Cara Mengenali Si Dia Adalah Jodoh Anda

Tanda yang pertama yang anda boleh perhatikan ialah si dia tidak berlakon di hadapan anda. Cuba lihat cara dia bercakap atau melakukan apa-apa aktiviti...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

 

 

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Namun persoalan yang mungkin sentiasa bermain dalam pemikiran kita adalah bagaimana kita hendak mengetahui si dia memang ditakdirkan untuk kita? Jodoh kebiasaannya adalah cerminan diri kita. Jika kita seorang yang baik, jodoh kita juga insya-Allah baik. Begitu juga dengan sebaliknya.

Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud:

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik pula adalah untuk wanita-wanita yang baik."  

(Surah An-Nur : Ayat 26)

Oleh sebab itu, kita biasanya dinasihatkan untuk mengubah diri menjadi baik sebelum mencari jodoh. Apabila kita sudah menjadi seorang yang baik akhlaknya maka jodoh yang akan kita cari nanti mungkin daripada kalangan orang yang baik juga. Jodoh sebenarnya boleh dikenal pasti melalui beberapa perwatakan dan sifat. Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda beberapa tip untuk mengenali si dia adalah jodoh anda. 

1. Tidak Berlakon

Tanda yang pertama yang anda boleh perhatikan ialah si dia tidak berlakon di hadapan anda. Cuba lihat cara dia bercakap atau melakukan apa-apa aktiviti. Adakah perlakuan itu dilakukan dengan secara spontan atau dibuat-buat. Jika dia sendiri kurang selesa dengan gayanya, dia mungkin sedang berlakon. Namun apabila si dia tampil bersahaja dan tidak berlakon, ia adalah calon pasangan yang sesuai buat anda. 

2. Susah Senang Bersama

Pasangan yang kita pilih mestilah sanggup menerima kita di waktu senang mahupun susah. Seperti kata peribahasa Melayu, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.’ Ada orang, hanya mahu menjadi peneman kita pada waktu senang sahaja. Pada waktu yang susah tidak mahu bersama. Jika si dia jodoh anda, si dia pasti sentiasa ada untuk anda pada waktu susah ataupun senang. Ketika inilah perhubungan anda dan si dia diuji. 

3. Menerima Diri Anda Seadanya

Apapun kisah silam yang pernah anda lakukan, si dia tidak ambil peduli. Si dia tidak kisah siapa anda sebelum ini dan sanggup menerima diri anda seadanya. Apa yang penting baginya adalah siapa anda sekarang. Walaupun anda seorang yang tidak kaya, tidak cantik dan mempunyai bermacam-macam kekurangan, si dia tetap bersama anda. Itulah tanda jodoh anda. Jangan lepaskan si dia yang mempunyai perwatakan sebegini. 

4. Sentiasa Jujur

Selain itu, untuk mengenali jodoh yang baik adalah anda dapat melihat sifat kejujuran pada diri si dia. Walaupun sesuatu perkara itu pahit untuk diluahkan, namun si dia tetap jujur untuk membicarakan tentangnya. Dia tidak pandai menipu dan berbohong kepada anda. Sifat jujur ini ada pada diri Rasulullah S.A.W. hatta sebelum dilantik menjadi Rasul. 

Oleh kerana itulah, masyarakat Arab jahiliah pada masa itu suka kepada perwatakan Rasulullah S.A.W. sehingga baginda digelar sebagai ‘Al -Amin’ yang bermaksud orang yang dipercayai. Allah S.W.T. juga telah berfirman di dalam surah An-Najm yang bermaksud: 

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”

(Surah An-Najm : Ayat 4-5)

5. Dipercayai Dan Mempercayai

Saling mempercayai adalah kunci kepada suatu perhubungan yang kuat. Jika anda tidak ada rasa percaya kepada si dia, itu tandanya dia mungkin bukan jodoh yang terbaik untuk anda. Sifat percaya dan dipercayai ini sangat berkait rapat dengan sifat jujur yang saya sebutkan sebelum ini. Oleh sebab itu, anda mesti menjadi orang yang dipercayai dan mempercayai si dia. 

6. Boleh Berkomunikasi Dan Berbincang

Komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan menggunakan perantaraan seperti surat, mesej, telefon dan sebagainya. Komunikasi perlukan teknik dan masa yang betul supaya salah faham tidak berlaku. Ada orang berpisah kerana tidak pandai berkomunikasi dengan pasangan atau yang lebih malang tidak berkomunikasi langsung. 

Oleh sebab itu, tanda jodoh yang baik ialah si dia perlu ada sifat untuk berkomunikasi dan sedia berbincang jika timbul sesuatu isu. Sesuatu masalah perlu diatasi dengan cara dan teknik yang betul seperti saling berkomunikasi demi menjaga perhubungan yang telah dibina. 

7. Memahami Diri Anda

Tanda si dia adalah jodoh anda yang seterusnya ialah si dia adalah seorang yang memahami diri anda. Memahami diri adalah suatu yang agak mustahil jika anda belum benar-benar taaruf (kenal) dengan lebih mendalam bakal pasangan anda itu. Jadi ambil masa untuk taaruf dengan bakal pasangan. Cuba untuk memahami si dia dan begitulah juga sebaliknya.

8.  Mengakui Kelemahan

Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Semua orang ada kelemahan masing-masing. Namun calon jodoh yang terbaik buat anda ialah apabila si dia sanggup mengakui kelemahan dan kekhilafan diri jika ada terbuat benda yang salah. Si dia tidak ego dan sanggup merendahkan dirinya untuk meminta maaf. Itulah salah satu tanda jodoh yang baik. 

9. Petunjuk Setelah Anda Beristikarah

Solat ‘istikarah’ merupakan cara yang terbaik dalam urusan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Ia adalah perkara yang penting di mana setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan jodoh, maka sandaran dan kebergantungan kita pada akhirnya ialah hanya kepada Allah S.W.T. Inilah yang dinamakan tawakal. Mungkin selepas anda melakukan solat istikarah, anda akan mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T. Mempunyai hati yang tenang dan rasa selesa dengan si dia juga boleh jadi petunjuk bahawa si dia adalah jodoh anda. 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
 

Kongsi artikel ini: