Bolehkah berhutang dengan pihak bank untuk berkahwin?

Bolehkah berhutang dengan pihak bank untuk berkahwin?

Hukum berhutang secara umumnya adalah harus. Ia boleh jadi haram jika pinjaman tersebut mempunyai unsur riba. Nasihat saya jika anda terpaksa membuat pinjaman bank, pilihlah bank yang mempunyai pinjaman Islamik...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Setiap pasangan pasti mengimpikan untuk berkahwin dengan perbelanjaan perkahwinan mereka tanpa pinjaman dan bebas daripada hutang. Hidup kita akan lebih tenang jika kita dapat membebaskan diri daripada hutang. Terdapat beberapa pertanyaan yang biasa menjadi persoalan masyarakat berkaitan masalah ini.

Pertama : “Apakah sah jika akad nikah dengan maharnya (mas kahwin) berhutang?”

Kedua : “Bolehkah berhutang dengan pihak bank untuk membiayai majlis perkahwinan?”       

Hukum berkahwin yang maharnya adalah hutang

Menyediakan mahar untuk pihak isteri adalah wajib jika ingin berkahwin. Namun jika kita tetap ada masalah untuk menyediakan mahar tersebut, dibolehkan untuk berhutang dengan pihak isteri. Perkahwinan secara hutang tetap sah. Walau bagaimanapun, ia menjadi kewajipan suaminya untuk membayar semula hutang tersebut kepada isterinya biarpun mereka sudah bertahun berkahwin kecuali si isteri redha dan menghalalkannya.

“Barang siapa yang mengambil harta manusia, dengan niat ingin menghancurkannya, maka Allah juga akan menghancurkan dirinya.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Di dalam masyarakat kita pada hari ini, masalah tidak mampu membayar mahar iaitu mas kahwin pada pandangan saya adalah agak mustahil kecuali mahar itu ditetapkan oleh pihak perempuan sendiri dan ianya terlalu tinggi. Kadar penetapan mahar sebenarnya telah ditetapkan oleh jabatan agama negeri (merujuk kepada jabatan agama negeri masing-masing). Ia mungkin berbeza dengan kehidupan masyarakat pada zaman Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Rasulullah S.A.W, terdapat beberapa sahabat yang terdiri daripada kalangan golongan miskin dan hamba sahaya. Jika mereka menyatakan niat untuk berkahwin, Rasulullah S.A.W  tetap meminta mereka menyediakan mahar kerana mahar adalah wajib sebagai hadiah kepada bakal isteri. Bahkan ada suatu hadis daripada Rasulullah S.A.W. yang meminta sahabat membayar mahar dengan hafalan Al-Quran kerana sahabatnya itu miskin dan tiada harta lain.

Dari Sahl bin S’ad, ia menceritakan:

“Suatu ketika seorang perempuan mendatangi Rasulullah S.A.W. Tiba di hadapan Rasullullah S.A.W. perempuan itu berkata; “Sungguh aku menyerahkan diriku”, (meminta Rasulullah menikahinya). Perempuan itu lalu berdiri lama sekali. Lalu berkatalah seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W, “Nikahkanlah aku dengannya jika engkau tidak berminat kepadanya!”.

Rasulullah SAW menjawab, “Apa yang anda miliki untuk mas kahwinnya?”. Lelaki itu menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa kecuali sarung” (yang dipakainya). Rasulullah S.A.W. menjawab, “Jika anda memberikannya, anda tidak memakai sarung lagi. Carilah sesuatu walaupun berupa cincin besi”. Tetapi lelaki itu tetap tidak memiliki sesuatu.

Akhirnya Rasulullah S.A.W bertanya; “Apakah ada pada anda sesuatu dari Al-Quran?”, ia menjawab; “Ada, aku (hafal) surah ini dan surah ini”, ia menyebutkan beberapa nama surah itu. Rasulullah S.A.W. bersabda; “Aku nikahkan anda dengan perempuan itu dengan mas kawin sesuatu daripada Al-Quran yang ada pada anda”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berhutang dengan pihak bank untuk membiayai majlis perkahwinan

Hukum berhutang secara umumnya adalah harus. Ia boleh jadi haram jika pinjaman tersebut mempunyai unsur riba. Nasihat saya jika anda terpaksa membuat pinjaman bank, pilihlah bank yang mempunyai pinjaman Islamik kerana mereka biasanya melantik panel syariah yang berautoriti. Insya-Allah anda akan terhindar daripada riba kerana ianya dipantau oleh panel syariah bank tersebut.

Larangan riba telah jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan.”

(Surah Ali Imran : Ayat 130)

Namun jika ada pilihan lain, elakkan untuk berhutang dengan pihak bank. Lebih baik meminjam dengan kaum kerabat, saudara atau ahli keluarga terlebih dahulu. Sebab apa? Meminjam dengan keluarga atau saudara biasanya adalah lebih mudah urusannya dan boleh bertolak ansur dalam urusan pembayaran balik hutang tersebut.

Ikut kemampuan

Berhutang merupakan amalan yang kalau boleh patut dielakkan oleh setiap orang. Tidak ada masalah untuk berhutang jika betul-betul di luar kemampuan dengan syarat kita mesti membayar balik pinjaman kita. Berhutang mesti hanya untuk perkara terdesak dan keperluan sahaja. Jangan berhutang jika anda tidak ada keperluan.

Beban hutang adalah berat. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:

"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang. Sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari."

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Perbelanjaan majlis perkahwinan biasanya merupakan kos yang paling besar dalam sesuatu perkahwinan. Jika anda tidak mampu membuat majlis yang besar dan mewah, buatlah sekadar kemampuan anda. Jangan melebihi kemampuan sehingga menyebabkan anda terpaksa berhutang dan mengambil masa yang bertahun-tahun untuk menyelesaikan baki pinjaman tersebut.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, hukum berhutang asalnya adalah perkara yang harus dan dibolehkan dalam semua hal termasuklah bagi membiayai kos perkahwinan. Memilih pinjaman yang mematuhi syariah Islam adalah merupakan kewajipan individu Muslim. Saya berharap sebelum hutang dibuat untuk sesuatu perkara, anda perlu mengambil kira semua aspek termasuklah dari segi kemampuan untuk membayar balik pinjaman tersebut. Harap artikel ini membantu.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar