Bolehkah Si Dia Berubah Demi Perkahwinan?
Bolehkah Si Dia Berubah Demi Perkahwinan?
Jika dia istiqamah untuk berubah, berikan motivasi secukupnya. Insya-Allah, dialah suami atau isteri yang kita idamkan selama ini.
Hidup ini ada baik buruknya. Bagi yang bujang, mereka pasti mengidamkan hari yang bahagia bersama seseorang yang istimewa. Dari situlah bermulanya titik perkenalan antara dua insan. Sabda Nabi S.A.W., maksudnya:
"Wahai sekalian pemuda, jika ada antara kalian yang mampu (untuk bernikah) maka nikahlah.”
Hadis Riwayat Muslim (2577)
Lumrah manusia, sebelum berkahwin, semuanya nampak cantik dan baik. Apabila sudah berkahwin, barulah kita kenal pasangan kita sebenarnya. Kadang-kadang ada yang nampak perangai buruk si dia sejak awal perkenalan, tetapi bertahan kerana rasa sayang.
Soalannya, adakah berbaloi untuk kita bersabar demi mengejar impian untuk berkahwin? Boleh jadi si dia berubah, boleh jadi juga sebaliknya. Oleh itu, berikut adalah tip-tip yang berguna untuk lihat sama ada dia boleh berubah atau tidak.
1. Lihat Cara Dia Mengawal Perasaan
Perasaan ataupun emosi bukanlah sesuatu yang mudah dibuat-buat. Betul, orang boleh berlakon di hadapan kita. Sewaktu berkenalan, tingkah-lakunya baik sahaja walaupun hakikatnya ‘indah khabar dari rupa’. Walau bagaimanapun, kalau kita berkomunikasi kerap dengan si dia, pasti akan ada ketika di mana perangainya yang sebenar akan terserlah. Sebagai contoh, lihat tutur kata orang tersebut ketika dia sedang penat atau bersedih.
Dalam dua keadaan tadi, biasanya kita cenderung untuk berlaku jujur dengan orang lain. Pada waktu itulah perangai sebenar kita mudah dilihat. Sekiranya orang yang kita suka itu tenang pada setiap masa, maka teruskanlah hubungan tersebut secara baik. Namun kalau dia mudah melenting ketika dia penat ataupun tanpa ada sebab, maka anda perlu berhati-hati. Jika ini berlaku sekali-dua, mungkin itu khilaf (kesilapan) kita sebagai manusia. Apabila keadaan tersebut berlaku terlalu kerap, boleh jadi itu adalah tanda dia bukan orang yang sesuai untuk anda.
Di sini kami tidak menyatakan bahawa orang yang baik adalah orang yang sentiasa tenang dan bersabar. Cuma, kalau orang tersebut benar-benar ikhlas dan ingin berubah, dia tidak akan mudah mengikut perasaan dan cuba memperbaiki hubungan tersebut. Kalau dia panas baran sekalipun tetapi kita nampak usahanya untuk berubah, mungkin masih ada harapan buat kita. Dengan sedikit doa dan dukungan, insya-Allah si dia boleh menjadi lebih baik. Maka inilah perkara yang perlu kita perhatikan sewaktu sesi takruf. Lihat cara dia mengawal perasaan dan lihat sama ada dia mampu menahan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia. Apapun, pilihan terletak di tangan kita.
2. Lihat Juga Bagaimana Pegangan Agamanya
Seorang Muslim yang beriman sentiasa menegakkan agamanya. Misalnya, dia tidak lupa untuk menunaikan solat lima waktu. Kalau seseorang itu boleh meninggalkan perintah Allah, maka apatah lagi permintaan manusia. Justeru, carilah seseorang yang mempunyai ilmu dan pegangan agama yang baik. Kadangkala, ada orang yang sudah jauh tersasar dari jalan Ilahi. Namun kerana sebuah perkahwinan, dia boleh berubah dan bertaubat.
Itu adalah garis panduan yang boleh kita perhatikan ketika mencari jodoh. Pilihlah seseorang yang istiqamah untuk mencari reda Allah S.W.T. Walaupun perangainya kelihatan buruk di mata kita, tetapi selagi dia mampu untuk sujud kepada-Nya, maka teruskan berdoa buat orang tersebut. Dengan berkat doa kita, mungkin dia benar-benar boleh berubah. Sesungguhnya Allah boleh mencampakkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Kalau perangainya kurang molek dan pegangan agamanya juga kurang memuaskan, seeloknya kita carilah orang lain. Sesudah berkahwin nanti, tanggungjawab kita akan menjadi lebih besar. Kalau dengan ujian yang kecil pun kita sudah gagal, bagaimana kita hendak mengemudi bahtera perkahwinan kelak? Oleh itu, carilah jodoh dengan bijak.
3. Lihat Reaksinya Apabila Berhadapan Dengan Masalah
Jika kita memang ditakdirkan untuk berkenalan dengan seseorang yang berperangai buruk, seterusnya perhatikan cara dia menyelesaikan masalah. Sesetengah orang boleh menyelesaikan masalah dengan aman walaupun dirinya bersifat negatif. Kalau begitu keadaannya, kita boleh sahaja memberi kata-kata semangat untuk dia berubah. Dia mungkin perlukan tenaga positif daripada orang lain untuk berubah ke arah yang lebih baik. Hal ini kerana bukan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ramai antara kita yang mudah stres dan mengeluh apabila dugaan tiba-tiba muncul.
Jika si dia boleh menyelesaikan masalah dengan teratur, bermakna masih ada harapan untuk dia berubah. Mungkin perwatakannya itu terbentuk daripada persekitaran yang kurang baik atau kurangnya sokongan daripada orang yang tersayang. Oleh itu, bawa bersabar dan berlapang dada untuk menyokong si dia menjadi insan yang lebih matang.
Sekiranya dia mudah kusut ketika berhadapan masalah, lihatlah sejauh mana perhubungan itu boleh pergi. Hubungan yang sihat akan menjadikan kita gembira dan semakin dekat dengan-Nya. Sebaliknya, hubungan yang negatif hanyalah membuang masa dan menyakitkan diri kita sendiri. Seperti biasa, mohonlah bantuan daripada Ilahi dan ambil tindakan yang sewajarnya.
4. Lihat Jika Dia Boleh Berkomunikasi Dengan Baik
Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk berubah demi orang yang dia sayang, dia akan meletakkan ruang hikmah apabila berkomunikasi. Maksudnya, walaupun dia berbeza pendapat sewaktu bercakap, dia masih boleh berlapang dada dan menerima idea daripada orang lain. Orang yang berfikiran terbuka biasanya cenderung untuk berubah ke arah yang lebih baik. Ini kerana dia mudah menerima nasihat walaupun perwatakannya kadangkala ‘menyakitkan mata’.
Sebaliknya, kalau perangai si dia buruk, kemudian dia fikir dia sahaja yang betul, maka susah untuk kita mengharapkan perubahan daripadanya. Komunikasi adalah sangat penting dalam membentuk keserasian. Kalau kita tak mampu memujuknya untuk berubah, bagaimana kita mahu membina rumah tangga yang bahagia nanti?
5. Lihat Usaha Yang Dia Lakukan Untuk Menjadi Lebih Baik
Seterusnya, sebelum membawa hubungan cinta ke arah yang lebih jauh, lihat apakah usahanya dalam menjadi insan yang lebih baik. Contohnya, dia bekerja keras untuk mengumpul wang kahwin ataupun dia selalu menghadiri majlis ilmu. Ada orang yang walaupun dia pemalas atau panas baran (contohnya), dia tidak pernah lupa untuk melakukan kebaikan.
Sebagai seorang bakal calon (suami atau isteri), kita patut menyokong si dia untuk terus melakukan kebaikan. Buat aktiviti bermanfaat bersama-sama mengikut garis panduan Islam. Insya-Allah, dengan berkat kebaikan itu, si dia jadi ‘lupa’ dengan perangai negatifnya itu.
Kalau si dia tidak ambil peduli tentang apa-apa pula, cuba beri dia galakan untuk melakukan sesuatu yang bermakna. Contohnya, bersedekah di masjid walaupun sedikit atau melawat kawan-kawan terdekat. Sekecil-kecil amalan yang baik tetap diterima oleh Allah. Namun jika dia tetap berkeras hati, kami sarankan agar anda menamatkan hubungan itu daripada terus berharap pada sesuatu yang tidak pasti.
6. Selepas Berdoa Dan Ikhtiar, Lihat Perbezaan Pada Dirinya
Apabila berhadapan dengan masalah, ajar diri kita untuk sentiasa berdoa kepada-Nya. Walaupun masalah kita besar, tetapi ianya terlalu kecil dibandingkan dengan kekuasaan Ilahi. Oleh itu, doakan si dia yang kita sayang itu supaya dia berubah. Kemudian ikhtiarlah sehabis baik agar hubungan tersebut kekal sehingga ke jinjang pelamin.
Kalau ada perubahan yang ketara pada dirinya, panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Teruskan sokongan buat dirinya dan mohonlah keredaan Allah agar hubungan tersebut menjadi sah di sisi agama kelak. Namun jika si dia masih di takuk yang sama, janganlah bersedih. Mungkin ada baiknya hubungan itu ditamatkan. Jodoh tidak pernah salah alamat. Ubati diri dengan doa dan amal ibadah, kemudian teruskan pencarian.
Mintalah petunjuk daripada Allah S.W.T. Siapa tahu, mungkin kitalah insan terpilih yang Allah hantar untuk memperbaiki diri si dia. Bawa bersabar dan jangan berfikir secara berlebihan. Pada masa yang sama, jangan terlalu ikutkan rasa sayang. Kalau kita sengsara, tiada gunanya hubungan itu diteruskan. Hati manusia ada kelemahannya. Oleh itu, pasakkan hati dengan keimanan.
Perkahwinan seharusnya membahagiakan. Kalau kita tidak berlapang dada dan tidak semakin dekat dengan-Nya, mungkin itulah petanda hubungan itu patut berakhir. Jadi fikirlah dengan bijak. Jika dia istiqamah untuk berubah, berikan motivasi secukupnya. Insya-Allah, dialah suami atau isteri yang kita idamkan selama ini.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?