Cara Meyakinkan Ibu Bapa Untuk Berkahwin Semasa Belajar

Cara Meyakinkan Ibu Bapa Untuk Berkahwin Semasa Belajar

Kebanyakan ibu bapa yang faham matlamat perkahwinan, tidak dinafikan mungkin mereka senang untuk diajak berbincang mengenai kahwin muda ini...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Berkahwin merupakan suatu tuntutan dalam agama Islam. Ia merupakan antara sunnah besar Rasulullah S.A.W. Zaman dahulu semasa zaman ibu bapa atau datuk dan nenek kita, isu kahwin muda bukanlah sesuatu hal yang luar biasa kerana zaman itu mereka berkahwin awal. Namun, isu kahwin muda pada zaman sekarang merupakan suatu masalah kerana golongan muda pada zaman ini kebanyakan masih lagi menuntut ilmu di universiti mahupun kolej-kolej swasta.

Cabaran terbesar bagi golongan muda yang mahu berkahwin semasa belajar ialah bagaimana cara untuk meyakinkan ibu bapa mereka. Ini merupakan antara bahagian yang susah bagi golongan muda tersebut mendapatkan persetujuan untuk berkahwin muda dengan calon pilihan mereka.

Jika anda seorang lelaki, mungkin ini yang terpaksa anda dengar.

“Tunggu habis belajar dulu.”

“Tunggu dapat kerja dulu.”

“Tunggu kewangan stabil dulu.”

Di pihak calon isteri pula, nada yang lebih kurang sama juga diterima.

“Awal lagi.”

“Bagaimana dia nak sara anak dara orang nanti?”

“Pelajaran akan terganggu, nanti mesti kena berhenti belajar.”

Gunakan pendekatan berperingkat

Saya sebenarnya lebih bersetuju dengan pendekatan berperingkat-peringkat. Satu level ke satu level yang lain. Sebelum nak melenting, gunakan pendekatan bersabar dulu. Sebelum nak melawan, gunakan pendekatan berkompromi terlebih dahulu.

Bab inilah yang ramai anak muda tidak sanggup buat. Kalau mereka kata ‘nak kahwin’ pada ibu bapa mereka, kemudian tiba-tiba reaksi orang tuanya cukup tegas tidak membenarkan mereka kahwin lagi. Maka dunia dirasakan sudah gelap. Tiada lagi cahaya dan harapan. Justeru dirinya dikuasai emosi.

Ustaz Azhar Idrus pernah memberitahu cara memujuk ibu bapa untuk kahwin ini dalam satu kuliahnya. Kata ustaz, “Pujuk dulu hari ini, cakap elok-elok nak kahwin. Kalau tak bagi, diam dulu. Balik cuti semester nanti, pujuk lagi sekali. Tak bagi lagi, 2 bulan kemudian pujuk lagi. Begitulah seterusnya.”

Jadi, berhikmahnya cara di atas adalah apabila mereka melihat konsistennya anak mereka dengan hasrat untuk berkahwin. Maka sedikit demi sedikit ia menghilangkan kerisauan awal ibu bapa, mencetus keyakinan dan seterusnya barulah mereka terbuka untuk mendengar bicara anda tentang hal perkahwinan.

Tunjukkan keyakinan kepada mereka bahawa anda sudah bersedia

Kemudian cuba yakinkan ibu bapa dengan kemampuan diri sendiri. Bernikah dalam usia yang muda apatah lagi sedang belajar, bukan suatu yang mudah walaupun sudah ramai orang berjaya melakukannya. Cuba nilai balik alasan-alasan ataupun hujah yang ibu bapa timbulkan.

Biasanya mereka banyak menyentuh tentang kemampuan ekonomi, kemampuan belajar dan kemampuan mengurus keluarga. Kalau dalam bab ekonomi misalnya, anda perlu menyediakan ‘draf cadangan’ daripada pihak anda sendiri. Hasil simpanan dan bagaimana anda mahu menyara hidup selepas berkahwin nanti. Buatlah perancangan teliti dan cuba kemukakan itu sebagai sokongan hasrat anda untuk berkahwin.

Prestasi akademik mesti cemerlang

Jika dalam bab cabaran belajar waktu kahwin pula, anda mungkin boleh bertemu dengan ramai orang yang telah berjaya melakukannya. Minta nasihat dan tunjuk ajar. Selain itu, anda mesti memberikan contoh yang baik dalam pelajaran. Jangan sesekali ponteng kelas dan beri kepada ibu bapa anda keputusan yang baik dan cemerlang jika boleh.

Pokok pangkalnya mudah, kahwin bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran dan bujang bukan semestinya bagus dalam pelajaran. Pepatah melayu ada menyebut, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Kalau tidak mahu, malas dan tidak berminat maka kahwin ataupun tidak, tetap juga tidak berjaya dalam pelajaran.

Fahamkan ibu bapa mengenai matlamat perkahwinan

Kebanyakan ibu bapa yang faham matlamat perkahwinan, tidak dinafikan mungkin mereka senang untuk diajak berbincang mengenai kahwin muda ini. Namun, terdapat juga ibu bapa yang tidak berapa faham akan matlamat perkahwinan dan mungkin juga mereka risau kerana sebab-sebab yang telah kita bincangkan tadi di atas.

Di sinilah tugas seorang anak untuk memainkan peranannya. Fahamkan mereka tentang matlamat perkahwinan anda. Kalau keperluan berkahwin itu tidak mendesak, maka jalan ke arahnya juga janganlah mendesak. Sesuailah digunakan cara di atas. Mungkin mengambil masa sedikit sehingga diterima.

Tetapi katakan keperluan berkahwin itu cukup mendesak di mana jika tidak berkahwin anda bimbang akan jatuh ke dalam zina ataupun maksiat. Maka jalan ke arahnya mestilah lebih tegas dan nekad. Dalam keadaan tersebut bagi anak lelaki, restu ataupun kebenaran ibu bapa tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pernikahan. Syaratnya, ada kemampuan.

Justeru, lihatlah pada diri masing-masing. Mengutamakan diri sendiri bukan bermakna untuk mengejar keseronokan tetapi untuk menyelamatkan agama dan iman. Jangan sampai anda lebih selesa berada dalam maksiat berbanding berjuang bagi mendapatkan yang halal.

Tawakal kepada Allah setelah berusaha

Setelah segala usaha dilakukan, mohonlah kepada Allah S.W.T. semoga dipermudahkan urusan anda. Kadang-kadang kita dah berusaha sehabis mungkin tetapi dalam masa yang sama kita lupa kepada Allah S.W.T. Usaha dan doa mesti bergerak seiring. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Furqan yang bermaksud:

“...dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. dan cukuplah Dia Maha mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.”

(Surah Al-Furqan : Ayat 58)

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar