ni Sebab Gatal?

Tidak dinafikan bahawa tanggungjawab sebagai suami isteri adalah berat. Namun begitu, anak muda tidak seharusnya ditegah jika mahu mendirikan rumah tangga apabila mereka benar-benar bersedia...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Apabila dua orang yang sedang dilamun cinta dan menyatakan hasrat untuk berkahwin, itu adalah lebih baik daripada berpacaran tanpa hubungan yang tidak halal. Ada sesetengah orang yang ‘cop’ kahwin awal sebagai gatal. Malah ada yang mempertikaikan kehendak anak muda yang mahu berkahwin awal ini.

Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W. telah menganjurkan untuk berkahwin khususnya buat generasi pemuda. Hadis tersebut berbunyi:

"Wahai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang mampu berkahwin, maka berkahwinlah. Ini kerana, dengan berkahwin dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa dapat menekan syahwatnya."

(Hadis Riwayat Al-Bukhari (no. 5066) Kitab An-Nikah, Muslim (no. 1402) Kitab An-Nikah dan At-Tirmidzi (no. 1087) Kitab An-Nikah)

Fahami Tujuan Perkahwinan

Tidak dinafikan bahawa tanggungjawab sebagai suami isteri adalah berat. Namun begitu, anak muda tidak seharusnya ditegah jika mahu mendirikan rumah tangga apabila mereka benar-benar bersedia.  Keluarga dan masyarakat seharusnya memberikan sokongan moral bagi menyokong usaha pasangan muda untuk berkahwin awal.

Buat pasangan muda yang mahu berkahwin, fahamilah tujuan perkahwinan. Berkahwin bukan sekadar suka-suka atau untuk berseronok sahaja. Amanah dan tanggungjawab sebagai suami isteri pasti akan ditanya oleh Allah S.W.T. kelak. Melalui perkahwinan ia adalah cara untuk melindungi dan memelihara diri kita daripada keruntuhan akhlak dan moral. Lihat sahaja cara hidup golongan daripada negara barat.

Berapa banyak kerosakan yang berlaku dalam kalangan remaja mereka yang hidup bebas dan tidak mempunyai ikatan sebagai suami isteri. Mereka bertukar pasangan apabila bosan dengan pasangan yang lama. Tidak ada rasa tanggungjawab antara lelaki dan perempuan kerana mereka tiada ikatan yang sah. Hal ini akan merosakkan agama dan bangsa mereka sendiri. Semoga kita dijauhkan daripada virus ini.

5 Persediaan Kahwin Pada Usia Muda

Bagi pasangan muda yang bakal berkahwin, kami senaraikan lima persediaan kahwin pada usia muda. Ia adalah sebagai garis panduan untuk menempuh alam perkahwinan nanti.

1. Persediaan Mental Dan Fizikal

Berkahwin pada usia muda memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana anda mungkin menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Segala cabaran perlu diatasi dengan akal yang waras bukan mengikut nafsu amarah. Komunikasi dan saling bertolak ansur dengan pasangan anda merupakan elemen yang penting di dalam perhubungan.

2. Persediaan Kewangan  

Pasangan muda yang mahu berkahwin juga perlu bersedia daripada segi kewangan. Walaupun terdengar ungkapan, ‘wang bukanlah segala-galanya’ namun di dalam dunia sekarang hampir semua benda memerlukan duit. Oleh itu, pastikan ada simpanan walaupun sedikit. Jangan terlalu mewah berbelanja.

3. Restu Ibu Bapa

Walau apa jua keputusan yang anda buat, penting untuk dapatkan restu daripada ibu bapa anda. Berbincang secara baik dengan mereka dan nyatakan kenapa anda berdua mahu berkahwin awal. Minta nasihat dan panduan dalam melayari kehidupan rumah tangga. Mereka pasti senang memberikan anda nasihat kerana telah lebih berpengalaman dalam rumah tangga.

4. Memahami Tugas Dan Peranan Sebagai Suami Isteri

Suami perlu mengalas tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga. Ini termasuk si suami perlu mendidik isteri ke arah yang betul dan memastikan si isteri menjaga kehormatan dirinya. Suami juga perlu menyediakan segala keperluan (nafkah zahir dan batin) kepada isterinya.

Seorang isteri pula mestilah menjalankan tanggungjawab dalam menguruskan diri, suami dan anak-anaknya serta hal ehwal rumah. Si isteri diibaratkan penolong ketua kepada suaminya. Buat isteri yang bekerja, suami dan isteri haruslah ada sikap tolak ansur. Tidak salah bagi suami untuk menguruskan hal berkaitan anak-anak dan rumah jika si isteri sibuk bekerja atau penat.

5. Pengetahuan Agama

Pengetahuan dalam agama Islam adalah antara perkara yang penting bagi mereka yang bakal berkahwin terutamanya ilmu-ilmu berkaitan perkahwinan. Malah jika anda seorang lelaki, andalah yang sepatutnya membimbing bakal isteri anda. Justeru, sebagai lelaki yang mahu berkahwin awal seeloknya anda belajar dahulu tentang agama. Bukan bermaksud sehingga menjadi ustaz, tetapi cukuplah sebagai bekalan untuk anda dan keluarga anda nanti menuju syurga Allah S.W.T.  

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar