Cara Meluahkan Perasaan Anda Kepada Si Dia Yang Anda Suka

Cara Meluahkan Perasaan Anda Kepada Si Dia Yang Anda Suka

Seiring dengan perkembangan teknologi dan maklumat, anda sebenarnya boleh mengambil manfaat daripadanya...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Memberitahu perasaan dan hasrat hati anda kepada seseorang yang anda suka mungkin merupakan sesuatu yang berat untuk diucapkan bagi sesetengah orang. Apatah lagi jika anda seorang perempuan. Perasaan malu dan takut ditolak biasanya akan menjadi penghalang untuk anda berterus-terang.

Namun apabila anda sudah menaruh minat terhadap seseorang, jangan pendam. Jika anda tidak luahkan, si dia yang anda suka sudah tentu tidak tahu. Meluahkan perasaan hati anda terhadap si dia penting bagi meneruskan perhubungan ke tahap seterusnya. Sebenarnya Islam mengalakkan kita memberitahu perasaan hati kita kepada orang yang kita suka.

Di dalam sirah Rasulullah S.A.W. ada satu kisah berkenaan dengan seorang wanita yang minat dan suka pada Rasulullah S.A.W. Wanita itu telah melamar Rasulullah S.A.W. di hadapan beberapa orang sahabat secara berterus terang. Kisah ini dinukilkan seperti berikut;

Ia diceritakan oleh Anas R.A. di dalam hadis riwayat Imam Bukhari. Ketika Anas R.A. berada bersama Rasulullah S.A.W, dan anak perempuan Anas juga ada bersama mereka, datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya:

“Wahai Rasulullah S.A.W, adakah engkau mahukan aku (sebagai isterimu)?”.

Anak perempuan Anas R.A. lantas berbisik kepada ayahnya : “Bagaimana dengan wanita ini, tidakkah dia malu melamar begitu kepada Rasulullah S.A.W. Tidakkah dia punya harga diri.”

Lalu Anas R.A berkata: “Dia lebih baik daripada engkau. Dia cintakan Rasulullah, lantas menawarkan dirinya untuk Rasulullah.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Seorang ulama yang bernama Syeikh Badruddin Mahmud Al-Aini telah memberi ulasan mengenai hadis ini. Katanya:

“Kata-kata Anas R.A kepada anak perempuannya menunjukkan bahawa harus seorang wanita menawarkan diri untuk dinikahi oleh seorang lelaki yang soleh, dan diketahui bahawa wanita itu melamarnya kerana kesolehan dirinya atau kerana kemuliaan dirinya, atau kerana nilai-nilai beragama yang wujud pada dirinya, dan itu tidaklah mencacatkan maruah wanita tersebut bahkan menunjukkan kepada ketinggian jiwa wanita tersebut.”

(Umdatul Qari ala Syarh Al Bukhari)

4 Tips Meluahkan Perasaan Hati

1.Maklum Pada Orang Tengah

Orang tengah merupakan wakil kepada anda untuk menyampaikan isi hati anda. Orang tengah boleh dilantik dalam kalangan ahli keluarga, sahabat mahupun sesiapa sahaja yang anda percaya. Cara ini pernah dilakukan oleh Saiditina Khadijah R.A untuk melamar Rasulullah S.A.W.

Nafisah Binti Munyah ialah salah seorang sahabat perempuan terdekat kepada Siti Khadijah R.A. Beliaulah yang menjadi penghubung dan orang tengah yang menyampaikan hasrat hati Siti Khadijah R.A kepada Rasulullah S.A.W. Peminangan pula dibuat melalui bapa saudara Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Talib. Apabila mendapat lamaran daripada Siti Khadijah R.A, Rasulullah S.A.W. yang pada masa itu belum menjadi Rasul menerima lamaran tersebut.

2.Melalui Medium

Seiring dengan perkembangan teknologi dan maklumat, anda sebenarnya boleh mengambil manfaat daripadanya. Menyatakan hasrat hati anda kepada si dia melalui medium seperti WhatsApp, E-mel, Facebook Messenger dan apa sahaja aplikasi untuk bersembang patut anda gunakan dengan sebaiknya. Ia adalah alat untuk membantu anda menyampaikan isi hati kepada si dia yang anda suka. Namun perlu diingat, apabila ada kemudahan seperti ini janganlah disalah guna pula. 

Selain itu, jika anda ada sedikit keberanian untuk bercakap, anda juga boleh menyatakan isi hati anda itu dengan cara menelefon terus pada si dia yang anda suka. Sesetengah kes untuk lelaki, ada perempuan yang lebih suka lelaki yang ada sifat ‘gentleman’ berbanding dengan lelaki yang pemalu. Ya, ini betul!

3.Melalui Penjaga Atau Wali

Tip yang seterusnya ini pula sesuai digunakan oleh kaum lelaki. Jika seorang lelaki ingin berkenalan dengan seorang wanita, mereka sebenarnya boleh sahaja menyatakan hasrat hati melalui penjaga atau wali. Ia bukanlah untuk tujuan terus meminang, namun hanya sekadar merisik sama ada si dia sudah berpunya atau tidak. 

Saya faham, cara ini mungkin tidak sesuai bagi sesetengah orang. Namun begitu, tidak dinafikan ada yang dapat menerima cara sebegini. Bahkan mereka berjaya sehingga ke jinjang pelamin dan bahagia. Sebahagian wanita mungkin akan tertarik pada anda apabila anda sanggup berjumpa dengan ibu bapa mereka.

4.Bersemuka (Face To Face)

Kaedah yang terakhir yang saya ingin sarankan ialah dengan bersemuka. Kaedah ini memerlukan keberanian untuk anda meluahkan perasaan yang terbuku di hati secara berdepan. Ia mungkin berisiko untuk ditolak tetapi jika betul caranya anda mungkin diterima. Ada sesetengah orang yang suka mengambil risiko jadi mereka tidak kisah memberitahu perasaan mereka secara berdepan dan berterus-terang. Prinsip mereka mudah. ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang pula bukan seekor.’

Ada juga sebahagian yang lain tidak mahu mengambil risiko dan mungkin agak malu. Jadi cara ini tidak digalakkan bagi mereka untuk digunakan. 

Jangan Pendam Perasaan

Ini hanya beberapa tip dan idea untuk meluahkan perasaan hati kepada si dia yang anda suka. Anda mungkin ada cara tersendiri untuk meluahkan rasa suka pada seseorang. Silakan ya. Namun, jangan pendam perasaan. Ini kerana jika tidak diluahkan, maka anda sebenarnya telah gagal sebelum perhubungan cinta anda bermula. Memberitahu si dia yang anda suka padanya adalah salah satu bentuk usaha anda untuk mendapatkan jodoh.

Semoga berjaya!



Jom bina Baitul Muslim (keluarga muslim)

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar