Bolehkah saling bertukar gambar untuk tujuan bertakruf (berkenalan)?
Bolehkah saling bertukar gambar untuk tujuan bertakruf (berkenalan)?
Hukum melihat gambar perempuan yang bukan mahram secara umumnya adalah harus dengan syarat hanya melihat apa yang dibenarkan syarak (menutup aurat) dan tanpa syahwat (nafsu)...
Soalan:
Saya Ahmad. Saya sekarang dalam proses mengenali seorang wanita. Kami bercadang untuk berkenalan dan bertukar biodata. Bolehkah kami saling bertukar gambar untuk tujuan bertakruf (berkenalan)?
Persoalan ini mungkin timbul di kalangan masyarakat terutamanya mereka yang masih dalam proses berkenalan. Saya rasa ramai antara kita yang berada di dalam situasi yang sama dengan Ahmad di atas. Mungkin kita tertanya-tanya tentang hukum bertukar gambar di antara lelaki dan perempuan untuk tujuan saling kenal-mengenal.
Hukum melihat gambar berlainan jantina
Hukum melihat gambar perempuan yang bukan mahram secara umumnya adalah harus dengan syarat hanya melihat apa yang dibenarkan syarak (menutup aurat) dan tanpa syahwat (nafsu). Ia sama dengan hukum melihat perempuan secara berdepan.
Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud:
"...Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) dilihat daripadanya..."
(Surah An-Nur: Ayat 31)
Melihat bukan bermaksud ‘suka-suka’ untuk melihat. Melihat yang dinyatakan adalah mesti dengan tujuan dan keperluan. Menurut jumhur ulamak (majoriti ulamak), perhiasan yang biasa dilihat itu ialah wajah dan telapak tangan.
Dengan demikian, wanita boleh menampakkan wajahnya dan kedua telapak tangannya. Bahkan menurut pendapat Abu Hanifah dan Al-Muzni, dibolehkan kedua kakinya. Adapun melihat perhiasan (bahagian tubuh) yang tidak biasa dilihat seperti rambut, leher, punggung, betis, lengan (bahu) dan sebagainya adalah haram dan tidak dibolehkan selain mahram.
Gambar yang dibenarkan untuk sesi takruf (perkenalan)
Seperti yang dinyatakan di atas, gambar calon takruf yang diberikan kepada bakal pasangan yang bukan mahram adalah pertama mesti dibenarkan syarak. Kita sudah bincangkan tentang ini panjang lebar di atas. Seterusnya, gambar yang diberikan untuk sesi takruf juga mestilah gambar yang sebenar calon takruf bukan gambar orang lain.
Perkahwinan bukan perkara main-main. Langkah-langkah menuju ke arah itu juga mestilah diambil serius oleh kedua calon takruf. Memberi gambar yang bukan gambar diri calon membuktikan calon tidak jujur. Sikap tidak jujur dan menipu ini mungkin akan memberi kesan buruk yang lebih besar pada masa hadapan.
Selain itu bagi golongan wanita yang berpurdah, tidak menjadi kesalahan untuk memberikan gambar yang membuka purdah. Calon suami biasanya hendak melihat wajah bakal isteri mereka sebelum mereka berumah tangga kerana isteri merupakan teman mereka hingga ke akhir hayat. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita:
“Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”
(Hadis Riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasan dalam kitab nikah, bab hadis-hadis berkaitan dengan melihat tunang no. 1087)
Takruf bersemuka
Pada pendapat saya selain bertukar biodata dan gambar untuk tujuan takruf, adalah lebih elok jika proses takruf juga dibuat secara bersemuka. Bertakruf secara bersemuka adalah bermaksud mengadakan sesi rasmi berjumpa dan berhadapan dengan bakal suami atau isteri. Biasanya ia melibatkan pertemuan keluarga kedua-dua belah pihak.
Ini kerana dengan berhadapan, kedua-dua calon dapat mengenali bakal pasangan dengan lebih mendalam termasuk melihat empunya diri dengan lebih jelas. Selain itu, mereka juga boleh saling bertukar-tukar soalan dengan dipantau oleh pentakruf (orang yang menguruskan sesi takruf) yang dilantik. Pentakruf juga mungkin terdiri daripada kalangan ahli keluarga termasuk ibu dan bapa atau daripada kalangan sahabat calon tersebut.
Kesimpulan
Melihat gambar perempuan atau lelaki yang bukan mahram adalah dibolehkan dan hukumnya adalah harus selagi tidak menyalahi syarat-syarat yang telah kita bincangkan di atas. Jika anda mempunyai tujuan yang baik seperti mahu berkahwin, maka tidak menjadi kesalahan untuk meminta melihat gambar bakal pasangan anda. Dengan melihat wajah bakal pasangan, ia mungkin dapat memupuk perasaan kasih sayang dan seterusnya mempercepatkan urusan perkahwinan anda. Wallahualam.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?