Cara Bertemu Janji Mengikut Garis Panduan Islam

Cara Bertemu Janji Mengikut Garis Panduan Islam

"...di mana sahaja kita toleh, ada sahaja kelompok manusia yang sedang bermesra bersama pasangan masing-masing..."

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua

 

 

Dalam dunia yang semakin moden, sudah menjadi norma buat kita untuk merasa dikasihi dan mendapat perhatian daripada seseorang yang istimewa. Mana tidaknya, di mana sahaja kita toleh, ada sahaja kelompok manusia yang sedang bermesra bersama pasangan masing-masing dan ini membuatkan kita tertanya-tanya bilakah masa kita akan tiba. Ayat di bawah menyebut:  

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.” 

(Surah Al-Furqan: Ayat 74) 

Jelas digambarkan dalam surah ini bahawa Allah mengurniakan manusia berpasangan agar kita tidak kesunyian dan dapat membimbing orang lain untuk hidup berlandaskan jalan-Nya. Salah satu perkara yang sering dibincangkan apabila berada dalam fasa percintaan adalah berkenaan dengan temu janji yang kebiasaannya mencipta suasana yang manis buat pasangan baru. Namun begitu, apakah cara yang paling sesuai dilakukan untuk satu-satu temu janji agar perkara tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam? Bercinta tidak salah, asalkan kita tahu batas pergaulan sewaktu bertemu dengan orang yang masih bukan mahram kita. Ini kerana setiap kisah cinta pastinya ingin dilakar seperti “siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi”.

1) Pakaian yang menutup aurat dan sopan

Selari dengan ajaran Islam, kita seharusnya kelihatan kemas dan memakai pakaian yang menutup aurat apabila hendak keluar ke mana-mana, dan dalam konteks ini, sewaktu keluar untuk temu janji. Yang pertama sekali, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk mengikut ketetapan agama. Kedua, dengan berpakaian kemas dan menutup aurat, orang lain akan cenderung untuk memberi tanggapan yang baik terhadap diri kita. Ketiga, pakaian juga perlulah sesuai dengan suasana atau keadaan. Untuk temu janji, pilihlah pakaian yang ringkas tetapi tampak menarik. Pakaian yang menutup aurat tidak semestinya konservatif. Ada sahaja rekaan-rekaan moden yang menyerlahkan personaliti atau keterampilan seseorang tanpa perlu mendedahkan tubuh kita. Lebih baik dalaman atau tatasusila kita yang cantik, “bagai bulan dipagar bintang” bak kata pepatah Melayu, daripada terlalu menonjolkan luaran yang tidak kekal lama. Ringkasnya, seseorang perlulah memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan sewaktu keluar untuk temu janji. 

2) Tempat pertemuan yang tidak menimbulkan fitnah 

Satu lagi cadangan untuk bertemu janji menurut cara Islam adalah dengan memilih tempat pertemuan yang tidak menimbulkan fitnah. Secara amnya, kita boleh memilih tempat yang dihadiri oleh ramai orang kerana banyak mata yang akan memandang nanti. Sewaktu pertemuan, kedua-dua individu mestilah duduk berjauhan sedikit agar tidak dipandang serong oleh orang sekeliling dan memelihara akhlak masing-masing. Selain itu, wanita disarankan membawa seorang teman ketika temu janji tersebut hanya sebagai saksi atau penjaga agar semuanya berjalan dengan baik. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini akan menyebabkan rasa canggung, tetapi ini adalah cara yang lebih baik dalam mencipta satu temu janji yang indah tetapi masih tidak melanggar larangan Allah. Jika kedua-dua belah pihak benar-benar serius untuk meneruskan hubungan dengan cara yang betul, hal ini tidak menjadi satu isu yang besar. Oleh itu, carilah tempat pertemuan yang sesuai untuk temu janji dan lakukanlah apa yang sewajarnya supaya temu janji itu mendapat restu Ilahi.   

3) Menjaga maruah diri dan keluarga

Selain yang di atas, mereka yang bertemu janji juga haruslah menjaga maruah diri dan keluarga. Ketika memulakan perbualan, cakaplah dengan lembut dan sopan sebagai tanda budi bahasa kita. Kita juga perlu menjaga pandangan mata ketika bertemu janji agar tidak melihat pasangan sesuka hati sehingga boleh melalaikan dan memalukan diri sendiri. Dalam pada itu, pasangan yang bukan mahram juga dilarang sama sekali untuk menyentuh satu sama lain. Setiap perlakuan kita akan berbalik kepada maruah diri dan keluarga, maka berwaspadalah. Cukup sekadar berbual dan berkongsi buah fikiran masing-masing ketika bertemu kerana perkara itu lebih elok. Keikhlasan cinta terletak pada hati, bukan pada luaran dan perbuatan sahaja. Maka dengan itu, jagalah maruah diri dan keluarga sebaiknya walaupun sedang dilamun cinta. 

4) Perhubungan tidak membawa kepada pembaziran wang dan waktu

Satu lagi cadangan daripada kami adalah memastikan perhubungan cinta tidak membawa kepada pembaziran wang dan waktu. Walaupun kedengaran “cliche”, tetapi cinta tidak bersifat materialistik sehingga kita perlu berhabis duit demi orang tersayang. Dari segi masa pula, benar setiap manusia inginkan perhatian, tetapi setiap perkara ada batasnya. Perhatian yang diberikan kepada si dia mestilah selari dengan jadual seharian dalam hidup kita. Pasangan yang baik dan memahami tidak akan mudah melatah jika si dia sibuk dengan urusan lain dan terpaksa memendekkan perbualan sebagai contoh. Kalau bertemu janji pula, belanjakanlah wang secara bersederhana dan isi waktu tersebut dengan aktiviti yang bermanfaat. Sebagai permulaan, tidak salah juga rasanya untuk kedua-dua pihak mengeluarkan wang untuk menjamu selera atau bersiar-siar. Mungkin cara ini akan mengeratkan lagi ikatan cinta yang sudah terjalin. Masa itu emas, wang adalah keperluan penting, dan rasa cinta adalah fitrah buat manusia, maka seimbangkanlah ketiga-tiga elemen ini seeloknya. Dari itu kita mesti ingat untuk tidak membazir wang dan waktu ketika dalam perhubungan terutamanya apabila hendak bertemu janji. 

5) Sentiasa berdoa kepada Allah   

Akhir sekali, perbanyakkan doa kepada Allah S.W.T. kerana setiap kebaikan yang hadir adalah dengan keizinan-Nya. Sebagai seorang hamba, berdoalah agar kita selalu diberikan petunjuk untuk melakukan perkara yang betul dan dijauhkan daripada maksiat. Selain itu, berdoalah juga agar hubungan yang dijalinkan itu diberkati dan dapat diteruskan ke peringkat selanjutnya. Kita harus yakin bahawa rahmat Allah itu luas dan Dia sentiasa mendengar setiap permintaan dan keluhan yang kita sampaikan. Jika hati kita masih runsing, lakukanlah amalan-amalan sunat seperti berzikir dan solat hajat agar Allah memberi kita jalan yang nyata terutamanya sewaktu bercinta. Bukan mudah untuk “membina sebuah masjid”, tetapi peribahasa ada menyebut, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Oleh itu, jadikan doa sebagai pelengkap hidup untuk mendekatkan diri kepada Allah sambil kita mencari cinta dunia yang sementara.  

Kesimpulannya, agama Islam tidak melarang manusia untuk berkasih sayang, tetapi setiap perbuatan itu haruslah berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan temu janji. Sebaiknya, kita ajar diri kita untuk mengingati Allah walau dalam apa jua keadaan. Cinta itu sendiri adalah anugerah dari-Nya, maka bercintalah apa adanya dan jangan berlebih-lebih. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk mengikuti panduan agama dan mendapat pasangan yang mendorong kita untuk beribadah.  

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar