fbpxCara betul untuk solat sunat istikharah

Cara betul untuk solat sunat istikharah

Cara betul untuk solat sunat istikharah

Istikharah secara umumnya bermaksud memohon dan meminta yang terbaik buat diri kita. Pengenalan istikharah diajar oleh Rasulullah adalah sebagai meminta petunjuk daripada Allah taala...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Solat sunat istikharah merupakan solat sunat jika seseorang mempunyai pilihan, minta petunjuk atau tidak dapat membuat keputusan mengenai sesuatu perkara. Kebiasaanya masyarakat malaysia hanya kenal solat sunat istikharah apabila dalam bab jodoh ketika hendak membuat pemilihan pasangan. Padahal, solat sunat istikharah sebenarnya bukan hanya dalam bab jodoh, malah untuk segala urusan hidup, kita boleh menunaikan solat sunat istikharah.

Istikharah secara umumnya bermaksud memohon dan meminta yang terbaik buat diri kita. Pengenalan istikharah diajar oleh Rasulullah adalah sebagai meminta petunjuk daripada Allah taala dengan pilihan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan. Sesungguhnya Allah taala adalah tempat kita mengadu dan memohon. Ianya adalah sebagai satu jalan terbaik untuk menentukan pilihan dan ikhtiar makhluk agar sentiasa dipandu dengan petunjuk dan hidayah Allah taala.

Imam ibn Hajar ada menyebutkan dalam kitabnya Fathul Bari bahawa Al-Imam Hafiz Abdul Rauf al-Munawi berkata; “Istikharah adalah meminta yang terbaik daripada Allah taala pada sesuatu perkara yang ingin dilakukan, hakikatnya adalah kita menyerahkan ikhtiar dan usaha kita hanya kepada Allah taala, ini adalah kerana hanya Dialah sahaja yang mengetahui yang terbaik kepada setiap hamba-nya, dan Dialah penentu keatas apa sahaja yang terbaik sebagai pilihan kepada hamba-Nya”.

Antara hadis daripada Rasulullah berkenaan solat sunat istikharah adalah daripada Jabir Bin Abdullah yang bermaksud;

“Adapun Rasulullah s.a.w. mengajarkan kami Istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana baginda mengajarkan kami satu Surah daripada Al-Quran. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila merancang salah seorang daripada kamu dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat”.

(Riwayat Imam Bukhari)

Jadi, entri kali ini, kami akan senaraikan mengenai cara dan tips yang boleh anda lakukan sebelum solat sunat istikharah dalam soal pemilihan jodoh. Harap tips ini membantu anda untuk mendapat pasangan yang lebih baik. InsyaAllah.

1. Fikir dan senaraikan kelebihan serta kekurangan.

Sebelum membuat solat sunat istikharah, ada langkah utama yang perlu dilakukan oleh kita. Langkah pertama ialah menggunakan akal dan fikiran kurniaan Allah untuk memahami dan mendalami apa yang kita kehendaki daripada pasangan kita kelak. Ambil masa untuk senaraikan semua kelebihan dan kekurangan mengenai pasangan yang kita mahu jadikan teman hidup.

Senaraikan satu persatu kekuatan dan kelemahan setiap orang sambil memohon kepada Allah supaya diberi petunjuk olehNya dan pasangan yang bakal kita pilih nanti betul-betul sesuai dengan diri kita. Cara ini akan membuatkan kita lebih jelas yang mana satu yang benar-benar sesuai dengan diri kita demi mencapai kebahagian rumah tangga kelak.

2. Dapatkan nasihat daripada pakar dan orang yang lebih berpengalaman.

Langkah yang seterusnya ialah anda harus banyak bertanyakan kepada orang yang pakar dan meminta pendapat mereka. Dalam konteks pemilihan pasangan untuk dijadikan calon isteri, kalau perlu rujuklah kaunselor yang bertauliah dalam bidang ini kerana mereka lebih mengetahui dan banyak pengalaman.

Selain itu, alim ulamak dan ustaz yang berpengalaman boleh menjadi rujukan dalam permasalahan ini. Ibu bapa kita juga boleh dijadikan tempat bertanyakan pendapat jika anda seorang yang malu untuk berjumpa dengan pakar atau orang agama. Mereka yang berumur dan melalui banyak pengalaman berharga dalam rumah tangga mungkin boleh memberikan anda kata nasihat yang bermakna untuk masalah ini.

3. Solat sunat istikharah.

Kemudian, langkah terakhir sekali adalah solat sunat istikharah iaitu setelah anda membuat dua langkah di atas dan hati anda masih berbolak balik di antara pilihan-pilihan yang ada. Ia adalah jalan terakhir untuk anda berserah pada Allah setelah berusaha. Bukan terus solat sunat istikharah tanpa adanya usaha.  

Tunaikan solat sunat istikharah dengan rasa keinsafan betapa lemahnya kita kerana memerlukan pergantungan kepada Allah swt. Dialah yang mengetahui segala sesuatu sama ada baik atau buruk bagi kita. Doa dan hajatkan kepada Allah dalam solat dan doa supaya diberikan petunjuk dan gambaran mengenai pilihan kita.

Petunjuk bukan hanya datang dalam bentuk mimpi. Ia mungkin datang daripada gerak hati dan kita rasa tenteram dengan pilihan hati kita selepas pemilihan dibuat. Yang penting, yakinlah bahawa setiap pilihan kita adalah ketentuan Allah, ada hikmah dan pengajaran yang perlu kita redha dan sabar.

Kongsi artikel ini: