Ciri-Ciri Suami Yang Soleh

Ciri-Ciri Suami Yang Soleh

Sebagai ketua keluarga, seorang lelaki ataupun suami mestilah membawa kehidupan keluarganya ke arah yang diredhai oleh Allah.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

 

 

     Dari segi bahasa, jodoh bermaksud pasangan hidup (lelaki atau perempuan) ataupun pertemuan (antara gadis dengan teruna yang menghasilkan perkahwinan). Bagi mereka yang sudah meningkat dewasa, urusan mencari jodoh pastinya akan menjadi salah satu fokus utama dalam kehidupan masing-masing. Demi memastikan kebahagiaan dalam rumah tangga kelak, kita dinasihatkan untuk mencari seorang calon suami atau isteri yang soleh/solehah. Kali ini artikel kami menumpukan kepada ciri-ciri yang perlu ada pada seorang lelaki untuk menjadi seorang suami yang baik. 

Berikut merupakan beberapa ciri suami yang soleh menurut panduan Islam. Panduan ini sesuai untuk para wanita di luar sana yang sedang mencari jodoh. Di samping itu, para lelaki juga boleh mempertimbangkan panduan-panduan ini untuk memperbaiki diri sebelum mencari jodoh. 

1. Taat Melaksanakan Perintah Serta Suruhan Allah Dan Rasul-Nya

Sebagai ketua keluarga, seorang lelaki ataupun suami mestilah membawa kehidupan keluarganya ke arah yang diredhai oleh Allah. Oleh itu, lelaki itu sendiri perlulah taat melaksanakan perintah agama dan mengikuti ajaran-ajaran Rasul. Contohnya, latih diri untuk menunaikan solat lima waktu di awal waktunya. Terdapat keberkatan apabila kita tidak melengah-lengahkan solat. Selain itu, amalkan sunnah-sunnah Rasul untuk mengumpul pahala buat diri sendiri. Antara sunnah yang ada termasuk memakai wangian sebelum solat, potong kuku pada hari Jumaat dan makan dengan tangan kanan. 

Jika si lelaki hidup dengan cara Islam sejak zaman bujang, mereka akan lebih terdorong untuk meneruskan amalan-amalan tersebut dengan keluarga mereka setelah berumah tangga kelak. Insya-Allah, dengan ilmu yang ada, mereka boleh mendidik isteri untuk menjadi seorang mukmin yang sejati. Mereka juga akan mampu untuk membesarkan anak-anak berlandaskan hukum agama.  

Justeru, carilah kualiti ini ketika memilih seorang suami. Seseorang yang taat perintah agama tidak semestinya soleh tetapi orang yang soleh pasti taat akan perintah agama. Di samping ciri ini, ada juga ciri-ciri lain yang boleh diperhatikan.

2. Mampu Memberikan Nafkah Zahir Dan Batin 

Ciri-ciri suami soleh yang kedua pula adalah dia mampu menyediakan nafkah zahir dan batin yang secukupnya buat isteri dan keluarga. Contoh nafkah zahir adalah keperluan fizikal seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan. Contoh nafkah batin pula adalah seperti memberikan ilmu agama dan menjaga perasaan serta kesihatan mental isteri. Seorang suami dilarang untuk menyakiti isterinya baik secara fizikal mahupun mental. Dalam bahasa mudah, nafkah batin adalah nafkah yang berbentuk kerohanian. Sesetengah orang menganggap bahawa nafkah batin hanya bermaksud memuaskan nafsu pasangan semata-mata. Sebenarnya tanggapan itu adalah tidak benar. 

Demi memastikan nafkah ini terjaga selepas berkahwin, pihak lelaki perlulah berusaha daripada awal untuk mencari rezeki. Walaupun harta bukanlah segalanya, namun alam perkahwinan ada cabarannya yang tersendiri. Kalau persediaan sudah dilakukan, sekurang-kurangnya pasangan yang berkahwin tidak akan berasa tersepit jika timbul apa-apa masalah. Para ilmuwan turut mengingatkan bahawa rezeki akan bertambah selepas berkahwin. Namun begitu, jangan pula si lelaki bersikap sambil lewa dalam menambah wang simpanan. Bak kata orang Melayu, “biar lebih, jangan kurang.”  

Apa yang paling penting adalah kebahagiaan pasangan selepas berkahwin. Kalau semuanya cukup, perjalanan itu juga akan menjadi mudah. Kalau si lelaki kurang berkemampuan pula, tidaklah bermakna dia tidak boleh berkahwin. Sebaliknya, dia perlu bekerja dengan lebih keras supaya ada penyelesaian-penyelesaian yang boleh diambil dalam memenuhi nafkah buat si isteri dan keluarga nanti. 

3. Sedia Memberikan Nasihat Kepada Isteri

Seorang suami yang soleh juga berupaya untuk memberikan nasihat, teguran dan didikan kepada isteri berkenaan hal agama dan rumah tangga. Ketika isterinya melakukan sebarang kesilapan, kata-kata si suami haruslah penuh hikmah dalam masa yang sama menyatakan pengajaran yang perlu diambil. Barulah isteri akan lebih menghormati suaminya atas ketegasan yang dia ada tetapi dihiasi pula dengan kasih sayang. 

Didikan yang baik tidak seharusnya dilontarkan secara kasar. Rasulullah S.A.W sendiri mengajar umatnya untuk sentiasa berlemah-lembut dengan isteri. Seperti yang selalu orang ingatkan, begitulah sukarnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami. Terlalu lembut tidak boleh, terlalu kasar pun tidak boleh. Bak kata peribahasa Melayu, “seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.” Maksudnya setiap tindakan itu perlu difikirkan secara teliti agar matlamatnya tercapai tanpa kita mengguris hati sesiapa. 

Bagi mana-mana lelaki di luar sana yang agak emosional, kami sarankan agar anda ubah dahulu perwatakan tersebut. Sementara masih bujang, belajar untuk bersabar dan bertolak ansur dengan orang lain. Insya-Allah, selepas berkahwin nanti, anda akan berasa lebih tenang apabila berhadapan dengan isteri dan keluarga. 

4. Lemah Lembut Dalam Perbuatannya

Apabila kita mendengar kisah-kisah Rasulullah S.A.W, kita mesti akan mendengar salah satu perwatakan beliau yang disenangi oleh semua orang. Perwatakan tersebut adalah sifat lemah lembut dan santun beliau ketika bersemuka dengan sesiapa pun. Sifat inilah yang wajar dicontohi oleh kaum Adam ketika mereka sudah berniat untuk menjadi seorang suami. 

Antara ciri-ciri orang yang lemah lembut adalah dia bercakap dengan sopan, mudah berasa simpati dengan orang lain, sentiasa memahami keadaan orang di sekelilingnya dan tidak mudah marah apabila diganggu atau dikeji. Perkara-perkara inilah juga yang membentuk seorang lelaki untuk menjadi suami yang soleh. Jangan risau kerana sifat-sifat ini masih boleh dipupuk walaupun kita sudah meningkat dewasa. Kita hanya perlu berusaha, berdisiplin untuk berubah dan sentiasa berdoa untuk memohon hidayah-Nya. Allah S.W.T berfirman, maksudnya, 

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik"

(Surah Ali-Imran, ayat 134)

Maka ingatlah, tiada ruginya orang yang melakukan kebaikan dan lemah lembut dalam kehidupan terutamanya bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga. 

5. Memuliakan Keluarga Kedua-dua Belah Pihak

Selain itu, seorang suami yang soleh juga perlu memuliakan keluarganya dan keluarga si isteri. Ayat al-Quran ada menyebut, maksudnya,

"Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu." 

(Surah an-Nisa’, ayat 1)

Ayat ini menekankan kepentingan menjaga silaturahim sesama kita terutamanya keluarga. Seorang suami bukan sahaja perlu menghormati kedua-dua keluarga, malahan dia juga boleh merapatkan hubungan di antara kedua-dua keluarga tersebut supaya lebih rapat dan mesra. Di luar sana, ada sahaja keluarga yang berbesan tetapi tidak pernah bertegur sapa antara satu sama lain. Perkara inilah yang perlu kita elakkan. Tuhan menyukai hamba-hambanya bergaul bersama apatah lagi apabila melibatkan institusi keluarga. Oleh itu, apabila seseorang menjadi suami kelak, cuba jalankan aktiviti-aktiviti riadah yang boleh mendorong kedua-dua keluarga untuk bersama-sama dan mengenali hati budi masing-masing. 

Tambahan pula, hal ini dapat mengelakkan sebarang isu berkaitan dengan kekeluargaan. Sebagai contoh, jika rumah tangga kita sedang goyah, keluarga kita masing-masing tidak akan bermasam muka sesama sendiri. Sebaliknya, mereka akan hadir membantu untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Dalam apa keadaan sekalipun, di sini kami ingin tekankan agar si suami mendahulukan ibu bapanya dan menghormati ibu bapa si isteri. Dalam ajaran Islam, si suami perlu mendahulukan ibunya sebelum isterinya tetapi si isteri perlu mendahulukan suaminya sebelum ibunya sendiri. Dalam hal ini, suami perlulah bijak dalam menilai sesuatu keadaan dan bertindaklah secara adil. 

6. Bersifat Pemaaf

Tidak kiralah lelaki atau perempuan, kedua-duanya tidak mampu lari daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, satu lagi ciri yang baik yang perlu ada pada seorang suami yang soleh adalah bersifat pemaaf. Kenapa? Kerana memendam perasaan ataupun berdendam terhadap sesuatu adalah tidak elok untuk hati dan emosi kita. Sekiranya satu konflik timbul dalam hubungan kita dengan si dia, seorang lelaki mesti kuat untuk mengawal perasaannya. Tanya dahulu apa yang berlaku kemudian fikirkan jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun si dia ternyata bersalah, tegurlah dengan lembut kerana hati wanita sangat sensitif. Sesudah itu, maafkanlah dia kerana Rasulullah juga sentiasa memaafkan umatnya. 

Apabila kita belajar untuk memaafkan, kita tidak memberikan ruang dalam hati kita untuk bersangka buruk dengan pasangan. Kemaafan juga akan menambahkan keharmonian dalam rumah tangga kita nanti. 

Satu perkara yang perlu kita semua ingat, menjadi seseorang yang soleh atau solehah itu bukannya mudah. Kita perlu istiqamah dalam melakukan amal kebajikan di samping tenang dalam menempuh dugaan dari-Nya. Mencari pasangan yang baik adalah langkah pertama dalam memastikan keluarga yang bakal kita bentuk nanti dicurahkan dengan kasih sayang dan ilmu agama yang lengkap. Justeru, pilihlah jodoh dengan bijak. 

Tidak ada insan yang sempurna dalam dunia ini. Jika pasangan kita kurang baik atau ada kelemahannya, jangan tolak dia mentah-mentah. Sebaliknya, galakkan dia untuk berubah. Sesiapa sahaja boleh berubah dengan azam yang ikhlas dan usaha yang berterusan. Buat para lelaki, muhasabah diri agar kita lebih bersedia untuk mengetuai keluarga satu hari nanti.

 

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: